in ,

Lelaki Harapan Dunia Terpilih Ke Festival Filem Torino Itali

Festival Filem Torino yang ke 32 bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga 29 November akan menawarkan pilihan sebanyak 197 buah filem, termasuk 65 filem pertama dan kedua , 45 tayangan perdana dunia dan 23 tayangan perdana antarabangsa.

Filem pembukaan adalah komedi dari negara Perancis, “Gemma Bovary” yang diarahkan oleh Anne Fontaine, dibintangi oleh Fabrice Luchini dan Gemma Arterton. “Wild”, arahan Jean – Marc Vallee, yang dibintangi oleh Reese Witherspoon dan Laura Dern, akan menutup festival ini.

Salah satu filem yang paling ditunggu tahun ini termasuk filem komedi romantik Woody Allen, “Magic In The Moonlight”. Eddie Redmayne, bintang The Theory of Everything adalah salah satu penerima anugerah festival tahun ini.

Lelaki Harapan Dunia

Lelaki Harapan Dunia (judul Inggeris: Men Who Save The World) adalah dalam kategori TorinoFilmLab, yang akan mempersembahkan sembilan filem yang disokong oleh bengkel antarabangsa ini. Kerjasama dengan Festival Filem Torino, TorinoFilmLab adalah bengkel antarabangsa yang menyokong bakat baru dari seluruh dunia melalui aktiviti latihan, pembangunan dan pembiayaan. Lelaki Harapan Dunia menyertai TorinoFilmLab pada tahun 2010 dan merupakan salah seorang penerima anugerah produksi tahun itu.

Lelaki Harapan Dunia ialah sebuah filem komedi drama yang mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung. Filem ini membariskan pelakon berpengalaman. Antaranya Wan Hanafi Su, Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, dan Azhan Rani. Filem arahan Liew Seng Tat ini, diterbitkan oleh Sharon Gan dan diterbitkan bersama oleh Everything Films Sdn. Bhd. (Malaysia), Volya Films (Belanda), Flying Moon Filmproduktion (Jerman) dan Mandra Films (Perancis).

Tayangan perdana dunia untuk Lelaki Harapan Dunia ialah di Festival Filem Antarabangsa Locarno pada Ogos 2014. Pada bulan September 2014, tayangan perdana di Amerika Utara ialah di Festival Filem Antarabangsa Toronto, diikuti oleh tayangan perdana Asia di Festival Filem Antarabangsa Nara di Jepun.

Dalam bulan Oktober lepas, ia terus maju di festival filem antarabangsa dan telah menyertai Festival Filem Antarabangsa Vancouver yang ke-33. dan Festival Filem Antarabangsa Busan yang ke-19. Dalam bulan November ini, ia telah menyertai dan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Kolkata (10 – 17 November 2014) dan Festival Filem Taipei Golden Horse (6-21 November 2014).

Lelaki Harapan Dunia akan menemui penonton Malaysia di layar perak pada 27 November 2014. Ikuti berita-berita terkini tentang filem ini dengan melanggani laman www.facebook.com/lelakiharapandunia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Bermain ATV Bersama Awi Rafael TAKDIR CINTA

Al-Manna Lancar Muzik Video ZIKIR PAGI HARI di Youtube