in , ,

“Alif Satar Minta Maaf Berkali-Kali, Sambil Menangis,” – Sheila Rusly

Penerbit JS Pictures Sdn Bhd, Sheila Rusly akur dengan keputusan untuk menangguhkan penggambaran drama Penjara Janji berikutan watak utama, Alif Satar disahkan positif COVID-19 walaupun babak yang perlu disiapkan hanya berbaki 10 peratus sahaja.

Sheila berkata, tindakan diambil kerana tidak mahu menanggung risiko memperjudikan nyawa dan keselamatan artis serta kru produksi walaupun menyedari keputusannya memberikan impak dari segi kos pembikinan drama.

“Apabila perkara ini terjadi, artis dan kru produksi diarahkan pulang ke rumah untuk menjalani kuaratin. Walaupun sudah melakukan ujian saringan sebelum ke lokasi penggambaran di Melaka, tetapi mereka perlu membuat ujian saringan berkenaan sekali lagi.

“Ujian saringan perlu dilakukan kerana artis dan kru yang terbabit dalam drama ini adalah kontak rapat Alif. Saya dimaklumkan ada petugas yang sudahpun dihubungi Kementerian Kesihatan KKM) untuk membuat ujian, manakala selebihnya menanti giliran. Tak dinafikan, ia mengganggu kelancaran penggambaran.

“Sebelum ini, penggambaran kerap tertunda berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPKB). Proses juga agak rumit kerana perlu mendapat permohonan untuk merentas negeri kerana penggambaran dilakukan di Melaka dan perlu mendapat kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.

“Semua ini juga membabitkan kos dan saya tak nafikan, syarikat produksi mengalami kerugian,”

– Sheila Rusly

Bagaimanapun, Sheila tidak menyalahkan Alif atas apa yang berlaku. Malah, melahirkan rasa simpati kerana artis serba boleh itu dilihat begitu tertekan dengan keadaan yang menimpa dirinya.

Katanya, Alif menghubunginya menerusi aplikasi Facetime minta maaf berkali-kali, sambil menangis, setiap hari kerana menganggap apa yang berlaku menyusahkan banyak pihak.

“Saya faham dijangkiti COVID-19 bukanlah kehendak Alif, malah saya melihatnya sentiasa menjaga diri dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalani penggambaran.

“Perkara sudah terjadi, nak buat macam mana? Jika saya marah atau mengamuk, ia tidak akan mengubah apa-apa. Lagipun, ini bukan kali pertama saya bekerjasama dengan Alif. Dia seorang yang sangat komited dengan kerja dan tidak pernah membawa masalah kepada produksi,”

– Sheila Rusly

Penyanyi yang popular dengan lagu I Want You To Love Me itu mengesahkannya dijangkiti pandemik COVID-19 menerusi entri di Instagram (IG), Ahad lalu.

Menceritakan kembali detik itu, penerbit berusia 49 tahun itu memaklumkan ketika hadir pada sesi penggambaran drama Penjara Janji pada 19 November lalu, Alif ada mengadu keadaan dirinya yang kurang sihat.

“Alif ada mengadu pada kru yang dia mengalami sakit tekak dan sengal di bahagian tubuh. Waktu itu, kami tak syak apa-apa dan menyangkakan keadaannya disebabkan penat kerana terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Melaka.

“Saya memintanya menjalani pemeriksaan di hospital apabila dihubungi oleh bapanya yang memaklumkan individu yang ditemui pada 17 November lalu positif COVID-19.

“Berdasarkan keputusan x-ray, memang tak nampak sebarang gejala pada bahagian paru-parunya.

Namun, hasil ujian darah akhirnya mengesahkan yang Alif positif COVID-19.

Insya-Allah, saya mendoakan semoga Alif segera sembuh dan petugas produksi tidak mendapat jangkitan supaya dapat menyelesaikan baki penggambaran drama ini,”

– Sheila Rusly

Selain Alif, drama arahan Jinggo yang bakal ditayangkan di slot Samarinda TV3 pada 2021 itu turut dibintangi Azira Shafinaz, Zulin Aziz dan Esma Daniel.

*Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Berusia 91 Tahun, Datuk Kepada Alif Satar Turut Positif Covid-19

Gigih Tutup Panggilan ‘Sayang’, Cinta Mimi Lana & Syafiq Kyle Bertaut Kembali?