in

8TV Hentikan Siaran Selama 1 Jam Untuk Earth Hour

8TV HENTIKAN SIARAN
SELAMA 1 JAM UNTUK EARTH HOUR

Menjadi salah sebuah syarikat penyiaran di Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap kerja-kerja berkaitan dengan alam sekitar, 8TV bersama-sama turut serta dalam Earth Hour sebagai tanda sokongan. Earth Hour akan bermula pada 28 Mac 2009 dari 8.30 hingga 9.30 malam sebagai salah satu kempen kesedaran untuk masyarakat.

Tanggal 28 Mac 2009, 8TV akan bergabung bersama-sama dengan 1000 buah bandar untuk menjayakan kempen Earth Hour dengan memadamkan tenaga elektrik selama satu jam sebagai menetang perubahan suhu dan cuaca yang berlaku di dunia.

Earth Hour merupakan satu inisiatif yang dimulakan oleh World Wide Fund For Nature (WWF) di Sydney, Australia pada tahun 2007. 50 juta penduduk dari 35 buah negara telah mengambil bahagian dalam kempen ini pada tahun lepas. Tahun ini, WWF meletakkan sasaran 1 billion penduduk termasuk badan kerajaan dan korporat termasuk WWF Malaysia untuk turut serta dalam kempen kesedaran global ini.

 
Selain dari membantu untuk mempromosikan Earth Hour, 8TV akan mengurangkan penyiarannya selama satu jam bermula 1 Mac 2009 bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

8TV telah mengambil keputusan untuk mematikan waktu siaran perdana mereka pada 28 Mac 2009 dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam supaya dapat memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat. Ini sekaligus menjadikan 8TV sebagai stesen televisyen pertama yang mengambil tindakan sedemikian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar, “8TV cukup berbangga kerana dapat terlibat sama dalam acara yang cukup bermakna ini. Sebagai salah sebuah syarikat penyiaran, kami faham akan tugas kami sebagai salah sebuah medium terbesar untuk menyampaikan sesuatu yang positif kepada masyarakat. Kami berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bagi menentang perubahan suhu yang berlaku di dunia.

“8TV berjanji untuk meletakkan sepenuh komitmen bagi menjayakan Earth Hour ini. Sebagai langkah pertama, 8TV akan mengurangkan siaran selama satu jam bermula 1 Mac 2009 ini. Sebagai tanda sokongan kepada Earth Hour 2009, untuk pertama kalinya 8TV akan memberhentikan siaran televisyen selama satu jam pada waktu perdana iaitu dari pukul 8.30 hingga ke 9.30 malam pada 28 Mac 2009 ini. Kami merasakan pemilihan waktu perdana sebagai masa yang tepat untuk menghentikan siaran supaya mesej yang ingin disampaikan jelas dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” tambah Izham lagi.

Izham Omar

Selain itu, 8TV akan mengadakan lintas langsung majlis ini dari Menara KL yang bakal diacarakan oleh Qi, Marion dan Owen Yap. 

Lintas langsung yang pertama akan disiarkan pada jam 6.30 petang diikuti jam 7.30 malam dan 8.29 malam (30 saat sebelum waktu siaran dimatikan). Acara ini juga akan disiarkan dalam rancangan Quickie di 8TV pada jam 11.30 malam.

Untuk keterangan lanjut, sila layari www.earthhour.org/malaysia. Anda juga boleh mendaftar untuk bersama-sama dalam kempen Earth Hour ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mawi & Ekin, Khai & Rosma dan Riezman & Kartina Dalam Kelab Pop

MUDAHNYA MENONTON DI HYPP.TV