in

Wan Kamarudin & Heliza Helmi Pengacara Sinar Itu Hadir Jua

Wan Kamarudin dan Heliza Helmi Pengacara Program Dokudrama Terbaharu RTM Sinar Itu Hadir Jua di TV1

Kemunculan Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Heliza Helmi mengacarakan program dokudrama terbaharu, Sinar Itu Hadir Jua menjadi tarikan kepada penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) setiap hujung minggu mulai 15 Januari ini dalam menyuntik kesedaran segelintir masyarakat yang terperangkap dalam kancah kemiskinan. Ia berkongsi tentang ketabahan dan kecekalan hati golongan individu yang kurang bernasib baik dalam mengharungi gelombang kehidupan. Menariknya kisah yang diungkap adalah kisah benar yang diluahkan oleh insan-insan yang sudi membuka lipatan kisah duka mereka.

Menerusi 13 episod siarannya setiap Ahad, jam 4.00 di TV1, Sinar Itu Hadir Jua berkongsi kisah demi kisah benar tentang perjuangan, ketekunan dan kecekalan hati segelintir masyarakat yang turut memaparkan institusi-institusi yang terlibat secara langsung dalam membantu insan-insan yang tidak bernasib baik seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), Kutu Rayau, Pengemis dan banyak lagi.

Realiti kisah golongan yang kurang bernasib baik yang bukan sahaja memerlukan bantuan malahan bimbingan juga dipaparkan kepada penonton. Antara kelainan program ini berbanding yang lain juga kerana ia menyuntik motivasi kepada penerima bantuan yang berpotensi untuk memajukan diri ke arah kehidupan yang lebih baik. Malah bantuan ditawarkan juga berupa latihan kendiri termasuk kraftangan dan perniagaan kepada golongan terlibat.

Kisah-kisah ini dibawa untuk memberi contoh kepada masyarakat tentang keprihatinan masyarakat itu sendiri dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan kehidupan mereka secara kolektif atau bersama. Ia juga menyelami peranan badan-badan kebajikan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu insan-insan yang memerlukan.

Menariknya dokudrama ini turut merungkai kepentingan institusi-institusi bantuan dan kebajikan yang banyak membantu individu-individu bermasalah juga memaparkan perjuangan individu-individu yang tidak mahu menyerah kalah dan gigih berjuang meningkatkan kehormatan diri dan juga berusaha untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Keadaan individu-individu yang ditemui adalah berbeza tetapi persamaannya ialah tetap ada insan yang sudi memberi ruang bagi yang ingin berubah dan membuktikan bahawa golongan yang kurang bernasib baik sememangnya tidak pernah dipinggirkan.

Program diterbitkan oleh Noraziah Zakaria dan Mohd Zamani Ibrahim, Unit Drama TV RTM ini muncul dengan episod pengenalan yang membawa paparan kehidupan Orang Kelainan Upaya (OKU). Terdapat dua lokasi dalam episod pengenalan iaitu Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Trolak dan Kedah. Di PDK Trolak tumpuan isu terarah kepada latihan yang diberikan kepada OKU termasuklah melatih dan menyediakan peluang pekerjaan. Pusat Pemulihan Komuniti menunjukkan hubungan erat antara masyarakat dan institusi kebajikan seperti PDK dan juga JKM dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.

Paparan di Kedah pula mengenai pengusaha kedai runcit. Kekurangan diri mereka sedikit pun tidak melemahkan semangat untuk berjaya seperti insan lain. Kejayaan kedai runcit ini membuktikan bahawa OKU juga boleh berjaya sekiranya mereka sanggup berusaha.

Lagu Titipan Kasih nyanyian Royce Saayan dipilih menjadi lagu tema program ini.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Impiana Klcc Hotel Initiates Go Green Effort

Gambar Selebriti di Sidang Media Anugerah Bintang Popular 2011