in

Ucapan Pn Mazrita Mazlan Sempena Pelancaran Novel Luka & MTV

Bismillahirrahmanirrahim…
Y.Bhg Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal Hj Abu Bakar
   Pengerusi Kumpulan EMKAY

En Kamal Affandi Hassan
   Ketua Pegawai Eksekutif Free Nature Sdn. Bhd.

Y.Bhg Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latif Mohamad
Ahli Lembaga Pemegang Amanah

Yayasan Pulau Banding & Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah

Saudara Tris Zainol Abidin
Penulis Buku LUKA

Saudari Dayang Nurfaizah
Duta Perlindungan dan Pengekalan Alam Semulajadi oleh Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah  

Yg Dihormati Professor Dr Mashhor Mansor
Ahli Lembaga Pemegang Amanah

Yayasan Pulau Banding & Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah      

Yang Berusaha Dr Daniel Baskaran
Ketua Pegawai Eksekutif

Yayasan Pulau Banding   

Yang Dihormati En. Wan Rashdi Wan Ibrahim
Pengurus Besar Operasi   

Para media, Tuan-Tuan, Puan-Puan dan hadirin yang saya hormati sekalian.     

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera  

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan segala kesyukuran ke hadrat llahi kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama berada di Belum Rainforest Resort ini yang pastinya akan menarik perhatian anda semua terhadap keindahan alam semulajadi di kawasan Hutan Belum-Temengor yang berkeluasan 300,000 hektar dan berusia 130 juta tahun…iaitu Hutan Hujan tertua di dunia lebih tua dari Hutan Amazon. Kini, kawasan ini menjadi kawasan eko-pelancongan terbaru negara.

     

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih saya dan penghargaan kepada pihak penganjur, Free Nature Sdn Bhd dan SKI Production selaku penerbit projek ini kerana sudi menjemput Kumpulan EMKAY untuk turut terlibat di dalam projek LUKA ini. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal kerana telah memberikan persetujuan untuk kami terlibat di dalam projek ini dan telah sudi hadir ke Majlis pada malam ini. Juga kepada diff-diff kehormat yang merupakan penggiat usaha pengekalan alam semula jadi di negara kita.   

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,   

Kumpulan EMKAY berasa amat bersyukur dan bertuah sekali kerana dapat bersua muka dengan para wartawan dari segmen hiburan buat julung kalinya di resort ini. Untuk pengetahuan hadirin sekalian, Pulau Banding merupakan pulau buatan manusia berkeluasan 600 ekar yang terletak di Tasek Temengor. Belum Rainforest Resort ini yang mula beroperasi pada April 2008 merupakan pintu masuk ke Hutan Belum-Temengor yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna yang unik, antaranya seperti 3 spesis Rafflesia dan 10 spesis Burung Enggang di kawasan Hutan Belum-Temengor yang merupakan satu-satunya lokasi di Malaysia yang dihuni oleh kesemua 10 spesies burung enggang yang terdapat di Malaysia. Jadi, kami berharap dan memohon agar anda semua dapat membuat liputan sebaik mungkin sepanjang berada di resort ini sambil mengalami sendiri keindahan alam semula jadi di sini. Sumbangan anda dengan memaparkan keindahan kawasan Belum-Temegor ini, bermakna anda telah membantu mempromosikan industri pelancongan negara kerana turut memasarkan destinasi eko-pelancongan terbaru ini.
               
Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta hadirin sekalian,
             
Kami di Kumpulan Emkay merasa sungguh berbesar hati kerana dapat bersama-sama dengan pihak penerbit Novel LUKA, iaitu Free Nature Sdn Bhd dan SKI Production, dalam menjayakan 2 penerbitan klip video  lagu Dayang Nurfaizah yang dirakamkan berlatar belakangkan kawasan Hutan Belum dan Belum Rainforest Resort ini serta menjayakan Majlis Pelancaran Novel LUKA pada malam ini.   

Kami difahamkan bahawa sasaran pembaca Novel ini adalah kepada golongan remaja di dalam lingkungan umur 14 – 25 tahun. Seperti yang kita sedia maklum, pada masa sekarang golongan ini lebih mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat dan jika diberi peluang pun, mereka lebih gemar menghabiskan masa yang terluang dengan aktiviti yang tidak membangunkan minda contohnya seperti melepak di pusat-pusat hiburan, bermain ‘video game’ dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini tidak membawa impak yang berkualiti pada diri mereka, sedangkan diusia remaja inilah mereka patut mengisi minda dengan perkara-perkara positif untuk mengharungi cabaran dunia hari ini.   

Dengan terbitnya novel Luka karya Tris Zainol Abidin, ianya memberi satu platfom baru bagi memupuk minat membaca di kalangan generasi muda. Saya juga difahamkan bahawa ‘LUKA’ adalah novel pertama di Malaysia yang disertakan dengan muzik latar yang akan membuat pembacanya lebih tersentuh dengan kisah cinta ‘LUKA’ ini. Kami berharap melalui strategi berhibur sambil membaca ini, golongan remaja kita akan lebih tertarik untuk mendekati buku dan membaca, serta dapat menghayati dendangan 2 muzik latar nyanyian Dayang Nurfaizah. Turut menjadi harapan Kumpulan EMKAY dan Yayasan Pulau Banding serta Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah, golongan remaja yang menghayati buku ‘LUKA’ dan video lagu Dayang ini, akan turut teruja untuk menyintai alam semulajadi serta menyayangi spesis haiwan yang diancam kepupusan seperti primate Orang Utan.        

Kecintaan golongan remaja terhadap pengekalan dan pemuliharaan alam semulajadi akan menjamin keindahan dan kesejahteraan kehidupan generasi akan datang terus kekal dan terjamin. Usaha pihak Kumpulan EMKAY, Yayasan Pulau Banding dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah adalah bagi mengelakkan generasi akan datang dari tidak  berpeluang menikmati keindahan flora dan fauna serta tidak kenal bagaimana rupanya Orang Utan, tetapi hanya melihat gambar-gambar dan tulang-tulangnya sahaja.   

Hadirin sekalian,      

Generasi muda hari ini merupakan golongan yang paling sukar didekati dan sukar untuk menghargai makna keindahan alam semulajadi. Mereka juga tidak peka kepada aktiviti-aktiviti atau kempen-kempen cintai alam yang dianjur oleh pelbagai pihak termasuk oleh media. Seharusnya, golongan muda inilah yang patut lebih prihatin dan diberi kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar kerana ianya amat penting demi masa hadapan generasi seterusnya. Sesungguhnya, kita bukannya mewarisi alam ini dari nenek-moyang kita, tetapi meminjamnya dari generasi masa depan
    
Seiring dengan wawasan Kumpulan Emkay, penerbit ‘LUKA’ bersama penulisnya, Tris Zainol Abidin sebenarnya telah melakukan satu pembaharuan dengan menyelitkan kawasan Hutan Hujan Belum-Temengor dan Pulau Banding Foundation di dalam Novel ini dan ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian pembaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kawasan Hutan Belum serta khazanah alamnya ini termasuklah Belum Rainforest Resort ini yang amat sesuai dijadikan destinasi percutian keluarga, ekplorasi hutan dan aktiviti berkaitan alam semula jadi lain.   

Pembahruan ini merupakan satu alternatif baru untuk kita memberi kesedaran kepada generasi hari ini agar mengenal dan menghargai alam semula jadi serta akan sentiasa memelihara dan memulihara kurniaan Ilahi yang tidak terhingga nilai dan nikmatNya ini.   

Tuan- Tuan dan Puan-Puan serta hadirin sekalian,  

Sebelum saya mengakhiri ucapan pada malam ini, saya ingin mengajak semua yang hadir di majlis ini untuk menjadikan bumi Malaysia yang dipijak ini, tempat yang sihat, makmur dan selamat untuk kita dan demi kesejahteraan generasi akan datang.   

Sekian, terima kasih         

Wabillahitaufik, walhidayat, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip Penyanyi Bercinta Dan Akan Kahwin Dengan Kerabat?

Ada Sebab Mengapa Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari Bercium Dalam Filem