in ,

TV3 Anjur Pertandingan Idola Kecil Di Rumah, Ini Senarai Peserta Yang Bertanding

Selepas tujuh tahun tidak bersiaran, program realiti kanak-kanak, Idola Kecil kembali bersiaran dengan penerapan norma baharu yang dikenali sebagai Idola Kecil Di Rumah.

Menerusi program berkonsep baharu terbitan TV3 itu, peserta perlu merakamkan nyanyian di rumah, kemudiannya video rakaman perlu dihantar kepada TV3 secara talian bagi menjaga kualiti audio dan video agar penonton dapat menikmatinya sama seperti rakaman di studio.

Pengurus Projek Idola Kecil Dari Rumah, Muhamad Sufian Che Isa berkata, kaedah persembahan dari rumah adalah paling bersesuaian dalam situasi negara yang masih ‘berperang’ melawan penularan pandemik COVID-19, walaupun pelaksanaannya bukan mudah.

Sufian berkata, program Idola Kecil Di Rumah yang dikendalikan oleh pengacara Sissy Imann terpaksa dirakam terlebih dahulu demi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

“Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun masih belum mendapat vaksinasi dan demi memastikan mereka tidak terdedah kepada isu kesihatan, jadi ini antara faktor utama kami terpaksa mengubah suai program menjadi satu konsep baharu dengan memperkenalkan Idola Kecil Di Rumah.

“Bagaimanapun, menerbitkan program dari rumah bukanlah sesuatu mudah dan ia adalah satu cabaran besar kerana perlu sentiasa berkomunikasi dengan ibu bapa peserta dan memberikan arahan kepada mereka secara dalam talian.

“Kami perlu memastikan pautan jalur lebar peserta bagus, selain kamera telefon bimbit yang digunakan perlu menepati piksel yang dimahukan supaya dapat menghasilkan kesan visual yang baik apabila ditayangkan di kaca televisyen (TV),”

– Muhamad Sufian Che Isa

Sufian ditemui pada sidang akhbar program Idola Kecil Dari Rumah secara virtual, semalam.

Katanya, dia terharu ada ibu bapa yang sanggup melabur membeli peralatan baharu bagi memastikan dapat menghasilkan audio visual cantik dan berkualiti.

Lantaran itulah, kata Sufian, pihaknya perlu memilih pendekatan secara rakaman bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini sekiranya disiarkan secara langsung di kaca televisyen (TV).

Bagaimanapun, kata Sufian, dua segmen baharu diperkenalkan dalam program yang berdurasi satu jam, Sembang IK dan Genius IK yang dibuat secara rakaman langsung.

Katanya, segmen yang bertujuan menguji kebolehan komunikasi, IQ dan kecerdasan otak peserta akan menyaksikan temu bual langsung antara Sissy bersama peserta.

“Bagi memastikan kelancaran program, hanya enam peserta sahaja dipilih untuk menyertai program Idola Kecil Di Rumah, tahun ini. Peserta masih dinilai dengan kaedah sama iaitu 50 peratus undian penonton, manakala 50 peratus lagi membabitkan juri profesional.

“Tiada proses penyingkiran dilakukan menerusi program lapan episod ini. Namun, bagi memberi semangat bersaing di kalangan peserta, hadiah mingguan berupa wang tunai RM500 tunai diberikan kepada peserta meraih gelaran Idola Kecil Terbaik.

“Oleh kerana tiada penyingkiran, kami menawarkan hadiah mingguan lumayan untuk menaikkan semangat mereka,”

– Muhamad Sufian Che Isa

Sesi uji bakat Idola Kecil Di Rumah dilakukan selama sebulan dari pertengahan Ogos hingga September lalu. Turut diadakan uji bakat secara dalam membabitkan 300 penyertaan.

Enam peserta berjaya menyertai program Idola Kecil Di Rumah adalah Adaputra Iskandar Danial Asdahrizam atau Ada, 11; Nur Zulaikha Mohamad Riduan (Ikha, 12); NurAdyena Hanim Abdul Hamid (Dyna, 11); Razfazreyza Fenge Mat Rafengi (Reyza, 12); Nur Marsha Auni Zahira (Asha, 12) dan Nur Qaireen Izyan Damia Jukiri (Qyen, 11).

Mengulas pemilihan Sissy selaku hos, Sufian berkata, Sissy antara pengacara yang sedang meningkat naik. Malah, keceriaan, usia dan pengalaman luas dalam bidang muzik memberi kelebihan kepadanya mengendalikan program itu.

“Program Idola Kecil sebelum ini sinonim dengan Alif Satar. Jadi, memandangkan sudah tujuh tahun program ini dihentikan, perlu mencari pembaharuan agar tidak terbawa-bawa program Idola Kecil dahulu.

“Kami memilih Sissy kerana seorang yang ceria, memiliki pengalaman dalam bidang muzik dan tahu bagaimana untuk mengendalikan kanak-kanak berikutan pengalaman sebagai guru,”

– Muhamad Sufian Che Isa

Selain Sissy, program Idola Kecil Di Rumah turut mengundang hos berbeza, setiap minggu. Ia membabitkan penyanyi kelahiran program Idola Kecil iaitu Haqiem Rusli, Afiq Syazwan, Didi Astillah, Syada Amzah, Azzam Sham, Irfan Haris dan Harris Alif.

Program Idola Kecil Dari Rumah akan bersiaran setiap Ahad, jam 3 petang di TV3.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tony Fernandes Airasia 2020 | 23

Ahli BIG Kini Boleh Menggunakan Big Poin Untuk Menebus Kursus Digital di Airasia Academy

Shuib 2021 | 24

Sepahtu Reunion, Jep Ditanya Siapa Bakal Ganti Shuib, Sekali Amir Raja Lawak Masuk Komen