in

Harris Juara Idola Kecil 3

HARRIS JUARA IDOLA KECIL 3!

Shah Alam, 25 Disember 2010 – Program realiti kanak-kanak Nombor Satu Malaysia, Idola Kecil 3, kini telah sampai ke penghujungnya. Malam penentuan bagi kelima-lima peserta telah pun diketahui pada malam penuh debaran ini yang diadakan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada jam 8.30 malam.

Tv9 Idola Kecil

Harris atau nama penuhnya, Nor Harris Alif Rashidi, telah dinobatkan sebagai Juara Idola Kecil Musim Ketiga dan menjadi lelaki pertama untuk mendapat gelaran tersebut.

Idola Kecil musim ini sememangnya memukau ramai penonton bukan sahaja di kalangan anak-anak kecil tetapi juga seluruh isi keluarga. Setiap kali suara peserta Idola Kecil 3 berkumandang di televisyen, studio mahupun di radio, ia terus memberi impak luar biasa kepada pendengar sehingga “meremang bulu roma” kerana nyanyian mereka amat mengagumkan.

Tv9 Idola Kecil

Walaupun masih mentah dalam umur dan dunia seni, tetapi setiap daripada mereka telah menunjukkan profesionalisma dan keyakinan diri yang amat membanggakan. Benarlah bak kata pepatah, “umur bukanlah kayu pengukur kebolehan seseorang”.

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar TV9, “Persembahan yang ditunjukkan oleh setiap peserta semakin meningkat dari musim pertama hinggalah kini, musim ketiga. Namun, tidak dapat dinafikan pada musim ketiga ini, persembahan mereka terutamanya daripada segi vokal semakin berkualiti sehingga menyukarkan Atilia selaku juri tetap dan juga juri jemputan mingguan memberi markah. Sehingga pernah ketika konsert kelima (episod keenam), kelapan-lapan peserta mempunyai pemarkahan yang sama rata dan pihak penerbitan terpaksa mengekalkan kesemua mereka dan penyingkiran dilakukan pada minggu seterusnya. Secara jujurnya, kami amat bangga dengan program Idola Kecil kami ini kerana ia telah mencungkil bakat luar biasa kanak-kanak.”

“Kami amat bangga dengan Idola Kecil 3 kerana program ini bukan hanya mencungkil bakat besar kanak-kanak, tetapi ianya juga telah menjadi rujukan dan pemangkin kepada program realiti kanak-kanak yang lain dan kini bagaikan menjadi satu trend ikutan dalam bidang penyiaran di Malaysia,” tambah beliau lagi.

Idola Kecil 3 yang disiarkan setiap Sabtu bermula 6 November ini telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan dan meraih sehingga 1.3 juta penonton. Sokongan yang diberikan kepada program realiti kanak-kanak ini bukan sahaja menerusi kaca televisyen tetapi juga berlanjutan di dalam facebook sehingga berjaya mendapat 20,000 peminat.

Bukan itu sahaja, malah ia juga berlanjutan di twitter, blogger, sms menerusi rancangan dan panggilan juga yang tidak putus-putus daripada orang ramai yang diterima oleh pihak TV9. Ada juga antara mereka yang menghasilkan laman facebook Idola Kecil 3 yang tidak rasmi dan memberikan maklumat terkini tentang peserta kesayangan mereka.

Tv9 Idola Kecil

Hadi dan Balqis mendendangkan lagu Maafkan Ku Terlewat

Program ini juga memberi peluang kepada penonton setia kami untuk berinteraksi sesama mereka menerusi medium online secara sihat. Ini dapat dibuktikan apabila di dalam setiap interaksi yang terdapat di dalam internet ini, rata-rata memberikan pelbagai komen, maklum balas dan perangsang bagi meningkatkan kualiti program ini.

Paling utama, ia juga telah dapat memupuk silaturrahim antara mereka dan menambahkan lagi bilangan sahabat di kalangan mereka.

Sepanjang dua bulan penglibatan mereka dalam menggapai gelaran “Idola Kecil”, mereka telah menjalani pelbagai jenis kelas vokal dan tarian bagi menggilap bakat yang sedia ada.

Tiada erti penat dalam kamus diri mereka kerana minat yang begitu mendalam dalam bidang ini. Bersama guru-guru berkaliber, Cikgu Alfa Booty (pengarah muzik), Cikgu Delly (vokal) dan Cikgu Affizal (tarian), latihan diadakan dengan penuh dedikasi untuk memastikan hanya yang terbaik pada malam kemuncak ini.

Tv9 Idola Kecil

Harris mendendangkan lagu Drama King

Setelah melalui enam konsert mingguan penuh kejutan, 5 dari 10 peserta IK3 telah berentap di pentas akhir Idola Kecil 3 dengan dua buah lagu bagi setiap peserta.

Satu lagu merupakan lagu ciptaan daripada tenaga pengajar dan juga komposer berpengalaman seperti Alfa Booty, Rumie Booty, Delly, Ayeos, Badrul Stellar, dan penulis liriknya adalah Ad Samad, Tisya dan Brika Amri. Sementara sebuah lagi lagu adalah lagu yang dipopularkan oleh penyanyi tempatan.

Persembahan dan vokal terbaik telah pun diberikan oleh kesemua peserta dan Harris, Hadi, Puteri, Shazlin dan Balqis telah pun memberikan persembahan yang paling berkualiti pada malam tersebut. Konsert akhir malam ini telah dimulakan dengan lagu “Kalau Berpacaran” (lagu yang dipopularkan oleh Sohaimi Mior Hassan, Anna Raffali dan Altimet) dan “Hidup Penuh Semangat” daripada peserta-peserta akhir Idola Kecil 3.

Berikut adalah senarai lagu-lagu yang telah dibawa oleh kelima-lima finalis Idola Kecil 3:

1. Abdul Hadi Mazlan (Hadi) 11 tahun Pelita nyanyian A.P.I. Kuala Lumpur
2. Puteri Aszfaryna Khareeza (Puteri) 12 tahun Kata Mama (lagu baru:Alfa Booty/Ad Samad) Kuala Lumpur
3. Nor Harris Alif Rashidi (Harris) 11 tahun Sampai Ke Bulan (lagu baru:Rumie Booty/Tisya) Pulau Pinang
4. Nor Balqis Ahmad Tajuddin (Balqis) 11 tahun Noktah Cinta nyanyian Hafiz Terengganu
5. Puteri Aszfaryna Khareeza (Puteri) 12 tahun Mencari Konklusi nyanyian Hujan Kuala Lumpur
6. Shazlin Salamat (Shazlin) 12 tahun Dunia Khayalan (lagu baru:Badrul Stellar/Brika Amri) Sarawak
7. Abdul Hadi Mazlan (Hadi) 11 tahun Maafkanku Terlewat (lagu baru:Delly/Ayeos) Kuala Lumpur
8. Nor Harris Alif Rashidi (Harris) 11 tahun Drama King nyanyian Meet Uncle Hussain Pulau Pinang
9. Nor Balqis Ahmad Tajuddin (Balqis) 11 tahun Pertama & Kedua (lagu baru:Alfa Booty/Tisya) Terengganu
10. Shazlin Salamat (Shazlin) 12 tahun Selamat Malam nyanyian Faizal Tahir Sarawak

Konsert akhir yang dihoskan oleh Alif Satar ini telah menyaksikan finalis IK3 dinilai bukan sahaja dari segi vokal nyanyian, malah tarian, penghayatan dan lakonan juga diambil kira bagi memastikan hanya yang paling layak mendapat gelaran Juara Idola Kecil Musim Ketiga.

Tv9 Idola Kecil

Raja Putri Atilia binti Raja Haron (Atilia) juri tetap kepada program ini akan berpasangan dengan juri jemputan Adnan Abu Hassan yang juga merupakan penggubah lagu dan komposer termasyhur Malaysia.

Sebagai pelengkap konsert penuh debaran ini nyanyian lagu “Di Akhir Garisan” telah didendangkan oleh kesemua peserta Idola Kecil 3 termasuklah yang telah tersingkir pada minggu-minggu sebelum ini iaitu Nurhamilya Adiba Bt. Hamzaidi (Adiba), 10; Nadeera Allysha Bt. Aminudin (Deera), 11; Farra Noradzlina Bt. Safwan (Farra), 10; Muhammad Afif B. Abdul Halim (Afif), 10; dan Angelica Paujin (Angel), 11.

Tv9 Idola Kecil

Program ini tidak berakhir pada malam ini tetapi sebagai hadiah kepada peminat-peminat setia Idola Kecil 3, kami akan menerbitkan satu episod istimewa iaitu Memori Idola Kecil 3 pada 1 Januari 2011, 9 malam. Episod istimewa ini akan menyingkap kembali memori manis dan pahit kesemua peserta selama berada di dalam pertandingan ini.

Berikut adalah hadiah Idola Kecil 3 yang dibawa pulang oleh setiap peserta:

➢ Juara Idola Kecil 2 (dimenangi oleh Harris)
• Wang tunai berjumlah RM10,000 sumbangan TV9
• Trofi Idola Kecil 3
• Sijil penyertaan

➢ Tempat Kedua (dimenangi oleh Puteri)
• Wang tunai berjumlah RM5,000 sumbangan TV9
• Trofi Idola Kecil 3
• Sijil penyertaan

➢ Tempat Ketiga (dimenangi oleh Balqis)
• Wang tunai berjumlah RM3,000 sumbangan TV9
• Trofi Idola Kecil 3
• Sijil penyertaan

➢ Tempat keempat hingga kesepuluh
• Wang tunai berjumlah RM1,000 sumbangan TV9
• Sijil penyertaan

Program realiti kanak-kanak Nombor Satu Malaysia, Idola Kecil 3 ini diterajui oleh Kamarul Zamli Ramly selaku penerbit eksekutif bersama penerbit, Nurul Ashikin Halim.

Tv9 Idola Kecil

Tv9 Idola Kecil

Tv9 Idola Kecil

Tv9 Idola Kecil

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Nama 12 Finalis Raja Lawak Musim 5

Eksplorasi Gunung Pertama Malaysia