in

Trivia Sejarah ANUGERAH SERI ANGKASA Yang Anda Perlu Tahu

Anugerah Seri Angkasa merupakan anugerah berprestij yang mengiktiraf para penggiat penerbitan program-program radio dan televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan RTM. Ia terlebih dahulu dikenali sebagai Anugerah RTM, yang dicetuskan oleh Kementerian Penerangan Malaysia pada tahun 1972.

Sehingga tahun 2000, penyertaan ASA hanya terbuka kepada kakitangan RTM. Beberapa penganjuran ASA sejak 1972 menyaksikan perkembangan terutamanya dalam aspek kategori dan pencalonan.




Biarpun majlis penganugerahan mula dianjurkan pelbagai institusi media dalam tempoh itu, ASA tetap berdiri teguh menganjurkan ASA demi memperbaiki kualiti karya kakitangan RTM khasnya dan hasil produksi luar amnya serta bagi menyediakan peluang dan ruang kepada pengkarya dan penggiat seni tanahair mengetengahkan hasil produksi yang boleh diiktiraf menerusi medium yang berprestij.

ASA Era Terbitan RTM, Penanda Aras Standard Kualiti Penyiaran Malaysia

[dropcap]P[/dropcap]enganjuran ASA pada awalnya hanya mengetengahkan beberapa kategori utama seperti drama terbaik, pelakon drama lelaki dan wanita, penulisan skrip, pengacaraan, juruhebah radio serta penerbitan dokumentari terbaik.

[pullquote align=”right”]Mengiktiraf peranan radio pada satu ketika dahulu yang merupakan medium yang paling dekat dengan pendengar, ASA turut memperkenalkan kategori juruhebah terbaik.[/pullquote]

Pengiktirafan turut diberikan kepada bahagian sokongan yang banyak bekerja di belakang tabir seperti audio, jurukamera, penyunting visual serta penataan cahaya meskipun ketika era itu dunia penyiaran masih lagi dalam format hitam putih sehinggalah ia memasuki era televisyen warna.

Asa 1991

Ikuti trivia sejarah Anugerah Seri Angkasa pada awal penganjurannya bersama RTM:

• Penganjuran ASA 1978, RTM menempa sejarah apabila buat pertama kalinya Anugerah Seri Angkasa disiarkan dalam konsep televisyen warna.

• Dato Ahmad Tamimi Serigar antara penggiat seni yang banyak diiktiraf menerusi beberapa penganjuran ASA. Antara anugerah yang dimenangi termasuk bagi kategori Pelakon Pembantu TV Terbaik, menerusi drama RTM berjudul Percayalah pada tahun 1976, Beliau turut memenangi Anugerah Pengarah Terbaik menerusi drama Ana & Aishah pada tahun 1992 dan diangkat sebagai Personaliti Popular pada tahun 1995. Beliau juga seringkali menjayakan ASA sebagai pengacara dan penyampai anugerah.

• Anugerah Seri Angkasa sentiasa mengutamakan mutu pengadilan terbaik pada setiap penganjuran. Setiap kategori yang dipertandingkan diadili juri profesional terdiri dalam kalangan pakar dalam pelbagai bidang seni dan penyiaran tempatan. Tokoh akademik Prof Emeritus Dr Nik Safiah Karim merupakan antara individu yang kerap mengetuai panel juri ASA.

• Menerusi ASA 1985, kategori yang dipertandingkan mungkin berbeza dengan kategori pada majlis penganjuran era kini, antaranya Calon Bakat Harapan, Penulis Rencana Terbaik, Pemidato Terbaik, Pelukis Terbaik. Ia membuktikan ASA turut mengiktiraf bakat kakitangan di setiap jabatan, antaranya jabatan penerangan.

• Pada penganjuran Anugerah Seri Angkasa era 1980an, RTM turut menerbitkan program pra-anugerah seperti Menjelang Malam Sri Angkasa, bagi memperkenalkan senarai calon akhir. Program berkenaan pada tahun 1985 diacarakan 2 juruhebah radio RTM yang terkenal pada era 80an, Noramin dan Zainal Din Zainal.

• Majlis Anugerah Seri Angkasa 1989 diacarakan pelakon Fauziah Nawi dan Datuk Aziz Singah. Anugerah pada ketika itu disebut sebagai Oscar.

• ASA 1989 menampilkan Allahyarham Datuk Ahmad Daud sebagai penyampai anugerah dan anaknya Fauziah Ahmad Daud, juga sebagai penyampai anugerah dan menyanyi bagi acara persembahan. Antara selebriti lain yang membuat penampilan khas bagi acara persembahan termasuk juara Bintang Pujaan RTM ketika itu, Fauziah Latiff, Roy dan Fairus Hussain.

• ASA 1989 menampilkan pelbagai personaliti sebagai penyampai anugerah, antaranya pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan.

• Pelakon veteran Allahyarham Mahmud June ketika menyampaikan anugerah pada ASA 1989 mendedahkan dia pernah dibayar serendah RM90 bagi sebuah drama yang dijayakannya ketika era berkenaan.

• Walaupun bertujuan menghargai karya seni dan kakitangan RTM, Anugerah Seri Angkasa pernah menyenaraikan kategori Penyanyi Radio Pilihan yang dipilih berdasarkan kad permintaan pendengar, antaranya menerusi ASA 1989/90.

• Menerusi Anugerah Seri Angkasa 1992, drama Ana & Aisyah mengungguli anugerah utama. Drama arahan Datuk Ahmad Tarmimi Serigar ini juga turut memenangi kategori Pengarah Drama TV Terbaik dan Drama TV Terbaik, Pelakon utamanya, Marlia Musa turut memenangi kategori Pelakon Wanita Drama TV Terbaik.

• Anugerah Seri Angkasa 1992 membawa konsep yang berbeza daripada penganjuran majlis anugerah yang selalu menggandingkan dua pengacara sahaja. ASA 1992 menggandingkan 4 pasangan pengacara yang cukup popular dalam bidang lakonan, juga kalangan pelakon yang juga merupakan pasangan suami isteri iaitu Ahmad Tarmimi Serigar dan Ramona Rahman, Aziz M.Osman dan isteri, Nur Aliah Lee, Hani Mohsin dan isteri, Tiara Jaquelina serta Eman Manan dan Aida Rahim

• Pada Malam Anugerah Seri Angkasa 1993, segmen persembahan khasnya menampilkan anak-anak muda Malaysia yang mewakili negara di Samudera Antarabangsa yang dikenali sebagai MISC, mengenakan pakaian ala tentera laut. Turut mewarnai acara, persembahan 3 lagu yang dicipta khas dengan lirik khusus mengenai Anugerah Seri Angkasa.

• Malam Anugerah Seri Angkasa 1999 menampilkan lagu Anugerah Sri Angkasa sebagai pembuka acara, dinyanyikan oleh Nassier Wahab, Shahrizan, Liza Hanim dan Elly Mazlin. Lirik lagu berkenaan dicipta oleh Siso, manakala lagunya ciptaan Ahmad Ali.

• ASA 1999 diacarakan secara bergilir oleh penyanyi Awie, Ziana Zain dan Liza Hanim, dalam beberapa segmen berwarna iaitu biru, merah, hijau, hitam dan putih sebagai mewakili warna asas dalam penerbitan siaran televisyen.

• Antara anugerah yang dipertandingkan pada ASA 1999 tetapi tidak lagi dipertandingkan menerusi ASA terbitan kini ialah Rancangan Remaja TV terbaik, yang dimenangi Golden Teen Stuff terbitan syarikat produksi luar.

• Sebagai acara selingan, malam penganjuran ASA 1999 menampilkan kerja belakang tabir kakitangan produksi pelbagai unit di RTM, termasuk yang dilakonkan semula para pelawak terkenal tanah air.

• Anugerah Seri Angkasa turut mengiktiraf sumbangan individu penting dalam pembangunan industri penyiaran. Menerusi ASA 1997, Anugerah Khas Seri Angkasa diberikan kepada Datuk Hassan Azhari atas penglibatan beliau selama 40 tahun bersama RTM. Beliau merupakan seorang pendidik terkenal dengan rancangan Muqaddam yang diterbitkan RTM sejak awal 1970-an.

• Menerusi ASA 1999, drama Amy Anuar terbitan Eurofine dan diarahkan Meor Hashim Manap mencatat sejarah tersendiri apabila memenangi 7 anugerah iaitu bagi kategori Drama TV Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Drama Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pencahayaan TV Terbaik dan Penerbitan TV Terbaik.

• Drama Amy Anuar, mengenai lelaki berpewatakan lembut yang cuba mengubah kehidupan, terpaksa menunggu giliran tayangan selama hampir lapan bulan iaitu dari Februari sehingga Oktober sebelum ditayangkan di TV1 di bawah kategori klasifikasi 18PL.

• Pengulas sukan tersohor negara, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang antara senarai popular ASA. Allahyarham mengungguli kategori Pengulas TV Terbaik selama 3 tahun iaitu pada penganjuran ASA 1989, 1991, 2004.

• Atas jasa besarnya terhadap pembangunan RTM khasnya dan industri penyiaran Malaysia amnya, bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat menerima 2 anugerah istimewa sepanjang penganjuran Anugerah Seri Angkasa. Kali pertama menerusi ASA 1999, iaitu Anugerah Kenangan Seri Angkasa dan kali kedua pada ASA 2005, iaitu Anugerah Tokoh Penyiaran Seri Angkasa.

• Menerusi ASA 2001, drama “Takbir Untuk Abdah” merangkul 6 anugerah. Drama arahan Ahmad Ibrahim itu dijayakan pelakon Rosyam Nor dan Wan Nor Azlin.

• Tan Sri SM Salim menerima Anugerah Cenderahati Khas pada ASA 2001 atas sumbangannya terhadap RTM dan industri hiburan tanah air. Beliau juga pernah menjadi penyampai radio RTM yang dikenali sebagai Radio Malaya.

• ASA 2001 turut menyampaikan Anugerah Khas kepada Allahyarham Zaiton Hussain pelakon yang menjayakan siri drama paling lama disiarkan RTM, “Opah”.

• Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC merupakan antara lokasi paling kerap digunakan bagi penganjuran majlis ASA selain Auditorium Perdana Angkasapuri yang dahulunya dipanggil Auditorium Besar Angkasapuri.

• ASA 2001 diacarakan Bob Lokman, Maya Karin dan Aznil Nawawi, disiarkan secara langsung selama 5 jam menerusi TV1, rekod bersejarah dicatat RTM. Sesetengah pihak berpendapat catatan itu seharusnya diletakkan dalam Malaysia Book Of Records.

• ASA 2001 menggabungkan lebih 70 artis dan karyawan seni menjayakan penganjurannya.

• Normah Abd Aziz, antara penerbit RTM yang paling kerap menerbitkan siaran langsung Majlis Anugerah Seri Angkasa pada era 80an dan 90an.

• Penganjuran Anugerah Seri Angkasa terdahulu turut mengiktiraf karya pengiklan dengan menampilkan kategori Iklan Televisyen dan Radio Terbaik sebagai menghargai kerjasama syarikat luar yang membeli iklan di pelbagai saluran RTM.

• 3 buah drama mencipta kegemilangan tersendiri bersama Anugerah Seri Angkasa apabila diangkat sebagai pemenang kategori-kategori utama iaitu drama Ana & Aisyah pada 1992, drama Amy Anuar pada ASA 1999 dan drama Takbir Untuk Abdah pada ASA 2001.

Selepas 6 tahun tanpa sebarang penganjuran, malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2016 pastinya dinanti-nantikan. Dengan tema “Evolusi Tanpa Batasan” ASA 2016 akan berlangsung pada 20 dan 21 Mei 2016, dan akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri menerusi TV1.

Antara pemenang kalangan kakitangan RTM pada penganjuran ASA 1994

Dato’ Ahmad Tamimi Serigar antara personaliti hiburan yang mengungguli pelbagai kategori Anugerah Seri Angkasa sejak 1976

Bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat 2 kali menerima Anugerah Khas Juri iaitu pada ASA 1999 dan ASA 2004

Wajah gembira para pemenang dari pelbagai latar belakang stesen penyiaran pada penganjuran ASA 2010 dengan trofi masing-masing

Ramona Rahman & Ahmad Tarmimi Serigar antara gandingan pasangan pengacara pada ASA 1992

Aktres Noorkumalasari menerima anugerah pada ASA 1991.

Asa - 1992

Asa - 1994

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Premiere With Budiey – THE ANGRY BIRDS MOVIE

Sekitar Samsung Galaxy S7 & S7 edge Great Galaxy Adventure