in

Ada Sebab ANUGERAH SERI ANGKASA Kembali Dianjurkan

Penganjuran Anugerah Seri Angkasa (ASA) terakhir pada tahun 2010 telah meninggalkan banyak kenangan manis bagi karyawan-karyawan yang telah dinobatkan sebagai terbaik dalam menghasilkan sesuatu karya. Kini Anugerah Seri Angkasa 2016 kembali dianjurkan ketika Radio Televisyen Malaysia (RTM) mencapai usianya yang ke-70 tahun.

Mungkin generasi sekarang tidak mengetahui mengenai acara berprestij ini. Menyingkap kembali sejarah Anugerah Seri Angkasa (ASA), ia merupakan sebuah anugerah berprestij karyawan penyiar tanah air yang diperkenalkan pada tahun 1972, tiga tahun selepas penggabungan Radio Malaysia dan TV Malaysia kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

ASA - 1991 (2)

Anugerah Seri Angkasa: Pengiktirafan Khas Kepada Karyawan Penyiaran Terbaik Negara

[dropcap]K[/dropcap]etika era tersebut daya tarikan utama penganugerahan ini ialah penerbitan drama dan hiburan dengan memperkenalkan beberapa kategori anugerah termasuk drama terbaik, pelakon drama lelaki dan wanita, penulisan skrip, pengacara, juruhebah radio serta penerbitan dokumentari terbaik. Kategori lain yang turut diiktiraf adalah bahagian sokongan seperti audio, jurukamera, penyunting visual serta penataan cahaya walaupun ketika era itu penerbitan dibuat dalam hitam putih.




Penganugerahan ASA ini diteruskan sehingga era TV warna pada tahun 1978 hingga awal tahun 2000 dan ketika itu penyertaannya hanya dibuka kepada kakitangan dan penerbitan yang disiarkan menerusi RTM sahaja memandangkan anugerah ini dianjurkan atas inisiatif RTM.

Namun, pada tahun 2004, Anugerah Seri Angkasa buat pertama kalinya membuka penyertaan kepada stesen-stesen swasta dalam usaha mewujudkan persaingan yang lebih sihat di kalangan karyawan industri penyiaran negara. Usaha ini diteruskan lagi pada penganjuran Anugerah Seri Angkasa 2006.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan yang akrab serta semangat setia kawan di antara tiga peneraju utama stesen-stesen penyiaran negara masa kini; iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku stesen penyiaran kerajaan, Media Prima Berhad (stesen penyiaran swasta) dan ASTRO (stesen penyiaran berbayar), maka Anugerah Seri Angkasa 2010 dianjurkan buat pertama kalinya oleh ketiga-tiga peneraju utama ini dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) selaku peneraju induk ketika itu.

Dan kini sejarah bakal dicipta pada tahun 2016 ini apabila stesen TV Alhijrah bakal menyertai anugerah berprestij ini buat kali pertama sebagai stesen terestrial percuma ke udara serta enam stesen radio swasta turut menyertainya.

Anugerah yang bertemakan Evolusi Tanpa Batasan ini akan disiarkan secara langsung di TV1 pada 20 dan 21 Mei 2016 bertempat di Auditorium Perdana Angkasapuri Kuala Lumpur jam 9.00 malam.

Pastinya Anugerah Seri Angkasa 2016 akan menjadi cetusan dalam meneruskan matlamat untuk memartabatkan penggiat seni TV dan Radio di negara ini serta terus menyuntik semangat para penyiar tempatan untuk berjuang tanpa jemu di persada industri penyiaran dan seni tanah air.

Gambar-gambar nostalgia Anugerah Seri Angkasa:

ASA - 1991 (3)

ASA - 1991 (4)

ASA - 1991 (5)

ASA - 1991

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Apa Pula Kata Penonton Tentang ADA APA DENGAN CINTA 2

NICHOLAS SAPUTRA

Apa Yang Anda Patut Tahu Tentang Puisi Rangga dalam AADC2