in ,

Teater Natrah Penuhi Program Maulidur Rasul Di TV1

Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputraan Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

Bulan Rabiulawal telah mencatat pelbagai peristiwa penting dalam sejarah tamadun Islam dan di antara yang terbesar adalah kelahiran Nabi Muhammad SAW, perlantikan Nabi sebagai Rasul junjungan selain wafatnya Rasullulah SAW yang telah dikebumikan di Madinah Al-Munawwarah pada bulan yang sama.

Justeru pelbagai aktiviti keagamaan telah disusun bagi menyambut acara yang dimuliakan oleh setiap umat Islam ini. Untuk itu Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut serta menyiarkan pelbagai program istimewa diantaranya sebuah teater berjudul Natrah yang telah dirakamkan dengan kerjasama Istana Budaya khas untuk penonton setia salurannya.

Bakal bersiaran pada 28 Februari 2010 (Ahad), jam 3.05 petang di TV1, Teater Natrah mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis berketurunan Belanda bernama Bertha Heartogh atau nama melayunya Nadra Maarof yang telah dipelihara oleh seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad tanpa pengetahuan bapanya, Sarjan Adrianus Petrus kerana beliau ditahan dalam tawanan tentera Jepun. Che Aminah memelihara Bertha menurut cara hidup Melayu dan berpendidikan Islam.

Percintaan Natrah dan kekasihnya Mansoor Adabi telah menjadi konflik yang telah menyebabkan terjadinya rusuhan di Singapura pada tahun 1950 atas dasar sentimen agama dan isu warna kulit. Setelah Sarjan Heartogh dibebaskan dari tawanan Jepun akibat dari pengeboman oleh amerika terhadap Hiroshima dan Nagasaki beliau telah pulang ke Bandung dan mencari kembali anaknya Natrah.

Sejak dari itulah, berlakunya perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Che Aminah yang diwakili peguam bela Encik Ahmad Ibrahim, menang kes rayuannya dan Natrah dikeluarkan daripada York Hill. Bagi mengelakkan konflik terus berulang, Natrah dan Mansoor Adabi dikahwinkan secara nikah gantung ketika umurnya mencecah 13 tahun. Menurut Undang-Undang dalam Syariah Islam, gadis berumur 13 tahun dibenarkan berkahwin manakala mengikut Undang-Undang Belanda, anak gadis berusia 16 tahun ke bawah, bapanya masih berhak menentukan kehidupannya.

Konflik agama dan isu perebutan penjagaan anak telah mengakibatkan satu rusuhan besar di Singapura. Untuk mengetahui kesudahan konflik ini, jangan lupa untuk menyaksikan teater Natrah yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon hebat tanahair seperti Remy Ishak, Umie Aida, Sofia Jane dan Maya Karin hanya di Slot Pentas 1 pada 28 Februari 2010 jam 3.05 minit petang sempena Sambutan Maulidur Rasul yang bertujuan untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Program Menarik Radio Ai FM Yang Harus Dilayan

Undian Anugerah Bintang Popular Linda Onn Makin Meningkat