in

Songlap Harumkan Nama Malaysia di AIFFA 2013

Malam Kemenangan Grand Brilliance di AIFFA 2013

Malam Gala Anugerah Antarabangsa dan Festival Filem ASEAN 2013 (AIFFA 2013) berakhir dengan gemilang untuk Grand Brilliance dengan kemenangan tiga anugerah utama.

Songlap, filem yang telah menerima perhatian festival filem antarabangsa sejak awal tahun 2012, memenangi anugerah Filem Aksi Terbaik, sementara Shaheizy Sam memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik untuk lakonan beliau sebagai Am dalam kisah dua beradik yang terperangkap dalam kancah sindiket pemerdagangan manusia.

Filem berunsur komedi yang disajikan oleh Grand Brilliance turut diiktiraf melalui kemenangan Filem Komedi Terbaik oleh Istanbul Aku Datang, sebuah komedi romantik yang dibintangi Lisa Surihani, Beto Kusyairy dan Tomok. Filem ini, di mana penggambarannya bertempat di bandar Istanbul yang indah, telah ditayangkan di pawagam November lalu dan mendapat penerimaan positif dari penonton tempatan.

AIFFA 2013

Antara filem Grand Brilliance, Songlap kini memegang rekod tertinggi penyertaan festival filem antarabangsa, dengan tayangan di Itali, Jerman, Emiriah Arab Bersatu, Poland, Perancis dan beberapa tayangan di Amerika Syarikat. Istanbul Aku Datang, filem pertama Malaysia untuk mencapai status ‘Trending’ sebanyak tiga kali di Twitter Malaysia pada minggu pertama filem ini ditayangkan, telah memulakan jejak langkah antarabangsanya yang pertama apabila dijemput bertanding di Festival Filem Asia Osaka yang ke-7, pada 17 Mac yang lalu.

Kata Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance:

“Kami amat bersyukur dengan pengiktirafan yang diraih filem-filem ini, dan ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menjayakan kedua-dua filem ini. Kejayaan ini amat berharga terhadap azam kami untuk menjadi penanda aras baru dalam industri filem tanahair. Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada pihak Red Films, tenaga kerjasama produksi yang amat kami hargai dalam pembikinan Songlap dan Istanbul Aku Datang.”

Shaheizy Sam juga turut mengulas:

“Kemenangan ini tentunya rezeki selepas melakukan yang terbaik untuk Songlap. Ia amat bermakna buat saya, apatah lagi semua yang bertanding ialah nama besar yang mewakili negara masing-masing. Alhamdulilah, Sam tak sangka dengan kemenangan itu, bila nama sendiri diumumkan disana, hati saya berasa sangat berdebar-debar. Sam sendiri pun tidak sediakan apa-apa text ucapan pada ketika itu.Terasa benar-benar dihargai di sana dan saya ucapkan terima kasih kepada semua dari team Songlap, Penerbit, Pengarah, para pelakon filem Songlap Syafie Naswip, Sara Ali, Abang Hasnul Rahmat dan semua tenaga produksi tanpa mereka Sam tidak mampu di sini.”

Kemenangan anugerah untuk Songlap dan Istanbul Aku Datang lebih bermakna sempena pertama kalinya acara AIFFA diadadakan. Festival filem ASEAN ini, yang berlangsung dari 28 hingga 30 Mac 2013, telah mengadakan beberapa sesi menarik mengenai pembikinan filem termasuk seminar, bengkel dan juga pameran. Orang awam juga dijemput untuk meraikan filem-filem ASEAN melalui acara ‘Movies in the Rainforest’. Maraton filem selama 20 jam ini menampilkan 80 filem yang terbaik dari rantau Asia untuk tatapan umum.

Kemenangan filem kita juga telah mendapat perhatian daripada Perdana Menteri yang telah mengucapkan tahniah kepada semua pemenang di Twitter milik beliau @NajibRazak

AIFFA

AIFFA 2013 menerima kehadiran daripada nama-nama besar dalam industri hiburan Asia, iaitu pelakon Hollywood kelahiran Malaysia Datuk Seri Michelle Yeoh, pelakon terkenal Bollywood Geeta Basra, pelakon kacak dari Filipina Jericho Rosales, penyanyi tersohor dari Indonesia Kris Dayanti dan ramai lagi. Datuk Seri Michelle Yeoh juga telah dianugerahkan dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat AIFFA untuk sumbangan beliau kepada industri filem serantau dan antarabangsa.

Photo by HazmilJapilus

AIFFA 2013

AIFFA 2013

Mengenai Grand Brilliance & Primeworks Studios Sdn Bhd
Grand Brilliance merupakan unit pengeluaran filem di bawah Primeworks Studios yang mengeluarkan kira-kira 10 filem setahun dalam pelbagai genre. Antara filem yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa di festival filem seluruh dunia termasuk filem Cinta dan karya-karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad, Mukhsin dan Talentime. Primeworks Studios merupakan anak syarikat Media Prima Berhad yang merupakan syarikat penerbitan terbesar di Malaysia. Terlibat dalam penghasilan program TV sejak tahun 1984 dan filem sejak tahun 1994, Primeworks menerbitkan lebih 5,000 jam kandungan TV setahun. Selain penerbitan program televisyen dan kandungan lain, Primeworks Studios turut terlibat dalam pengedaran dan pemasaran kandungan. Primeworks Studios penyumbang terbesar kandungan kepada empat saluran televisyen komersil dalam kumpulan Media Prima, iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 – merangkumi kandungan pelbagai genre seperti program hiburan, majalah, dokumentari, drama dan sukan. Rancangan yang popular merangkumi Anugerah Juara Lagu, Majalah 3, Nona, Welcome to the Rail World, Jalan Jalan Cari Makan, One In A Million, Mentor, Wanita Hari Ini, Melodi, Jejak Rasul, 999 dan Idola Kecil.

Mengenai Red Films
Red Films diasaskan pada tahun 2004 oleh Red Communications, sebuah syarikat penerbitan filem. Red Films diterajui sekumpulan karyawan filem yang berdedikasi dalam menjalankan usahasama dengan pengeluar dan pengarah filem di Malaysia dan serantau, dalam memajukan dan menerbitkan cerita untuk tatapan penonton dunia. Red Films amat teliti dalam setiap projek filemnya, dan menilai setiap filemnya atas dasar artistik, kesesuaian dan keunikan kualiti. Antara filem-filem terbitan Red Films termasuk Gol & Gincu, Goodbye Boys, KAMI the Movie, Visits: Hungry Ghost Anthology, dan Pisau Cukur, filem yang pertama dihasilkan melalui kerjasama bersama Grand Brilliance. Pada tahun 2011, kerjasama kedua, Songlap telah diterbitkan, dan disusuli pulan oleh Istanbul Aku Datang!, yang telah berada di pawagam pada 8 November 2012.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Airasia Tawar Kuala Lumpur Padang Kini 2 Kali Sehari

Promosi Tempat Duduk Percuma AirAsia Kembali