in ,

Promosi Tempat Duduk Percuma AirAsia Kembali

Promosi tempat Duduk Percuma AirAsia kembali!
Tempat duduk percuma ke Singapura, Krabi, Hatyai, Phnom Penh, Yangon, Jakarta dan banyak lagi!

SEPANG, 1 APRIL 2013 – Detik tengah malam bakal menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan tidak lama lagi, kerana promosi Tempat Duduk Percuma AirAsia ke pelbagai destinasi menarik seperti Singapura, Krabi, Hatyai, Phnom Penh, Yangon, Jakarta dan lain-lain akan ditawarkan dari RM0, tidak termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj bahan api, bermula pada jam 12.01 tengah malam (GMT +8), hari Selasa, 2 April 2013.

Sehingga 2,000,000 tempat duduk promosi* akan ditawarkan untuk tempahan dari 2 – 7 April 2013 bagi tempoh perjalanan bermula 1 Januari – 30 April 2014 di www.airasia.com. Tempat duduk promosi juga disediakan bagi tempahan melalui platform tempahan AirAsia melalui telefon berkemampuan WAP di mobile.airasia.com dan app AirAsia untuk peranti iPhone dan Android.

Tempat duduk percuma ke destinasi domestik seperti Pulau Pinang, Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bahru, Terengganu dan lain-lain juga boleh didapati. Hanya perlu membayar cukai dan fi untuk menikmati tempat duduk percuma, yang boleh didapati dari RM0 sehala.

Destinasi lain juga termasuk di dalam promosi 2 juta tempat duduk ini seperti Kota Kinabalu, Labuan dan Tawau dengan tambang termasuk semua daripada RM59 sehala; manakala destinasi di Asean seperti Phuket, Vientiane dan Ho Chi Minh City ditawarkan dengan tambang termasuk semua serendah RM69 sehala.

Banyak kota Asean yang lain sedang menunggu untuk diterokai seperti Siem Reap, Lombok, Solo, Semarang, Chiang Mai, Bangkok dan banyak lagi juga boleh didapati sehala, bersama dengan destinasi di China seperti syurga membeli-belah di Guangzhou, Guilin yang penuh keindahan, kota metropolitan Hong Kong dan Macau yang penuh keseronokan.

Siegtraund Teh, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia berkata,

“Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar dan terkemuka di Asia, kita berbangga menawarkan kepada para tetamu kami satu lagi promosi Tempat Duduk Percuma. Kami mempunyai rangkaian laluan yang tiada tandingan di rantau ini – dan dengan anak syarikat kami di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Jepun, para tetamu dapat menyambung perjalanan ke hampir semua destinasi di Asia yang di sambungkan oleh rangkaian kami. Dengan tempat duduk percuma, tambang rendah setiap hari dan inovasi yang berterusan ke atas produk dan perkhidmatan kami – setiap pengalaman AirAsia pastinya menjadi sesuatu yang unik. Kami juga menawarkan lebih daripada sekadar penerbangan. Dengan program penebusan eksklusif AirAsia BIG Loyalty serta pakej pelancongan eksklusif AirAsiaGo, kami sentiasa memberikan nilai tambahan kepada semua tetamu kami.”

AirAsia terbang di 186 laluan, meliputi 85 destinasi merentasi 18 buah negara dengan deretan pesawat Airbus A320 antara terbaru di dunia.

“Kami adalah satu-satunya syarikat penerbangan di rantau ini yang sentiasa memastikan tambang rendah dan menawarkan promosi tempat duduk di skala besar. Kini ia menjadi satu acara global sacara maya yang dinanti-nantikan dan kami akan terus kekal setia kepada janji kami, ‘Kini Sesiapapun Boleh Terbang’,” tambah Siegtraund.

Bersempena dengan promosi tempat duduk percuma ini, AirAsia X menawarkan tambang rendah tiada tandingan ke destinasi jarak jauh dengan tambang termasuk semua dari serendah RM249 ke Taiwan (Taipei) dan China (Chengdu, Hangzhou, Beijing, Shanghai), RM269 ke Jepun (Tokyo, Osaka) dan Korea (Seoul) dan RM299 ke Nepal (Kathmandu) dan Australia (Sydney, Perth, Melbourne, Gold Coast) dari Kuala Lumpur.

Azran Osman-Rani, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata,

“Ia adalah masa yang sesuai untuk para tetamu untuk memulakan perancangan percutian untuk tahun depan ke destinasi jarak jauh kami. Tarikh perjalanan sempena promosi ini memberikan para tetamu peluang untuk meluncur salji dan menikmati yang musim Sakura yang indah di Jepun dan Korea, meluncur laut biru atau menikmati yang bayu laut dan pemandangan indah di pantai-pantai terkenal di Australia, atau menikmati pengembaraan melakukan ‘white water rafting’ atau trekking di Himalaya di Nepal.”

“Selain itu, para tetamu yang menempah penerbangan mereka untuk perjalanan pada tahun depan juga boleh menikmati kemudahan tambahan melalui peningkatan frekuensi penerbangan kami menjelang 2014 ke destinasi seperti Chengdu (7x seminggu), Sydney (14x seminggu), Perth (14x seminggu), Melbourne (14x seminggu) dan Taiwan (14x seminggu).”

Para tetamu juga boleh menikmati ‘Premium Flatbed’ kami ke Taiwan (Taipei), China (Chengdu, Hangzhou, Beijing, Shanghai), Jepun (Tokyo, Osaka), Korea (Seoul), Nepal (Kathmandu) dan Australia (Sydney, Perth, Melbourne, Gold Coast) dengan tambang termasuk semua dari serendah RM799 sehala. AirAsia X adalah penerbangan tambang rendah jarak jauh pertama yang memperkenalkan kerusi flatbed Premium, yang mempunyai spesifikasi kelas perniagaan standard selebar 20 inci, setinggi 60 inci dan boleh direbahkan sehingga 77 inci dalam posisi penuh berbaring.

Tempat duduk ‘Premium Flatbed’ menampilkan soket kuasa universal, tempat rehat kepala boleh laras dan utility binaan dalam seperti meja makan peribadi, pemegang minuman, lampu bacaan dan skrin privasi. Para tetamu yang memilih tempat duduk premium juga akan menikmati produk dan servis percuma seperti Pilihan Tempat Duduk, Keutamaan Daftar-Masuk, Keutamaan menaiki pesawat, Keutamaan Bagasi, Berat Bagasi sehingga 25kg, Hidangan serta Bantal & Duvet percuma.

Penerbangan Fly-thru jarak jauh AirAsia X yang ditawarkan termasuk penerbangan dari Australia (Sydney, Perth, Melbourne, Gold Coast) ke Nepal (Kathmandu), Jepun (Osaka) dan China (Chengdu, Hangzhou, Beijing, Shanghai) dan sebaliknya. Para tetamu dari destinasi jarak jauh AirAsia X juga boleh menempah penerbangan ke destinasi popular di ASEAN seperti Hong Kong, Macau, Bangkok, Jakarta, Bali dan Phuket. Perkhidmatan Fly-thru membolehkan para tetamu untuk menempah sehingga dua sektor penerbangan dan transit dengan lancar melalui Kuala Lumpur untuk ke destinasi seterusnya.

Bagi mereka yang ingin melengkapkan tempat duduk percuma* mereka dengan penginapan hotel, AirAsiaGo menyediakan pelbagai pilihan hotel 4 ke 5 bintang dan hotel butik sehingga diskaun 70% ke destinasi seperti Pulau Pinang, Bali, Singapura, Krabi, Guangzhou dan banyak lagi. Promosi ini sedia untuk tempahan di www.AirAsiaGo.com dari 2 – 7 April 2013 bagi tempoh penginapan dari 1 Januari – 30 April 2014.

Tetamu digalakkan untuk menempah awal peruntukan bagasi secara dalam talian, bersama dengan tempahan penerbangan untuk mendapatkan penjimatan sehingga 66%, berbanding mendaftar masuk beg di kaunter lapangan terbang di saat akhir.

Selain itu, para tetamu juga boleh menempah awal hidangan secara dalam talian dengan pelbagai pilihan ‘hot meals’ disediakan di atas pesawat, dengan opsyen tempahan sehingga dua hidangan bagi setiap tetamu. Peruntukan bagasi daftar masuk, hidangan dalam pesawat, ‘Pick-A Seat’, insurans perjalanan dan sebagainya boleh didapati secara dalam talian dan para tetamu boleh menambah atau membuat perubahan terhadap tempahan mereka dengan mudah melalui ‘Manage My Booking’.

Untuk perkembangan terkini mengenai innovasi terbaru AirAsia serta promosi, aktiviti dan peraduan, ikutilah di Twitter (twitter.com/AirAsia) atau Facebook (facebook.com/AirAsia).

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Songlap Harumkan Nama Malaysia di AIFFA 2013

Pertandingan Akhir Lantai Cilik Pada 6 April Ini