in

Senarai 12 Orang Pelajar Akademi Fantasia 8

ASTRO UMUM 12 ORANG PELAJAR SERTAI AKADEMI FANTASIA MUSIM KELAPAN

Konsert Tirai Akademi Fantasia buka jendela AF8

Dua belas orang pelajar yang terpilih bagi menyertai Akademi Fantasia musim kelapan dan diumumkan pada sidang media petang tadi akan membuat penampilan sulung di konsert pengenalan, TIRAI AF yang akan akan bersiaran langsung pada 13 Mac 2010, jam 9.00 malam melalui saluran rasmi; Astro RIA (saluran 104).

Pada musim kelapan ini, seramai enam orang pelajar wanita dan enam orang pelajar lelaki akan bertanding bagi mempamerkan bakat nyanyian masing-masing sebelum menjadi juara baru selepas negara menyaksikan anak jati Sarawak bernama Hafiz menjuarai Akademi Fantasia musim ketujuh yang berjaya meraih lebih 1 juta penonton pada setiap konsert mingguan.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA; Azlin Reza Azmi, ”Sama seperti apabila program ini mula dilancarkan pada tahun 2003, pihak produksi Akademi Fantasia masih berpaksikan kepada objektif untuk memberikan kelainan dalam kandungan tempatan dan format program, di samping komited untuk mencari dan membimbing bakat-bakat baru bagi mewarnai persada seni tempatan.

Kami amat berbangga apabila mendapat penyertaan yang sangat memberangsangkan dari para peserta yang hadir semasa ujibakat yang telah dijalankan di lima buah negeri terpilih pada bulan Januari baru-baru ini. Melalui peningkatan dari segi jumlah kehadiran para peserta yang datang mencuba nasib, kami yakin program realiti nombor satu negara ini masih relavan di hati para peminat dan masyarakat secara amnya.

Kami juga amat teruja apabila menerima begitu banyak bakat-bakat terpendam terutamanya dari kaum wanita di negeri Sabah dan Sarawak. Maka, tidak hairanlah apabila senarai pelajar wanita bagi musim kelapan ini didominasi dari mereka yang berasal dari sana.”

Senarai pelajar-pelajar perempuan terdiri daripada ADIRA (Siti Adira bt Suhaimi, 19, Sabah), AIN (Nadiawaty Ainul Basir, 24, Sabah), ANUM (Dayang Nor Anum Arjuna bt Aharun, 19, Sabah), EMA (Erma bt Suhaimi, 21, Sabah), FARINA (Zafarina bt Jamhari, 28, Sarawak) dan NAD (Nadia Emilia bt Roselan, 22, Selangor).

Senarai pelajar-pelajar lelaki seperti yang diumumkan adalah seperti ALIF (Muhammad Alif b. Kadim, 19, Kuala Lumpur), IWAN (Emirza Azwan b. Zulazrin Chew, 20, Negeri Sembilan), MAULANA (Muhd Firdaus Maulana b. Mohamed, 22, Johor), DAUS (Muhd Shahril Firdaus b. Eli, 22, Sarawak), SHAH (Muhammed Shahril b. Mohs Saleh Hussein, 26, Selangor) dan SHAHIR (Ahmad Shahir b. Zawawi, 22, Perak).

Akademi Fantasia musim kelapan akan mula bersiaran di saluran Astro RIA (saluran 104) melalui konsert pengenalan, Tirai AF pada 13 Mac 2010, jam 9.00 malam. Rutin seharian para pelajar menjalani kehidupan di Akademi pula dapat dilihat melalui liputan harian Diari AF pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pada 15 Mac 2010. Konsert AF akan bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam mulai 20 Mac 2010. Kelainan yang ditonjolkan dalam format program pada musim ini bakal menyaksikan keputusan konsert mingguan yang akan hanya diumumkan secara langsung pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 Mac 2010 melalui program Debaran AF.

Format undian pada musim kelapan ini dibuka hanya melalui undian SMS 100%.

Para peminat boleh terus setia mendengar radio rasmi; ERA FM atau mengikuti portal hiburan rasmi; www.murai.com.my serta majalah rasmi; Aksi AF bagi mendapatkan tiket-tiket Konsert AF dan Debaran AF percuma pada setiap minggu.

Selain itu, tiket-tiket turut dijual pada harga RM20.00 untuk dua hari iaitu pada hari Konsert AF (Sabtu) dan Debaran AF (Ahad) boleh didapati melalui wakil-wakil penjual Ticket Axcess tempat-tempat berikut Axcess Office Jalan Segamat, 1-Utama Shopping Complex, Alamanda Purajaya Mall, Stadium Putra Box Office Bukit Jalil, Parkson Sunway Pyramid, Tower Records Lot 10, Rock Corner The Curve, Rock Corner KLCC, Rock Corner Mid Valley dan UC Travel University. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.axcess.com.my atau talian 03 – 7711 5000.

Seperti yang telah diumumkan pada sidang media lepas, wajah eksklusif Astro; Sarimah Ibrahim akan berpasangan dengan seorang lagi pengacara hebat kelahiran Astro sendiri iaitu Jimmy Shanley. Gandingan duo pengacara hebat ini bakal disatukan buat pertama kalinya di pentas mingguan Konsert Akademi Fantasia musim kelapan.

Untuk musim kelapan, pemegang amanah selaku pengetua akademi; Norman KRU (pengetua) akan berganding bahu bersama pasukan tenaga pengajar yang lain bagi membimbing para pelajar dalam menjayakan konsert mingguan. Mereka ialah Siti Hajar (Guru Vokal Teknikal), Linda Jasmine (guru tari), Adnan Abu Hassan (Guru Vokal Persembahan) dan Fatimah Abu Bakar (Kaunselor dan Guru Bahasa Inggeris) di samping pelakon berbakat yang tidak asing lagi; Que Haidar (Jurulatih Drama).

Pada musim kelapan ini, Akademi Fantasia sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan julung-julung kalinya Cerebos selaku penaja utama bagi Akademi Fantasia musim kelapan di samping Maybelline dan Modenas yang menghulurkan sokongan selaku penaja bersama. ERA FM dan Majalah Aksi melalui Mesat Publication Sdn Bhd pula terus menghulurkan sokongan padu mereka selaku radio dan majalah rasmi AF buat musim kelapan. Tidak ketinggalan portal hiburan rasmi murai.com.my terus menghulurkan sokongan padu bagi menjayakan AF pada musim ini.

Informasi terkini seperti informasi lengkap para pelajar Akademi Fantasia musim kelapan, berita AF8, diari pelajar, video blog pengetua, blog fesyen, galeri, laman sembang, video eksklusif serta rangkaian muat turun menarik boleh didapati melalui laman web rasmi www.akademifantasia.com.my. Selain itu, Astro juga turut menawarkan pelbagai perkhidmatan-perkhidmatan interaktif sepanjang musim ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Jom Menonton Filem Jumbo Gajah Biru

Inspirasi Warna Untuk Rumah Sayangan