in

“Saya Dah Tak Percaya Cinta” – Hans Isaac

Kira-kira setahun lalu, Datuk Hans Isaac merasakan yang hidupnya mungkin tidak sendiri lagi, apabila mengumumkan akan berkahwin dengan model, Gabriella Robinson pada 29 Julai.

Entah di mana silapnya, pelakon dan penerbit itu kini masih lagi hidup solo selepas tiba-tiba putus tunang dengan wanita tersebut sekitar lima bulan lalu.

hans

Menurut Hans, dia mengakui belum mampu untuk melupakan peristiwa perit tersebut dan masih berasa kecewa perjalanan cintanya bersama wanita itu terputus di tengah jalan.

Jelas Hans, dia bukannya tidak boleh menerima takdir, tetapi masih terkilan kerana sudah memberikan komitmen dengan meletakkan seluruh jiwa dan raganya kepada hubungan itu.

“Saya belum dapat melupakan peristiwa itu dan sakitnya juga masih dirasa. Mungkin tiga tahun lagi baru saya dapat melupakannya. Jujurnya, hati saya masih terluka dengan apa yang berlaku.

“Saya sudah meletakkan komitmen sepenuhnya selain membuka hati ini, tetapi kalau pihak di sana tidak memberikan sesuatu yang sama, tiada gunanya juga,” katanya dipetik portal BH Online.

hans

Jelas Hans, dia juga masih belum dapat mengikis perasaan kecewa yang dilaluinya itu dan menyebabkan dia terpaksa melakukan sesuatu untuk mengalih perhatiannya daripada perkara tersebut.

Oleh itu, Hans lebih banyak menghabiskan masanya di gimnasium selepas putus tunang selain memilih untuk melancong ke luar negara bagi melapangkan fikirannya.

“Sepanjang tempoh itu, saya juga enggan bertemu dengan sesiapa dan lebih senang meluangkan masa untuk diri sendiri,” ujarnya.

Jelas Hans, perkara berkenaan telah meninggalkan impak yang besar di dalam dirinya dan amat sukar untuk dia menjalinkan hubungan cinta lagi selepas ini.

“Kalau berkawan tanpa sebarang ikatan cinta, mungkin boleh. Saya memang tak bersedia untuk mempunyai hubungan serius.

“Kepercayaan saya terhadap cinta itu juga semakin pudar. Saya memang patah hati sebenarnya,” kata Hans.

Hans ditemui pihak media ketika majlis sidang media Lawak Ke Der 2018 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.

hans

Sekitar hujung Februari tahun lalu, Hans mengumumkan pertunangannya dengan Gabriella dan merancang untuk menamatkan zaman bujangnya bersama wanita tersebut pada 29 Julai.

Namun, perancangan tersebut tiba-tiba ditunda kepada satu tarikh yang belum ditetapkan dan pada Oktober, Hans mengumumkan bahawa hubungannya bersama wanita itu sudah berakhir.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zizan Razak Mendominasi Pencalonan Akhir Anugerah Meletop AME2018

CENDANA Promosi Destinasi Kesenian dan Kebudayaan Sempena Cuti Sekolah