in

CENDANA Promosi Destinasi Kesenian dan Kebudayaan Sempena Cuti Sekolah

CENDANA Mempromosikan Destinasi Kesenian dan Kebudayaan Sempena Cuti Sekolah melalui BAS KL

Dalam usaha bersepadu untuk menggalakkan minat terhadap seni dan budaya di Malaysia, Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) telah mengumumkan pelancaran ‘Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BAS KL)’ di Galeri Seni Kebangsaan pada hari ini. BAS KL ialah kempen cuti sekolah yang ingin memberi peluang kepada para keluarga dan individu-individu yang berkelapangan untuk menikmati acara kesenian sempena cuti sekolah yang bakal berlangsung dari 17 Mac hingga 1 April tahun ini.

Cendana

Shahira Ahmed Bazari, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah dan Ahli EXCO CENDANA yang bertanggungjawab untuk melancarkan BAS KL mengatakan kempen tersebut adalah hasil daripada Kajian Kebudayaan dan Kreatif Kuala Lumpur yang dijalankan baru-baru ini untuk memupuk dan mewujudkan pasaran pelancongan kebudayaan.

“Rentetan daripada misi kami untuk membina ekonomi kebudayaan yang megah, mampan dan berwawasan di Malaysia, kami berbesar hati untuk melancarkan kempen BAS KL yang bertujuan untuk membawa para keluarga meluangkan masa bersama sempena cuti sekolah yang akan datang. Dengan memberi tumpuan terhadap pemasaran pengalaman kebudayaan yang terdapat di Kuala Lumpur, kami bukan sahaja mahukan warga Malaysia untuk mengalami keajaiban seni dengan orang yang tersayang, malah turut berasa bangga dengan dunia seni tempatan kita. Kami juga berharap kempen ini dapat menyemai kreativiti dalam golongan muda serta dewasa,” tambah beliau ketika majlis pelancaran BAS KL yang berlangsung pada hari ini.

Cendana

BAS KL bermatlamat untuk meningkatkan kehadiran dan pengamatan dalam acara kesenian melalui pameran berserta aktiviti di lokasi-lokasi yang boleh menghidupkan landskap seni dan budaya di Kuala Lumpur. Kempen ini juga selaras dengan prinsip Pemerkasaan Seni yang menjadi pegangan CENDANA untuk menyumbang kepada kelestarian sektor seni dan budaya, dan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar kebudayaan dan kreativiti,” ujar Izan Satrina, Ketua Pegawai Eksekutif Perintis CENDANA.

“Sebagai sebuah negara yang kaya dengan seni dan budaya, pembangunan inisiatif seperti ini adalah mustahak kerana ramai warga Malaysia yang tidak sedar tentang kelebihan yang dapat mereka peroleh dengan melibatkan diri dalam dunia seni tempatan. Malaysia dikenali sebagai pusat kesenian di rantau Asia Tenggara dan mempunyai galeri-galeri yang dipenuhi dengan karya lukisan dan ukiran yang indah belaka – namun bilakah kali terakhir anda mengunjungi galeri seni atau menonton persembahan seni kontemporari?” tambah beliau.

Terokai BAS KL di Kuala Lumpur

Sepanjang kempen BAS KL berlangsung, warga Malaysia yang berminat untuk meneroka kempen ini boleh mendapatkan pasport digital dengan mengimbas kod QR yang disediakan di mana-mana 14 lokasi tarikan kebudayaan yang terlibat dalam kempen tersebut. Antara lokasi yang dimaksudkan ialah Galeri Ilham, Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia, R!UH dan Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur. Bagi pengunjung yang ingin mendaftar buat kali pertama untuk mewujudkan akaun BAS KL mereka sendiri, sistem pendaftaran akan mengenalpasti dan meminta pengguna tersebut untuk mengisi butiran yang berkenaan.

Dengan pasport digital tersebut, pengunjung akan menerima cop di setiap lokasi tarikan yang mereka kunjungi. Pengunjung yang dapat mengumpul dua cop boleh menebus minuman Tealive secara percuma, empat cop pula dapat ditebus dengan baucar tunai KFC yang bernilai RM 20, manakala lima cop menawarkan peluang kepada pengunjung untuk memenangi pakej penginapan menarik selama dua hari satu malam di Journal Hotel yang terletak di Kuala Lumpur.

Cendana

Sentuhan gaya dan keanggunan dalam kempen ini adalah unsur yang dibawa oleh Siti Saleha, seorang artis yang telah lama berkecimpung dalam dunia hiburan sejak peranan ulungnya dalam drama Nora Elena. Jika ia melibatkan kesenian, beliau percaya bahawa warga Malaysia perlu memainkan peranan mereka secara lebih aktif untuk mendidik diri mereka tentang pelbagai perkara yang boleh diterokai di Kuala Lumpur.

“Sebagai seorang pelakon, inspirasi adalah kunci kepada kejayaan saya, atas sebab inilah saya sering memberi perhatian terhadap dunia seni di Kuala Lumpur – terdapat pelbagai karya seni yang indah dan sarat dengan nilai yang memberi inspirasi kepada saya. Saya berasa sangat teruja kerana dipilih sebagai duta kempen ini dan saya akan bekerja keras untuk mendorong warga Malaysia untuk mengalami budaya seni kita dan berkongsi dengan peminat serta rakan taulan tentang perkara baharu yang mereka boleh pelajari. Dengan kekayaan seni dan budaya dalam setiap pelusuk hidup kita, rugi jika kita tidak mengambil peluang untuk menikmatinya,” ujar beliau.

CENDANA dan semua rakan kongsi yang terlibat merupakan penaung seni dan mempercayai bahawa terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari dan diterokai di Kuala Lumpur. Melalui kempen ini, mereka berharap untuk menerapkan kepentingan seni dan budaya di Malaysia dan ingin memberi insentif kepada warga Malaysia untuk meluangkan masa dengan menikmati ekonomi kebudayaan dan warisan.

Cendana

Cendana

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

“Saya Dah Tak Percaya Cinta” – Hans Isaac

Suami Ziana Zain Hadapi Dua Kali Ganda Hukuman