in , ,

Sahut Cabaran RINDU DI HARI RAYA Rayme Zainal & Affizy Khairy Di TikTok 

Setelah 2 tahun Hari Raya Aidilfitri tidak dapat disambut meriah bersama ahli keluarga yang jauh, kini tiba sudah waktu sambutan hari raya tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan memandangkan aktiviti menziarahi dan merentas negeri telah pun dibenarkan oleh pihak kerajaan.

Kemeriahan Hari Raya tahun ini turut dirancakkan lagi dengan pelancaran single lagu-lagu raya dari pelbagai genre. Masing-masing cuba membawakan kelainan dan pelbagai gimik memandangkan tahun ini keceriaan hari raya lebih dirasai kerana masing-masing dapat pulang beraya bersama ahli keluarga dan sanak saudara serta dapat pulang ke kampung halaman setelah sekian lama. 

Peluang ini tidak disia=siakan dan turut mengambil peluang, dua penyanyi yang lahir dari program realiti terbitan stesen TV tempatan, Rayme Zainal dan Affizy Khairy buat pertama kali berganding untuk merakamkan sebuah lagu raya pertama mereka bagi memperingati insan tersayang terutama ahli keluarga dan teman-teman rapat yang telah pergi ketika pandemik terutama berpunca daripada wabak Covid-19.   

Menurut kenyataan media pada 29 April 2022, diterbitkan oleh produser musik dan juga penyanyi, Jason How, lagu berjudul ‘Rindu Di Hari Raya’ ini menampilkan rentak genre balada yang disulamkan dengan elemen irama tradisional agar dapat didengari dan diterima oleh semua peringkat umur, sekali gus memberikan vibe raya yang berlainan dari segi mood dan susunan musik berbanding lagu raya yang lain.

Lagu Rindu Di Hari Raya, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Rayme Zainal atau lebih senang dengan panggilan Ray, adalah berdasarkan pengalaman sebenar yang dilalui dirinya yang kehilangan insan tersayang serta pengalaman teman-teman yang kehilangan ibu dan bapa di kampung halaman ketika pandemik dan tidak kesempatan untuk balik menziarahi mereka.   

Berbeza dengan lagu-lagu raya baharu yang menengahkan konsep ceria, lagu Rindu Di Hari Raya membawa pendengar mengimbau kembali kenangan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama orang tersayang, namun ketiadaan mereka yang telah pun pergi menemui Sang Pencipta menerbitkan kerinduan yang pastinya mengusik jiwa setiap kali menyambut ketibaan bulan Syawal.

Tetapi bagi mereka yang masih hidup perayaan ini harus terus disambut dengan kemeriahan walaupun kenangan bersama yang telah pergi masih dirasai.

Lagu Rindu Di Hari Raya berdurasi lebih kurang tiga minit ini mengambil masa lebih kurang dua jam untuk dirakamkan dan sesi rakaman video muzik memakan masa seharian yang dijalankan di sebuah homestay di Banting, Selangor. 

Musik video kali ini mengimbau kembali kenangan manis dua beradik dalam membuat persiapan hari raya bersama keluarga dan teman-teman yang berlatar belakangkan suasana kampung. Perasaan rindu dan sedih tetap hadir tatkala terkenangkan mereka yang sudah pergi walaupun berada dalam suasana ceria hari raya. 

Rindu Di Hari Raya Rayme Zainal & Affizy Khairy

Bagi Affizy Khairy atau lebih mesra dipanggil Agy, pengalaman merakamkan video muzik kali ini membawa makna yang berbeza kerana melibatkan ahli keluarga serta kawan-kawan rapat yang sentiasa memberikan sokongan terhadapnya dalam bidang nyanyian, menjadikan video muzik ini lebih peribadi dan istimewa. 

Rindu Di Hari Raya Rayme Zainal & Affizy Khairy

 “Kami sama-sama berlatih menari, tetapi fokusnya lebih kepada menghayati lagu yang mempunyai jalan cerita di mana ia merupakan perkara utama yang ingin kami sampaikan kepada pendengar,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dengan harapan agar pendengar menerima dan suka dengan lagu raya pertama ciptaannya ini, Rayme menyifatkan lagu raya pertama beliau ini amat bermakna buat dirinya. Lagu ini pastinya membuatkan dirinya merindui arwah ayah, datuk dan neneknya setiap kali menyambut hari raya Aidilfitri. 

“Harapan saya untuk lagu ini adalah untuk membawa kenangan manis dan rasa rindu yang mendalam sewaktu menyambut hari raya kepada semua pendengar.

“Walaupun negara kita sudah memasuki fasa endemik, kenangan menyambut lebaran pada kala berlakunya wabak covid-19 banyak memberi kita pengajaran serta kesedaran tentang kehidupan terutama menghargai insan tersayang pada kala mereka masih ada bersama dengan kita, namun saya berharap agar semua pendengar masih lagi dapat merasai kemeriahan menyambut hari raya dengan mendengar lagu raya ini,” katanya dalam kenyataan media yang sama.

Rindu Di Hari Raya Rayme Zainal & Affizy Khairy

Lagu Rindu Di Hari Raya kini boleh didapati bermula pada 29 April 2022 di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan Deezer. Manakala video muziknya boleh ditonton dalam saluran YouTube Rayme Zainal yang kini telah pun melebihi 30 ribu jumlah tontonan. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Terkejut! Ingatkan Sikit Turun Berat Badan, Tapi Rupanya Menyusut Banyak

PRAYER MAT

Sejadah The Prayer Mat Jadi Pengubat Rindu Masjid di Madinah & Mekah