in ,

Rayuan Awie Ditolak, Ini Jumlah Ganti Rugi Yang Dia Terpaksa Bayar Kepada Bekas Isteri

Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan penyanyi rock Awie membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada Rozana Misbun atas kecederaan yang dialami bekas isterinya itu, tujuh tahun lalu.

Perintah itu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkan perayu membayar ganti rugi berkenaan kepada Rozana.

Terdahulu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, dalam keputusan sebulat suara, berkata mahkamah tidak berpuas hati dengan hujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf atau tersalah arah dalam membuat keputusan itu.

Rayuan Awie Ditolak, Ini Jumlah Ganti Rugi Yang Dia Terpaksa Bayar Kepada Bekas Isteri

Katanya, jumlah bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk adalah adil dan munasabah dengan mengambil kira kecederaan yang dialami serta lokasi di mana kejadian berlaku.

“Mahkamah Tinggi juga tidak terkhilaf dalam mencapai keputusannya untuk menegaskan semula keputusan Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan ini dan rayuan perayu ditolak dengan kos RM15,000,” katanya.

Turut bersidang pada prosiding itu Hakim Mahkamah Rayuan Datuk S Nantha Balan and Datuk Ghazali Cha yang diadakan secara dalam talian, Zoom.

Dalam prosiding itu, peguam Hazman Harun bertindak bagi pihak Awie manakala peguam Azlan Abd Roni, Ahmad Fakhri Abu Samah dan Nasyrah Ezzan Ali Rozana selaku responden.

Pada September 2018, Mahkamah Sesyen memerintahkan Awie membayar sebanyak RM30,000 dan RM50,000 kepada Rozana bagi ganti rugi kecederaan dan ganti rugi teruk.

Sebelum ini, Rozana selaku plaintif, memfailkan saman menuntut ganti rugi untuk kecederaan yang dialaminya, antaranya keretakan dua tulang rusuk, lebam di muka dan beberapa bahagian lain.

Pada Mei 2016, Awie didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap Rozana di kaunter PNB Jalan Tun Razak.

Pada 4 Julai 2014, Awie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di rumah mereka Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini.

Bagaimanapun, pada 7 Mac 2016, Awie dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara Awie membayar kompaun RM10,000 dan memohon maaf di mahkamah terbuka.

Awie dan Rozana berkahwin pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak.

Pasangan itu kemudian bercerai pada 1 November 2014.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Telefon Bimbit Samsung Galaxy A03s, Ini Ciri Hebat Yang Budiey Suka!

Pernah Ditegur Haram Makan Pakai ‘Chopstick’, Adam Corrie Lee Bersuara