in , ,

Qi, Julie Woon dan Nas T Dalam Blogger Boy Musim Ke-2 di 8TV

Jom kita intai rahsia si-Budak KL

BLOGGER BOY kini kembali di kaca televisyen untuk musim ke-2! Musim terbaru drama ini kembali dengan jalan cerita yang lebih menarik dan penuh dengan elemen kejutan.

BLOGGER BOY musim ke 2 akan menemui penonton semua bermula 12 November 2009 setiap Khamis jam 9.30 malam dengan 20 episod yang cukup sensasi. Siri ini bakal menyaksikan Qi (Budiey), Julie Woon (Nina) dan Nas-T (Kid) bersatu kembali untuk menjayakan drama bersiri ini.

“Ini merupakan sebuah lagi drama bersiri yang cukup hebat dan tampil segar dengan konsep yang cukup menarik dan unik. BLOGGER BOY lengkap dengan elemen drama, komedi, cinta dan suspens akan ditayangkan secara eksklusif di 8TV. Khas buat peminat setia BLOGGER BOY, jangan ketinggalan untuk menonton siri kegemaran ramai ini!” komen Lam Swee Kim, Pengurus Besar 8TV.

“Drama bersiri ini lengkap dengan jalan cerita yang menarik yang akan membuat anda semua tidak sabar-sabar untuk menantikan kesudahan drama ini,” tambah Kim lagi.

Musim ke-2 BLOGGER BOY membuka tirai dengan kisah perhubungan Budiey dan Nina. Budiey ternyata cukup kecewa apabila Nina tiba-tiba menghilangkan diri dan meninggalkannya pada episod terakhir musim pertama drama ini.

Budiey juga telah berhenti daripada menulis di dalam ‘blog komik’ beliau dan telah mengecewakan ramai pengikut blog itu. Kid pula berusaha sedaya upaya untuk membantu Budiey melupakan kesedihan yang menimpa dirinya dan kembali ceria.

Kedua-dua jejaka ini dalam misi mencari penyewa untuk meringankan kewangan masing-masing dan akhirnya menyedari tidak mudah untuk mencari penyewa atau rakan serumah di Kuala Lumpur. Setiap kali mereka mendapat penyewa baru, setiap kali itulah masalah mula timbul.

Sementara itu, Maya (Cheryl Samad) gadis pilihan ibu Budiey mula bertapak di hati beliau. Perhubungan mereka berdua mula rapat apabila mereka banyak meluangkan masa bersama-sama.

Budiey kembali menulis di ‘komik-blog’ beliau dan mula mencurahkan isi hatinya di dalam blog peribadi beliau kerana tidak berani meluahkan perasaannya kepada Maya. Budiey juga mempunyai seorang peminat wanita yang sentiasa mengikuti perkembangan blog beliau dan peminat misteri itu dalam diam-diam menaruh hati terhadap Budiey.

Dua wanita yang pernah hadir dalam hidup Budiey; Nina dan Zehan tiba-tiba muncul. Kedua-dua mereka kecewa dengan perhubungan masing-masing. Siapakah yang bakal memenangi hati Budiey? Bagaimana pula perhubungan Budiey dengan Maya?

Jika anda ingin mengetahui siapakah yang bakal menjadi pilihan hati Budiey, saksikan musim ke-2 BLOGGER BOY eksklusif di saluran hip 8TV. BLOGGER BOY  akan menemui penonton semua bermula 12 November 2009, setiap Khamis jam 9.30 malam. 

BLOGGER BOY  merupakan hasil ciptaan Lina Tan, Rafidah Abdullah dan Bernard Chauly daripada Red Communications. Mereka juga merupakan Penerbit, Penulis dan pengarah untuk drama bersiri popular ini.

8TV juga boleh ditonton menerusi saluran 708 Astro. Kini, anda juga boleh menonton rancangan-rancangan 8TV kegemaran anda menerusi telefon bimbit anda di mobile.8tv.com.my. Selamat menonton!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Shah Rukh Khan di Melaka 11 Disember 2009

Sekitar Sidang Media dan Pelancaran Stompin Sabah 2009