in

Di Sebalik Tabir Kerjaya Merbahaya Dan Berisiko Tinggi Dalam Program 3D

Di Sebalik Tabir Kerjaya Merbahaya Dan Berisiko Tinggi Dalam Program “3D” di TV1

Mengangkat pengalaman sehari di sebalik tabir kerjaya merbahaya dan berisiko tinggi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan program terbaharu bertajuk “3D”, di mana dalam setiap episod, satu kerjaya akan dipilih. Kerjaya tersebut merupakan kerjaya berkategori merbahaya dan berisiko tinggi sehingga boleh melibatkan kehilangan nyawa.

Menemui penonton mulai 4 Julai ini, setiap Rabu, pukul 9.00 malam di TV1, 13 episod program ini mengupas topik dengan memilih lokasi yang sesuai dan menemu ramah individu yang terlibat secara langsung dengan kerjaya tersebut. Jenis kemalangan dan risiko yang dihadapi dikongsi melalui sesi temu bual untuk difahami penonton.

Chef Selebriti iaitu Chef Zubir Md. Zain antara yang berkongsi kerjaya beliau

Episod pengenalan bertajuk ‘Malim Pelabuhan’ yang merupakan antara kerjaya yang berisiko tinggi. Tugas dan peranan seorang Malim Pelabuhan ialah mengemudi dan memastikan kapal masuk ke pelabuhan dan keluar dari pelabuhan dengan selamat. Rancangan berlokasi di Pelabuhan Bintulu, Sarawak dan menemu ramah Capt. Mohd. Sabri Amin yang berpengalaman luas sebagai Malim Pelabuhan. Rancangan juga memaparkan peranan yang dilakukan di menara kawalan serta operasi penundaan oleh bot penunda pada kapal yang bersaiz besar.

Saksikan diari kehidupan seharian seorang jururawat lelaki. Tugas beliau ialah berkaitan dengan barangan klinikal untuk pembedahan. Rutin hariannya bermula dengan penyediaan barangan untuk prosedur pembedahan dan juga pelupusan barang-barang yang berkaitan dikenali sebagai sisa klinikal. Ia merupakan kerjaya yang berisiko kerana melibatkan nyawa manusia dan tiada ruang untuk melakukan kesilapan dan kelalaian. Beberapa orang individu diwawancara untuk berkongsi maklumat yang berkaitan.

Kerjaya sebagai ‘Pengendali Kren Menara’ merupakan pilihan untuk episod berikutnya. Individu yang terpilih berkongsi pengalaman selama 7 tahun. Beliau berkongsi detik cemas yang pernah dialaminya ketika mengendalikan kren. Beberapa orang individu yang terlibat dalam bidang pembinaan berkongsi pelbagai aspek keselamatan pengendalian kren yang merupakan antara aspek penting dalam industri pembinaan.

Episod berikutnya memperlihatkan kepada penonton tentang Bekerja di Unit Senggaraan Hidup TNB. Ia merupakan sebuah pasukan elit yang merangkumi seramai 10 orang individu dengan kemahiran tersendiri. Pelbagai pandangan dari anggota TNB yang terlibat juga dipaparkan untuk perkongsian dengan para penonton.

Kemudiannya saksikan pengalaman penyelia kanan di Pusat Pelupusan Sampah Bukit Tagar merupakan individu yang dipilih dalam episod kali ini. Aspek keselamatan menjadi keutamaan semua pekerja dengan komunikasi memainkan peranan yang penting. Ini berdasarkan bentuk tapak yang berbukit serta terdapat kolam untuk rawatan air. Beliau juga perlu memeriksa tapak Fasa 3 yang akan digunakan pada masa hadapan dan memastikan jalan keluar masuk lori berkeadaan baik, stabil dan seimbang.

Episod kali ini mengupas tentang kerjaya sebagai seorang Chef di mana seorang yang dikenali sebagai Chef Selebriti iaitu Chef Zubir Md. Zain dipaparkan. Pelbagai risiko yang dihadapi oleh seorang chef di mana aspek keselamatan memainkan peranan yang penting termasuk pengendalian gas dan api merupakan asam garam di dapur. Sesungguhnya kerjaya seorang chef memerlukan minat dan fokus yang tinggi demi untuk memuaskan hati pelanggan dengan keenakan makanan yang dihasilkan.

Perkongsian individu terpilih kemudiannya menerusi kerjayanya dalam kerja mencuci bangunan tinggi yang sememangnya merbahaya dan berisiko tinggi. Kemahiran diperlukan bagi tugasan ini hanya boleh diperolehi melalui latihan berterusan serta pengalaman. Taklimat dan pemeriksaan dilakukan sebanyak 3 kali bagi memastikan SOP aspek keselamatan dipatuhi sebelum memulakan sesuatu tugasan. Faktor cuaca juga memainkan peranan penting di mana Nurul pernah dilanda hujan lebat ketika melakukan tugasan.

Lokasi episod berikutnya ialah di Gunung Kinabalu, Sabah. Kerjaya sebagai Malim dan Porter Gunung menjadi pilihan Christopher Peter. Kerja tersebut melibatkan perkhidmatan membawa pelbagai jenis barang menuju ke puncak Gunung Kinabalu dengan menggunakan kudrat seseorang individu.

Ikuti juga perkongsian kerjaya mencabar seorang pengait kelapa sejak tahun 1980an lagi. Antara pengalaman yang dikongsinya ialah beliau ditimpa kemalangan apabila sebiji kelapa menghempapnya sehingga tangan kanan beliau patah. Pak Nin mampu memperoleh pendapatan sehingga RM200 sehari sebagai upah mengait kelapa. Beliau berjaya menghantar anak-anak belajar sehingga ke universiti hasil daripada pendapatan mengait kelapa.

Ada juga kisah Crista Chiam, remaja wanita berusia 21 tahun memilih kerjaya yang agak unik iaitu sebagai Jurusolek Jenazah yang merupakan kerjaya pilihan untuk episod kali ini. Masyarakat Cina mementingkan pengurusan jenazah yang selalunya jenazah tersebut akan dihias dan disolek semasa proses pengebumian. Kerjaya ini mempunyai masa depan yang cerah memandangkan masyarakat Cina sudah mula menggunakan khidmat jurusolek tersebut dan masih tidak ramai kaum Cina menceburi bidang tersebut. Crista bercita-cita untuk terus meningkatkan kemahiran lagi untuk mencapai cita-citanya sebagai Jurusolek Jenazah bertaraf profesional.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Uji Bakat Terbuka Asia’s Got Talent di Taylor’s University, Kuala Lumpur

Betul Ke Kak Limah & Mr. K Berkahwin Atau Sekadar Gimik?