in , ,

Permohonan Syamsul Lanjut Perintah Injunksi Terhadap Puteri Sarah Lulus

Permohonan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof melanjutkan perintah injunksi terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana, diluluskan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, pagi tadi.

Peguam mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais memberitahu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membenarkan perintah injunksi berkuat kuasa sehingga 8 Jun dan atau sehingga kes inter-parte (kedua-dua pihak) didengar dan/atau diputuskan kelak.

Azmi berkata, perintah injunksi yang dibuat Syamsul sebelum ini bakal berakhir, esok.

“Kami sudah mendapat perintah melanjutkan injunksi dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi. Syamsul hadir ke mahkamah pagi tadi bersama saya.
“Sebelum ini, injunksi hanya dibuat selama 30 hari. Jadi kami mohon untuk melanjutkannya sehingga 8 Jun dan, atau hingga diputuskan kelak. 
“Pada 8 Jun nanti, peguam Puteri Sarah kena masukkan afidavit jawapan. Jadi, pada hari itu, hakim akan tengok lagi sekali perkara ini.
“Disebabkan perintah inilah, dalam tempoh sebulan ini, Puteri Sarah dilihat tidak memberikan apa-apa komen,”

– Azmi Mohd Rais

Azmi berkata, perintah injunksi dibuat bagi menjaga ketenteraman kedua-dua pihak dan selain mengelak komen bersifat subjudis.

“Disebabkan kes nusyuz masih belum berlangsung, namun, macam-macam komen sudah keluar. Jadi, untuk mengelak komen berkaitan suami isteri ini keluar, kami mohon perkara ini di mahkamah,”

– Azmi Mohd Rais

Pagi tadi, mahkamah meluluskan permohonan Syamsul melanjutkan tempoh masa perintah ex-parte bertarikh 27 April berdasarkan Seksyen 238 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dengan pindaan kepada perintah ex-parte terbabit.

Mahkamah Tinggi Syariah antara lain memerintahkan Puteri Sarah dihalang, dilarang dan/atau ditegah bertindak mengeluarkan, memuat naik, menyiarkan, menulis, menerbitkan, menyebarkan, mengedarkan, menghebahkan, dan/atau menyalurkan apa-apa kenyataan, tulisan fitnah, maklumat, komen, gambar dan atau klip video di mana-mana laman media sosial, media cetak dan atau media elektronik.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kongsi Kata Laluan Netflix, Anda Akan Dikenakan Yuran Sebanyak RM13

KRU Perkenalkan Wetland Studios Putrajaya, Selebriti Pertama Buka Taman Tema