in , ,

Kongsi Kata Laluan Netflix, Anda Akan Dikenakan Yuran Sebanyak RM13

Pelanggan Netflix di Malaysia kini perlu membayar yuran RM13 seorang bagi pengguna yang berkongsi kata laluan dengan pengguna lain yang tinggal di kediaman berbeza.

Tindakan keras berhubung perkongsian kata laluan itu sebelum ini hanya dikuatkuasakan di beberapa negara Amerika Latin, namun kini diperluaskan ke lebih 100 negara termasuk Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Akaun masih boleh dikongsi dengan pengguna lain yang tinggal di kediaman sama tanpa yuran tambahan. Perlu diingatkan bahawa beberapa slot disediakan bagi pengguna tambahan adalah terhad menurut kategori akaun.

Hanya satu slot pengguna tambahan disediakan dengan pelan Standard, manakala dua slot pengguna tambahan bagi pelan Premium.

Pengguna tambahan boleh menonton Netflix dengan kualiti sama seperti pemilik akaun, namun akan dihadkan untuk menggunakan hanya satu peranti pada satu-satu masa.

Semua ahli tambahan juga perlu menggunakan profil sendiri dan boleh menentukan penarafan kematangan, namun tidak boleh memilih profil Kid.

Slot tambahan juga hanya boleh diaktifkan di negara sama dengan pemilik akaun, justeru penonton tidak boleh menggunakan jemputan dari negara lain.

Bayaran bagi slot tambahan akan dikenakan kepada pemilik akaun asal, namun keupayaan untuk menambah slot hanya disediakan kepada pengguna yang membuat bayaran terus kepada Netflix, berbanding menerusi penyedia pihak ketiga seperti Astro.

Menurut penyedia perkhidmatan penstriman itu, Netflix Household adalah sekumpulan peranti yang dihubungkan ke Internet di tempat utama anda menonton Netflix.

“Semua peranti lain yang menggunakan akaun Netflix anda menggunakan Internet yang sama seperti televisyen secara automatik akan menjadi sebahagian daripada Netflix Household,” jelas penyedia perkhidmatan penstriman itu menerusi pusat bantuannya.

Bagi panduan langkah demi langkah untuk membuat penetapan Netflix Household, pengguna boleh merujuk panduan yang disediakan di laman web syarikat itu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rendy Pandugo

Nusafest Presents Bawakan Rendy Pandugo Ke Malaysia Buat Pertama Kali

Permohonan Syamsul Lanjut Perintah Injunksi Terhadap Puteri Sarah Lulus