in ,

Keputusan Penuh Pemenang ANUGERAH MeleTOP Era 2018

ANUGERAH MeleTOP Era 2018 (AME2018) yang berlangsung dengan meriah malam tadi menyaksikan penyanyi Khai Bahar dan pengacara, Neelofa menggondol anugerah utama Top Top MeleTOP Lelaki dan Wanita.

Selain anugerah utama itu, Khai turut membolot dua lagi anugerah pada malam tersebut iaitu anugerah Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP menerusi lagu Bayang.

Menerusi kemenangan itu, Khai berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 berserta trofi.

Tidak dinafikan, Khai mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri malah mendedahkan turut mendapat bantuan daripada para penyokongnya dari Indonesia.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, dia tidak menyangka sama sekali akan membawa pulang sejumlah tiga trofi pada malam tersebut sekaligus berterima kasih kepada peminatnya.

“Sesuatu yang saya tak jangka… Saya anggap ini kemenangan peminat kerana mereka yang bekerja keras mengundi saya untuk meraih trofi.

“Tahun lalu, saya menang trofi Artis Baharu MeleTOP, selepas itu sasaran saya hendak meraih anugerah terbaik pula.

“Kemenangan ini atas usaha peminat Indonesia yang memainkan peranan mewujudkan akaun khas yang dikendalikan peminat di Malaysia untuk mengundi saya,” katanya memetik BH Online.

Biar pun dilanda kontroversi baru-baru ini yang menyaksikan dirinya dikecam teruk, Neelofa berjaya mengekalkan trofi anugerah utama yang turut dimenanginya pada tahun lepas itu sekaligus menyaksikan kemenangan kali kedua berturut-turut untuknya.

Neelofa turut memenangi dua kategori lain iaitu Fesyen MeleTOP serta Pelakon TV MeleTOP menerusi lakonannya dalam drama Red Velvet.

Seperti Khai, kemenangan tiga anugerah itu menyaksikan Neelofa membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM20,000 berserta trofi.

Bagi kategori utama, pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala kategori lain RM5,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Acara malam itu dihoskan oleh pengacara program MeleTOP Astro, Nabil Ahmad dan Neelofa selain hos jemputan terdiri daripada Sabri Yunus, Sherry Alhadad, Jihan Muse dan Zul Ariffin.

AME2018 turut menampilkan persembahan pembukaan hebat empat penyanyi daripada generasi era 1970-an sehingga kini iaitu nyanyian daripada Altimet, Ito Blues Gang, Francissca Peter, Kool dan Noh Salleh daripada kumpulan Hujan.

Selain itu, malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi-penyanyi popular tanah air seperti Syamel, Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, UNIC dan legenda rock, Datuk Ramli Sarip.

Manakala penyanyi Indonesia, Virgoun turut tampil menghiburkan penonton selain persembahan istimewa daripada Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Mas Idayu.

Sorakan terbesar yang menggamatkan stadium tertutup Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam tersebut hadir ketika kumpulan Ruffedge membuat persembahan comeback selepas berehat hampir 10 tahun sebelum ini.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang AME 2018 malam tadi:

Top Top MeleTOP (Lelaki) – Khai Bahar

Top Top MeleTOP (Wanita) – Neelofa

Artis Baharu MeleTOP – Farah Nabilah

Si Cilik MeleTOP – Arif Jiwa Asyraf

Couple MeleTOP – Jep Sepahtu & Sari Yanti

Program Radio MeleTOP – Johara Pagi Era

Penyampai Radio MeleTOP – Johan (Era)

Program MeleTOP – Sepahtu Reunion Live 2017

Hos MeleTOP – Nabil MeleTOP

Artis Lawak MeleTOP – Zizan Razak

Drama MeleTOP – Red Velvet

Pelakon MeleTOP – Neelofa

Grup/Duo MeleTOP – Datuk Seri Siti Nurhaliza & Faizal Tahir

Penyanyi MeleTOP – Khai Bahar

Lagu MeleTOP – Bayang (Khai Bahar)

Filem MeleTOP – J Revolusi

Bintang Filem MeleTOP – Nur Fazura (J Revolusi)

Anugerah Khas MeleTOP – Datuk Harjit Singh Hullon.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Rahsia Ramai Selebriti Pakai Anak Tudung Pintar Kini Dah Tersebar

Sabri Yunus Paten Nama ‘Pok Ya Cong Codei’