in

Michael Ang Jawab Isu Kontroversi Babak Cium dalam Drama COFFEE PRINCE

Pengarah drama Coffee Prince, Michael Ang, menafikan wujudnya babak bercium atau tindakan menggunakan helah kamera bagi menampakkan kedua-dua pelakon utamanya, Fattah Amin dan Janna Nick seperti bercumbu.

Kata Michael, beliau cukup memahami sensitiviti masyarakat negara ini, justeru takkan sesekali memuatkan adegan sebegitu dalam karyanya.

Michael Ang

“Takkanlah saya sebodoh itu untuk menghasilkan babak bercium. Ini Malaysia. Semestinya saya peka dalam soal sensitiviti di negara kita. Tiada istilah bercium atau menggunakan ‘camera trick’ pun.

“Sebaliknya, saya hanya meminta Fattah meletakkan pipinya di sebelah kanan muka Janna. Tetapi, kedua-duanya tidak bersentuhan langsung. Itu saja yang saya arahkan kepada pelakon. Memang tak ada babak bercium pun,” katanya kepada BH Online.

Kewujudan babak yang menampakkan kononnya dua pelakon berkenaan bercium adalah kontroversi terbaru melanda naskhah yang diangkat daripada drama popular Korea, yang masih dalam penggambaran itu.

Sebelum ini, sebahagian peminat naskhah asalnya mempertikaikan pemilihan Fattah sebagai teraju utama drama terbabit, dengan mengatakan aktor popular itu tidak sesuai digandingkan dengan Janna.

Menurut pengarah sensasi itu lagi, video yang menampakkan kedua-dua bintang terbabit seperti melakonkan babak bercumbu tersebar luas apabila pelakon, Fara Mendoza, datang melawat Janna di lokasi.

“(Isu itu timbul) kerana dia (Fara) mengambil video itu dari sudut yang menampakkan Fattah dan Janna seperti bercium.

“Kalau tengok Insta Story seorang lagi pelakon, Emma Maembong, memang tak ada pun babak cium seperti yang dianggap netizen itu,” katanya.

Michael yang sebelum ini mengarahkan Hero Seorang Cinderella turut memberitahu, penggambaran drama berkenan sudah siap 50 peratus.

Naskhah yang bakal disiarkan menerusi sebuah saluran berbayar itu juga buat julung kali menyaksikan gandingan Janna dan Fattah di layar kecil.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Babak Cium Fattah Amin & Janna Nick dalam Drama COFFEE PRINCE Cetus Kontroversi

Video Penuh David Beckham di Sidang Media AIA Healthy Living Tour Malaysia