in , ,

Konsert MIC ON! Minggu Keenam Catat Peningkatan Jumlah Tontonan

Kehadiran Selebriti Popular, Elly Mazlein, Adibah Noor & Naqiu Untuk Konsert Suku Akhir Minggu Ini Dijangka Bakal Curi Perhatian Peminat!

Konsert minggu keenam MIC ON! yang berlangsung pada hari Jumaat minggu lalu di saluran Awesome TV telah menarik perhatian penonton apabila mencatatkan peningkatan jumlah tontonan yang memberansangkan berbanding minggu-minggu sebelumnya.  

Konsert tersebut yang bertemakan “Dalam Kenangan” telah berjaya dikendalikan buat julung kalinya secara solo oleh pengacara, Issey Fazlisham, tanpa kehadiran Azwan Ali yang digugurkan pada minggu lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Dato’ Adam Ilyas berkata, “Kami gembira dengan prestasi yang dipamerkan Issey pada minggu lalu. Walaupun beliau bersendirian, Issey dilihat bijak menguasai pentas dengan cemerlang dan bersahaja tanpa rasa gementar. Pendekatan Issey di atas pentas juga menerima respon yang baik daripada barisan juri tetap MIC ON! iaitu Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Mas Idayu apabila mereka turut terhibur dengan gelagat spontan Issey yang mencuit hati sepanjang konsert berlangsung. Barisan ‘Managers’ yang terdiri daripada Ajak Shiro, Ropie dan Fad Bocey turut menunjukkan keserasian yang ketara sekaligus melancarkan perjalanan konsert tersebut.”

Untuk konsert MIC ON! suku akhir yang bakal berlangsung pada Jumaat ini, 18 Mac 2022, pihak produksi akan menyuntik kelainan segar dengan membawa masuk selebriti sensasi, Elly Mazlein atau lebih dikenali dengan nama pentas Kak Lina Pom Pom, yang diundang khas untuk digandingkan dengan Issey sebagai hos jemputan. Kehadiran beliau dijangka bakal mencuri perhatian penonton dengan karakternya yang selamba dan menghiburkan. 

“Menerusi pemerhatian kami, pemilihan Kak Lina Pom Pom dilihat tepat dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep program ini. Kehadiran beliau di pentas-pentas besar sebelum ini kerap kali mendapat pujian ramai khususnya di kalangan warganet. Kami yakin, gandingan kedua-dua Kak Lina Pom Pom dan Issey mampu mencetuskan magis yang tersendiri. Kami turut berharap, kelainan minggu ini mampu memberikan keterujaan luar biasa buat penonton,” sambung Dato’ Adam lagi. 

Manakala Adibah Noor pula diundang khas bagi mengisi kerusi Juri Jemputan dan mengadili pertandingan ini bersama Dato’ Awie dan Mas Idayu. Dalam pada itu, penyanyi kesayangan ramai, Naqiu akan mengisi slot SuarNet yang bakal mewakili warganet dan membuat ciapan di platform Twitter sepanjang konsert berlangsung. 

Untuk konsert suku akhir yang mengangkat tema ‘Minggu Komedi’, seramai 9 peserta bakal berentap untuk menempah tempat ke peringkat seterusnya sekaligus merebut gelaran juara. Peserta Haze bakal membawakan lagu “Aspalela” yang pernah dipopularkan oleh Saiful Apek, Anissa (“Tiru Macam Saya”, Saloma), Yulia (“Dengar Ini Cerita”, Anita Sarawak), Izzy (“Apa Dah Jadi?”, Tan Sri SM Salim), Bulan (“Lagu Hits Untukmu”, Shamsul Ghau Ghau), Aiman (“Saman”, Poe), Tuah (“Prof. Klon”, Pak Nil), Zakir (“Sebelum & Sesudah”, Senario) dan Hafiy (“Makan”, Jalil Hamid). MIC ON! bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam di saluran Awesome TV menerusi platform Astro 123 dan MyTV 112. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

HADY MIRZA

Hady Mirza Ubati Rindu Peminat Dengan Single CINTA SAMPAI DISINI’

Samsung Lancar Galaxy A53 5G & Galaxy A33 5G, Ini Ciri Yang Anda Perlu Tahu