in

Yang Menarik Tentang Program KEMBARA AMAL

Aktiviti gelandangan, gejala keterlanjuran, samseng jalanan, gejala HIV/AIDS, gangsterisme, gejala penagihan dadah, ragut, lepak, si tanggang, buli, buang bayi, gejala vendalisme atau lakumusnah dan ponteng sekolah sememangnya sinonim dengan golongan remaja.

Berkongsi memaparkan kisah-kisah realiti kehidupan masyarakat di negara ini sambil berdakwah dan mengajak generasi muda mengamalkan aktiviti yang bermanfaat serta diredhai Allah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokumentari bertajuk “Kembara Amal” yang sedang bersiaran setiap Jumaat, pukul 12.00 tengah hari menerusi saluran TVi sejak 5 Ogos lalu.

Sisi lain ditonjolkan dalam 13 episod program ini dengan pengacara Omar Mothtar mengundang anggota kumpulan nasyid popular seperti Mestica, All One, Ustaz Nazrey Johani, UNIC, Trio, Marwadah, dan Ideal ‘turun padang’ bersama-sama cuba menyelusuri beberapa lokasi yang menjadi tumpuan utama masyarakat gelandangan, mengunjungi rumah kebajikan, pusat pemulihan, lokasi tumpuan ragut, lepak kalangan remaja ponteng sekolah.

Realiti kehidupan anggota masyarakat yang hidup gelandangan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dikongsikan pengacara Kembara Amal bersama Kumpulan Nasyid Mestica dengan menyelusuri beberapa lokasi yang menjadi tumpuan utama masyarakat gelandangan ini seperti Hentian Pudu Raya, Kompleks Daya Bumi, Kompleks Kota Raya dan kawasan lapang perhentian bas di Jalan Tun Tan Cheng Lock.

Sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Pertiwi Soup Kitchen yang diasaskan oleh Puan Munirah Abd. Hamid telah menyediakan makanan dan minuman kepada kira-kira 700 orang masyarakat gelandangan. Turut dikunjungi Pusat Sehenti Intervensi yang menempatkan masyarakat gelandangan sebelum mereka berjaya mendapat pekerjaan tetap atau mendapat bantuan yang diperlukan. Anjung Singgah ini dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Topik “Gejala Keterlanjuran” cuba menyelami realiti kehidupan remaja khasnya remaja wanita Islam dengan mengunjungi beberapa premis hiburan di pusat bandar yang sering dikunjungi oleh para remaja.

Temubual turut diadakan dengan keluarga di mana anak gadis mereka terlibat dalam gejala keterlanjuran sehingga mengandung anak luar nikah. Kunjungan ke Rumah Kebajikan Perkid, Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor dan Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor untuk mengetahui program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Rumah Kebajikan ini dalam usaha memulihkan remaja dan wanita yang terlibat dalam gejala keterlanjuran.

Memaparkan gejala ‘Samseng Jalanan’ atau Mat Rempit yang menular di kalangan remaja di negara kita, hos menjemput Ustaz Nazrey Johani mengupas faktor yang mendorong remaja terjerumus ke dalam kegiatan itu. Tindakan pembasmian dilakukan oleh pihak Polis dan mereka yang ditahan atas kesalahan itu di letak di bawah Bahagian Perintah Khidmat Masyarakat di Kementarian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Di akhir rancangan Ustaz Nazrey Johani menasihati remaja supaya jangan memilih jalan yang merosakkan kehidupan mereka dan memilih aktiviti yang memberi manfaat.

Tajuk “Gejala HIV/AIDS” pula memaparkan punca gejala HIV/AIDS ini dengan mengunjungi beberapa tempat di mana gejala ini mungkin boleh berlaku. Para remaja yang terjebak dalam gejala HIV/AIDS pada mulanya terlibat dalam penagihan dadah yang berakhir dengan hubungan seks secara rambang ini terpaksa menghadapi realiti bahawa mereka akan disisihkan oleh keluarga dan anggota masyarakat.

Krew Kembara Amal juga mengunjungi beberapa buah pusat pemulihan dan rawatan HIV/AIDS seperti Rumah Perlindungan Istana Budi, Rumah Teduhan Kasih dan Rumah Solehah untuk melihat sendiri program dan aktiviti yang dijalankan dalam usaha membantu dan membimbing pengidap HIV/AIDS kembali ke jalan yang diredhai Allah.

“Gangsterisme” pula cuba menyelami realiti kehidupan beberapa orang pelajar sekolah menengah yang terjebak dalam kumpulan tertentu serta melakukan beberapa aktiviti seperti merosakkan harta benda awam, pergaduhan, merompak secara berkumpulan dan memukul guru tanpa menyedari perbuatan itu merupakan antara aktiviti kumpulan gangsterisme.

Diteruskan tajuk “Gejala Penagihan Dadah” meninjau kegiatan penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berpeluang melawat Rumah Pengasih dan Klinik Cure & Care 1 Malaysia iaitu pusat rawatan harian untuk penagih dadah.

Saksikan juga episod ragut, gejala lepak, gejala si tanggang, buli, buang bayi, vandalisme atau gejala lakumusnah dan gejala ponteng sekolah yang realitinya berlaku dalam kalangan masyarakat kita yang sememangnya memerlukan sokongan orang ramai untuk dibendung.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

What do you think?

74 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Pelawak Veteran Pak Piee Meninggal Dunia

Eka Sharif Pertaruh Lagu Terbaru MENGENAL CINTA