in

Berhijrah & Mencabar Potensi Diri Dalam TITIK PERUBAHAN

Benarlah kata pepatah nak seribu daya daya, tak nak seribu dalih. Berkonsepkan motivasi dan memberi fokus kepada seorang individu yang berjaya menghadapi sesuatu masalah atau cabaran, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program bertajuk “Titik Perubahan” menampilkan 13 individu yang sudi berkongsi pengalaman mengenai perhijrahan dalam hidup mereka. Selusurilah perjalanan hidup mereka. Semoga kita turut termotivasi dan merasai aura positifnya.

Sedang bersiaran menerusi saluran TVi (Astro 109), setiap Jumaat, pukul 8.30 pagi, program 13 episod ini menyuntik motivasi tetamu undangan antaranya Datuk Malek Noor, Adam Corrie, Puan Rozita Ibrahim (Pengasas Sendayu Tinggi) serta kartunis Taugeh dan Ujang.

Titik Perubahan

Motivasi sosial dikongsikan dengan penonton dalam episod ‘Islam Telah Berkembang’ menampilkan perkongsian Adam Corrie Lee Abdullah, pelakon yang sudah berada dalam bidang hiburan selama tiga puluh tahun dan sinonim dengan watak antagonis dan kini beliau memeluk agama Islam. Saudara baharu ini menerangkan apa yang mendorong beliau untuk memeluk agama Islam dan pelbagai cabaran yang beliau terpaksa menghadapi. Seterusnya, terdapat juga temubual dengan isteri beliau, Pn. Fazima Mohamad Fuad dan rakan beliau Muhammad Umar yang menceritakan tentang ujian dan masalah yang dihadapi oleh Adam Corrie.

Kisah Mohd Khairul Ramli, Pakar Motivasi dan Pemilik Wira Jaya Excellent Sdn. Bhd. dalam episod ‘Aku Bukan Samseng Lagi’ tentang pakar motivasi, dari Sentul, Kuala Lumpur, yang asalnya seorang pemuda yang bermasalah sejak dari peringkat sekolah dan pernah menempuh kehidupan liar serta sering terlibat dalam pergaduhan besar di Sentul. Perubahan persepsi beliau bermula sejak dia dilantik menjadi pengawas sekolah dan seterusnya menghadiri kem motivasi yang dianjur oleh sekolah. Beberapa tahun kemudian, beliau menubuhkan syarikat sendiri. Seterusnya, beliau memberi ceramah motivasi di sekolah-sekolah dan memberi dorongan serta bimbingan kepada pelajar yang bermasalah supaya mereka ada masa depan yang cerah.

‘Hikmah Disebalik Musibah’ pula mendekati Mohsen Amdan, seorang Pakar Motivasi merupakan sorang yang pendiam dan takut bercakap ketika zaman sekolah. Titik Perubahan beliau bermula apabila beliau mengambil bahagian dalam sebuah pertandingan pidato yang dianjurkan di sekolah. Selepas menang dalam pidato tersebut beliau terus mengambil bahagian dalam beberapa pidato lain dan ini seterusnya menguatkan keyakinan diri beliau. Seterusnya, beliau juga menubuhkan “bola rotan.com”, sebuah medium yang mendekatkan masyarakat melalui permainan sepak takraw. Disamping itu, pertubuhan ini juga turut menganjurkan pertandingan sepak takraw di kawasan masjid untuk menggalakkan para remaja agar mendekati masjid.

Tajuk lain ‘Siti Saloon’ iaitu tentang Siti Hajar Jamil, seorang usahawan dan pemilik Siti Saloon Alzahrah yang membuka salon pertama beliau berkonsep Muslimah. Pada awalnya beliau menghadapi beberapa cabaran dan dugaan, akhirnya beliau berjaya membuka empat cawangan, di Seri Manjung, Perak , Bangi Gateway, Seri Rampai, Kuala Lumpur dan Seksyen 7, Shah Alam. Disamping itu, beliau juga memberi latihan industri kepada pelajar-pelajar dari Kolej Vokasional Azizah.

‘Sinar Keinsafan’ pula mengisahkan Datuk Malik Noor, bekas atlet negara dan pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan. Beliau telah memenangi beberapa pingat dalam kategori “heavy weight” iaitu 6 kali dalam pertandingan di Asia, 2 kali dalam pertandingan Universe dan 7 kali peringkat Dunia. Beliau adalah anak kepada seorang pegawai polis dan dibesarkan di Sri Gading. Walaupun pada masa muda beliau adalah seorang yang nakal tetapi apabila dewasa beliau berubah sehingga menjadi seorang ahli sukan dan pelakon yang berjaya.

bersama tetamu Datok Malek Nor

Dalam ‘Legasi Sendayu Tinggi’ suntikan motivasi diberikan Rozita Ibrahim, pengasas syarikat Sendayu Tinggi. Sebelum menjadi seorang usahawan yang terkenal, beliau bekerja sebagai seorang penoreh getah di kawasan Felda di Pahang. Keazaman untuk mengubah nasib telah mendorong beliau untuk berhijrah dari kawasan Felda dan berpindah ke Kuala Lumpur. Seterusnya, kepakaran beliau dalam bidang herba, membolehkan beliau menceburi dalam pembuatan produk kosmetik herba serta ubat dan minuman herba dan seterusnya beliau menubuhkan syarikat Sendayu Tinggi.

Episod ‘Satu Anugerah’ mengisahkan Hasan Suyut, ahli perniagaan yang pernah mengabaikan keluarganya. Tetapi selepas kelahiran anak yang keempat mengidap celebral palsy beliau berubah. Hasan bersungguh menguruskan rawatan perubatan anaknya ke negara Cina dan Amerika Syarikat. Dia berkongsi pengalaman berharga perjalanan hidupnya dalam sebuah buku dengan harapan ianya menjadi sumber inspirasi kepada ibubapa lain. Hasan menubuhkan pusat kecemerlangan cerebral palsy –” Excell CP”, yang menyediakan rawatan pemulihan secara percuma termasuk khidmat kaunseling kepada ibubapa kanak-kanak yang mengidap cerebral palsy. Pada tahun 2015, Hasan telah menerima “Anugerah Ibu Bapa Bukan OKU Mempunyai Anak OKU Berjaya” sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Negeri Selangor.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

CLEVER GIRL MALAYSIA Cecah 4 Juta Penonton

Ada Sebab Program Detik 12 Malam Dikatakan Seram