in

Fizow, Nisha Dirr, Maria Farida dalam Dilema Wanita

DILEMA WANITA MUSIM KE-10 PAPAR LEBIH BANYAK KONFLIK DIHADAPI WANITA DI TV2
Masih ingatkah anda drama bersiri Dilema Wanita yang pernah mencipta fenomena di kalangan golongan wanita yang memaparkan kisah suka duka insan bergelar wanita? Dilema Wanita yang mengangkat permasalahan dan pergolakan hidup dalam hati insan bergelar isteri, ibu dan wanita dalam masyarakat?

Menemui penonton untuk musim ke-10, Dilema Wanita yang bakal disiarkan mulai 14 Oktober 2010, setiap Khamis, jam 3.30 petang di TV2 ini berkongsi memaparkan lebih banyak kupasan dan realiti kehidupan yang dijalani golongan wanita dalam kehidupan seharian. Segala suka duka diangkat dan dikongsi sama penonton menerusi 13 episod siarannya dengan tajuk berbeza-beza.

Fizo Dan Nisha Dirr Dalam Episod Cinta Pertama

Bermula dengan episod Tempias Kasih yang mengetengahkan kisah wanita yang tidak mahu berdepan dengan hakikat menjalani kehidupan secara sederhana setelah kematian suaminya hingga mengabaikan kepentingan anak-anak. Apatahlagi arwah suaminya semasa hidup begitu memanjakan dirinya dengan kemewahan.

Menerusi tajuk Selasih Berdaun Ketapang pula kisah tekanan yang terpaksa dihadapi seorang wanita kerana anak gadisnya mengejar lelaki bukan Melayu. Dia menjadi mangsa sindiran kerana anaknya masih belum berkahwin sedangkan dirinya seorang pemilik butik andaman yang sibuk menjalankan perniagaan menguruskan majlis perkahwinan.

Turut dikongsi sama kisah wanita yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita kisah wanita yang tidak memiliki anak kemudiannya merancang mengambil anak angkat. Namun setelah kematian suami dan rahsianya mengambil anak angkat sampai ke pengetahuan keluarga mentuanya, dia akhirnya kehilangan segalanya dalam episod Hujan Tengahari.

Walaupun memiliki rumah sewa yang banyak namun wanita separa usia itu terpaksa menjeruk rasa dengan kelakuan anak-anaknya yang kerap kali mahu meminjam wang hingga adakalanya dia terpaksa mengetepikan kepentingan sendiri. Kisahnya dipaparkan dalam tajuk Rumah Sewa.

Menariknya episod Bunga Cinta Rahmah pula memaparkan kisah dilema seorang ibu apabila anak lelakinya semakin dewasa menjadi lembut manakala anak perempuannya pula berpewatakan kasar seperti lelaki.

Dia terpaksa berdepan dengan tohmahan jiran tetangga apatahlagi bila suaminya turut menyalahkannya kerana dianggap tidak pandai menjaga anak.

Menyusul paparan kisah-kisah lain dilema wanita termasuklah kisah wanita yang begitu ego malah terhadap suaminya sendiri. Teguran suaminya supaya menjaga berat badan tidak dihiraukan hingga berlakunya pertengakaran yang menyebabkan dirinya diceraikan. Realitinya ia berlaku dalam masyarakat kita apabila wanita berfikir bahawa suaminya tidak mungkin mencari lain setelah memiliki seorang isteri.

Begitu juga kisah wanita yang berdepan dengan dugaan membesarkan anak setelah ditinggalkan suami kerana mengejar cinta perempuan lain. Namun apabila kebahgiaan mula menjenguk dalam diri wanita yang ditingglkan itu apabila hadiah pemuda baik hati mahu melamar, bekas suami yang tidak bertanggungjawab itu muncul kembali dan meracuni fikiran si anak supaya tidak menerima bakal bapa tirinya.

Kisah wanita yang terlalu mengejar kerjaya hingga terlupa memikirkan soal jodoh, wanita yang terjebak dalam sindiket penculikan bayi, wanita yang gemar berlagak muda, perebutan anak dengan suami yang juga warganegara asing juga konflik berlaku pada wanita yang bernikah dan sekaligus menjadi ibu pada usia muda.

Seorang pelakon wanita dikenali bakal muncul melakonkan watak utama dalam episod berbeza termasuklah Jasmin Hamid, Dian P.Ramlee, Maria Farida, Ruminah Sidek, Hamidah Wahab, Sabrina Ali, Aida Aris, Norish Karman, Liza Abdullah, Wati Elite, Khatijah Tan, Airis Yasmin, Ann Abdullah dan Nisha Dirr.

Yasmin Hamid Dan Linda Hashim Dalam Episod Tempias Kasih

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Showdown Street Fest 2010 8TV

Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur