Korang ingat lagi dengan Fiq Mentor? Rasanya ada yang dah lupa, ada yang samar-samar, maklumlah dah lama tak tengok Fiq perform. Namun, setelah lama menghilang, Fiq akan muncul dengan album baru.
“Teristimewa buat peminat saya yang setia menanti dan juga kepada peminat baru, selamat datang ke dunia rocker.
“Diagnostik pasti menepati citarasa para pengikut muzik rock tanah air” begitulah ungkapan yang dikeluarkan Fiq atau pemilik nama sebenar Mohd Firdaus Bin Abdul Halim ini.
Kelahiran album Diagnostik memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepadanya selepas terus diberikan kepercayaan oleh EMI dan Warner Music Malaysia untuk mencipta kejayaan berganda Tiga Malam Tanpa Bintang dan Bukti yang sehingga kini menjadi siulan pecinta muzik tanah air.
Mengambil masa selama 5 bulan untuk disiapkan, kelahiran Diagnostik membuktikan bahawa Fiq masih mempunyai pengikut yang setia dalam industri muzik tanah air. Konsep yang diketengahkan melalui album ini masih tidak jauh berbeza dari album sebelum ini, ditambah dengan elemen-elemen baru yang menunjukkan kematangan beliau selepas menjuarai sebuah program realiti TV (Mentor Musim ke-2) beberapa tahun yang lalu.
Mempertaruhkan Manifestasi Cinta sebagai single pertamanya, lagu berkonsepkan gothic rock digabungkan dengan elemen timur tengah memperlihatkan kelainan dalam jenis repertoire yang diperjuangkan Fiq sebelum ini.
Gandingan bersama Mirwana, sebuah kumpulan nasyid tanah air memberikan satu citarasa yang berbeza berbanding lagu-lagunya sebelum ini.
Manifestasi Cinta mengisahkan tentang dunia yang penuh dengan ranjau, onak dan duri, dengan adanya cinta, dalam erti kata lain cinta kepada Tuhan, cinta sesama manusia, kita akan dapat mengatasi, melalui liku-liku yang mendatang.
“Diagnostik mencerminkan kesungguhan saya dalam memastikan muzik rock terus segar dan relevan”
Melihat kepada repertoire yang disampaikan melalui album ini, menunjukkan kesungguhan Fiq dalam membuktikan genre rock masih berbisa dan mampu untuk terus memberikan impak yang besar dalam kerjayanya. Album Diagnostik ini mendapat sentuhan dari komposer-komposer terkenal seperti Kuncidemak menerusi lagu Manifestasi Cinta, Amir, menerusi lagu Tragis, Mas Jongkong, yang mengajak pendengar men “Diagnosa” diri, Acap menerusi lagu Mencari Arah dan juga buat julung kalinya bekerjasama dengan BeatTheSystem dalam lagu Transisi yang berteraskan genre rap-rock berjaya mencorakkan album ini dengan keunikan muzik masing-masing.
Proses pemilihan lagu, rakaman lagu, rakaman video klip dan kulit album dibuat semenak Oktober 2009 lagi bagi memastikan hasil yang memuaskan untuk album DIAGNOSTIK ini.
Dengan kelahiran album ini diharapkan menjadi penawar rindu kepada setiap pengikutnya yang telah sekian lama menantikan kemunculan semula Fiq dalam industri muzik tanah air. Terimalah DIAGNOSTIK yang menzahirkan Manifestasi Cinta dari Fiq kepada semua.