in , ,

Fauziah Latiff Antara Selebriti Meriahkan Program RESIPI MUARA

Keunikan masakan tradisional dengan menggunakan ramuan dari muara sungai di Terengganu mejadi tarikan program terbaharu bertajuk “Resipi Muara” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 30 Julai lalu, setiap Selasa, pukul 10.30 pagi menerusi saluran TV Okey.

Ditambah pula dengan kehadiran artis terkenal sama-sama menyediakan resipi tersebut dengan bantuan seorang nelayan dalam 13 episod siarannya. Saksikan bagaimana keadaannya bila artis seperti Fauziah Latiff, Bell Ngasri, Reen Rahim, Nazim Othman, Julia Farhana Marin, Fadlan Hazim, dan Shukri Sahar turun ke muara sungai Terengganu menangkap pelbagai jenis makanan laut. Menariknya mereka turut berkongsi kebolehan dan kemahiran memasak beberapa jenis hidangan daripada hasil tangkapan tersebut.

Fauziah Latiff kongsi menu menarik

Hos Fendi Mohammad menjemput pelakon dan pelawak, Bell Ngasri menangkap ketam di muara sungai, Terengganu dengan bantuan seorang nelayan, Nek Mohd Yunus. Selepas mereka mendapatkan hasil tangkapan, hos dan Bell Ngasri, menyediakan dua jenis hidangan iaitu, Kari Ketam Nipah dan Nanas serta Ketam Nipah Bercili. 

Episod berikutnya masih bersama-sama Bell Ngasri melakukan aktiviti menangkap kerang dan memasak dua jenis menu masakan iaitu, Kerang Bulu Tumis Berempah dan Sambal Kerang Bulu Berlemak kepada penonton.

Pelakon cantik Reen Rahim muncul dalam dua episod seterusnya bermula dengan menangkap ikan kitang dan istimewanya turut dikongsikan cara terbaik penangkapan ikan kitang tersebut. Reen Rahim memperkenalkan dua jenis hidangan iaitu, Asam Pedas Ikan Kitang dan Ikan Kitang Goreng Taucu.

Diikuti episod dimana hos dan Reen Rahim pergi menangkap siput beliung menyediakan resipi Siput Beliung Masak Lemak Cili Api dan Siput Beliung Goreng Kicap Pedas. 

poster Resipi Muara di TV Okey

Siapa sangka pelakon kacak Nazim Othman sanggup bersama-sama dengan hos menangkap tiram batu dan seterusnya memperkenalkan dua jenis hidangan kepada penonton iaitu, Sambal Ketuk Tiram Batu dan Tiram Batu Kukus Halia.

Turut dikongsikan Nazim Othman melaungkan masa menangkap ikan patung dan memasak resipi istimewa Ikan Patung Bakar Percik dan Sayur Lemak Berus Mata Buaya.

Aktiviti menangkap dan memasak menu daripada ikan buluh iaitu Kari Ikan Buluh dan Ikan Buluh Celup Tepung Berempah disiarkan dalam episod mengundang pelakon yang namanya semakin melonjak naik iaitu Julia Farhana Marin.

Dengan bantuan Nek Mohd Yunus juga beliau cuba menangkap kepah dan menyediakan hidangan Kepah Goreng Belacan dan Kepah Masak Halia dan Serai.

Saksikan juga bakat kebolehan pelakon Fadlan Hazim dalam episod berikutnya menangkap  Ikan Kapas serta memetik buah nipah. Seterusnya mereka memasak dua jenis hidangan iaitu, Ikan Kapas Kukus Limau dan Kerabu Buah Nipah.

tetamu Bell Ngasri

Penyanyi Fauziah Latiff antara penyeri program ini bila mana beliau bersama-sama dengan hos dan seorang nelayan menangkap kekapis di muara sungai, Terengganu. Beliau menunjukkan resipi rahsia Sambal Serai Kekapis dan Kerabu Kekapis.

Resipi air tangan artis cantik ini juga ditonjolkan dalam episod 11 dengan melakukan aktiviti menangkap ikan dikis lalu menyediakan dua jenis hidangan iaitu, Ikan Dikis Bakar Sambal Kelapa dan Ikan Dikis Masak Asam. 

Dua episod berbaki program ini menjemput selebriti serba boleh iaitu Shukri Sahar mencuba aktiviti menangkap sotong katak di muara sungai, Terengganu. Kemudiannya terhasillah menu Gulai Sotong Katak dan Labu serta Sotong Katak Tumis Cili.

Akhir sekali mereka menangkap  lokan dan seterusnya memasak dua hidangan iaitu, Rendang Lokan dan Sambal Hijau Lokan. 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cef Ili Sulaiman Hos Program BELANGA KACUKAN

Peraduan Menang Pass PERCUMA Menonton Filem Japanese Film Festival 2019