in

Drama Dexter Lakonan Michael C.Hall di TV2

DEXTER : DRAMA BERSIRI INGGERIS, SETIAP RABU, JAM 11.00 MALAM DI TV2.

Kisah jenayah pembunuhan seringkali menjadi pilihan penonton yang gemarkan plot cerita penyiasatan yang pastinya mencabar pemikiran mereka mencari jawapan daripada persoalan yang ditimbulkan. Antaranya melibatkan persoalan siapakah dalang dan pembunuh sebenar? Bagaimanakah kejadian berlaku?

Justeru istimewa untuk penonton setia TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempersembahkan sebuah drama bersiri Inggeris, Dexter yang disiarkan pada setiap Rabu, jam 11.00 malam.

Drama bersiri lakonan mantap Michael C.Hall ini mengisahkan watak seorang anggota forensik, Dexter yang bekerja di bawah ’Miami Metro Police Department’ sebagai penganalisa kesan darah untuk sesuatu kes di bawah pimpinan Leftenan Maria LaGuerta. Dibesarkan oleh seorang pegawai polis, Harry Morgan semenjak berumur 3 tahun menyebabkan Harry mula menyedari trauma yang menghantui kisah silam Dexter. Harry mengajar Dexter untuk merealisasikan keinginannya untuk membunuh berpandukan satu objektif iaitu hanya membunuh orang yang benar-benar didapati bersalah.

Bermulalah episod pembunuhan Dexter di mana setiap penjenayah yang dibunuh akan di buktikan bersalah  terlebih dahulu sepertimana yang telah diajar Harry. Corak pembunuhan yang dilakukan Dexter dengan pendekatannya sendiri kerana setiap mayat yang telah dibunuh akan di potong kepada beberapa bahagian dan kemudia di buang ke dalam laut. Minat Dexter yang mendalam terhadap darah menyebabkan dia mengambil setiap sampel darah mangsa yang dibunuh untuk simpanannya.

Teman wanita Dexter, Rita lakonan Julia Benz yang trauma akibat penderaan yang dilakukan bekas suaminya telah sedikit sebanyak membantu Dexter mengaburi pandangan orang ramai yang beranggapan dia mempunyai kehidupan normal sama seperti orang lain. Tambahan pula, Rita mempunyai dua cahaya mata iaitu Cody dan Astor.

Keseluruhan musim pertama Dexter menceritakan watak pembunuh misteri yang kejam atau lebih dikenali sebagai ’ice truck killer’. Beberapa siri pembunuhan ngeri yang di lakukan ’ice truck killer’ telah menimbulkan kebimbangan penduduk Miami menyebabkan Dexter bertindak nekad untuk mencari siapa sebenarnya pembunuh bersiri berkenaan.

Berjayakah Dexter menjejaki pembunuh kejam yang menghantui penduduk Miami? Mampukah ’Miami Metro Police Department’ menyelesaikan kes pembunuhan bersiri ini tanpa bantuan Dexter? Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menonton ”Dexter” yang akan bersiaran pada setiap hari  Rabu, jam 11.00 malam hanya di saluran Dunia Ria, TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ako Mustapha Dikenakan Waran Tangkap

One In A Million Musim Baru Kini Dah Tiba