in , ,

Ulasan Konsert Kpop Masterz 2025 Vibe Bikin Hati Peminat Jatuh Cinta

CRAVITY Dan ATEEZ Cipta Malam Penuh Cinta Dan Adrenalin

Malam 31 Mei lepas, Budiey sempat menyaksikan satu lagi malam yang akan kekal terpahat dalam ingatan. Stadium Axiata Arena Bukit Jalil bertukar menjadi lautan cinta, sorakan dan semangat yang tak pernah padam apabila dua kumpulan idol Korea Selatan — CRAVITY dan ATEEZ — tampil dalam Konsert KPOP MASTERZ 2025 DI KUALA LUMPUR. Sebagai peminat muzik dan reviewer konsert tegar, Budiey boleh cakap terus terang — malam tu memang level padu! Tak ada satu saat pun yang rasa bosan.

CRAVITY Tawan Malaysia Dengan Senyuman Dan Bahasa Melayu

Buat kali pertama menjejakkan kaki untuk konsert di Malaysia, CRAVITY langsung tak nampak kekok. Malah, dari segi gaya, tenaga, dan chemistry sesama ahli, Budiey rasa macam mereka ni dah bertahun-tahun kenal LUVITY Malaysia.

CRAVITY

Apa yang paling mencuit hati dan buat satu stadium menjerit? Bila CRAVITY dengan comelnya menjerit, “Comel! Aku rindu mu!” dalam loghat Melayu yang sangat sopan dan sweet. Budiey tengok sendiri, semua peminat tersenyum sampai ke telinga. Ada yang menangis terharu. Sentuhan lokal ni memang genius — cara paling jujur untuk connect dengan peminat.

Bukan setakat nyanyi dan menari, CRAVITY juga sporting gila masuk segmen permainan macam cabaran botol, teka dadu dan memancing plastik. Yang kalah? Kena buat aksi comel atas pentas! Gelak tak berhenti. Stadium tu rasa macam taman tema K-pop. Suasana sangat ‘intimate’ dan penuh energi — rare untuk konsert besar.

CRAVITY

Budiey juga tak lupa bila CRAVITY tanya dengan muka nakal, “Korang suka durian… atau CRAVITY lagi?” Aduh, bijak betul tackle hati orang Malaysia. Budiey rasa macam nak pilih dua-dua!

Dalam masa hampir sejam, mereka perform 9 lagu termasuk Party Rock dan Break All The Rules, semuanya dengan vibe positif dan penuh gaya. Kualiti bunyi? Padu dan bersih. Takde bunyi tenggelam atau vokal sumbang. Lighting pun cinematic, macam konsert kat Seoul terus.

ATEEZ

ATEEZ Letupkan Stadium Dengan Kuasa Dua Kali Ganda

Kalau CRAVITY buat peminat tersenyum, ATEEZ pula buat semua orang hilang suara! Dari saat mereka muncul, jeritan peminat — yang Budiey kira hampir serupa dengan tsunami sonik — terus mengisi setiap ruang stadium. Kononnya malam tu ATEEZ nak perkenalkan diri untuk kali pertama di Malaysia, tapi Budiey rasa macam reunion. Sebab vibe mereka mesra, jujur dan penuh kasih sayang.

ATEEZ

Lagu-lagu macam Guerrilla, Say My Name, dan BOUNCY buat satu stadium lompat sama. Tapi part yang paling dekat di hati ialah masa mereka buat segmen “heart-to-heart” dengan ATINY Malaysia. Semua ahli ambil masa ucap terima kasih dan luahkan rasa sayang mereka terhadap peminat.

Satu lagi yang tak boleh dilupakan — permainan eye-contact melalui kamera. Fuh, Budiey sendiri rasa malu kalau duduk depan ATEEZ. Tapi peminat yang kena renung tu, Budiey nampak ada yang senyum, gigit bibir, dan terus blur. Power betul aura idol ni.

Mereka juga sempat masuk segmen fun macam “pose emoji comel bertiga” — penuh gelak, kecoh dan chaos yang manis. Bila perform semula lepas tu, ATEEZ kembali dengan tenaga monster. Tak ada downtime. Setiap lagu dihantar dengan koreografi tajam dan vokal solid.

ATEEZ

Detik “Bye-Bye” Yang Buat Air Mata Jatuh

Konsert ni ditutup dengan sesi yang buat Budiey sendiri sebak dan sayu — sesi “BYE” untuk semua peminat dari zon VVIP, VIP, CAT1 dan CAT2. CRAVITY dan ATEEZ turun ke barisan depan dan pusing satu pentas sambil lambai, senyum dan ucap selamat tinggal secara personal. Boleh nampak jelas air mata peminat yang tak nak malam tu berakhir. Detik yang sangat “real” dan menyentuh jiwa.

Tanda Pengurusan Profesional Dan Penuh Teliti

Tahniah kepada Genesis Entertainment dan rakan kolaborasi mereka — S.Case Entertainment dan Three Angles Production. Dari awal masuk venue sampai lampu terakhir padam, semua nampak smooth dan well-planned. Budiey sangat kagum dengan pengurusan crowd, sistem audio visual dan tenaga kerja di belakang tabir. Semua ni menyumbang kepada pengalaman konsert yang betul-betul berkualiti tinggi.

CRAVITY

Apa Kata Budiey?

Secara jujur, Budiey berpuas hati tahap maksimum dengan KPOP MASTERZ 2025. Bukan sekadar kerana lagu-lagu power yang dipersembahkan atau lighting yang memukau, tapi kerana emosi dan tenaga yang tercurah sepanjang malam. CRAVITY dan ATEEZ bukan hanya artis, mereka adalah penghibur sejati yang tahu macam mana nak cipta magik di hati peminat.

Budiey harap sangat pihak penganjur dapat terus bawa lebih banyak kumpulan K-pop ke Malaysia — bukan semata-mata untuk show, tapi untuk bina jalinan erat dan ikhlas dengan peminat tempatan. Budiey percaya Malaysia ada potensi besar untuk jadi pangkalan utama konsert K-pop di Asia Tenggara.

Bagi yang terlepas konsert ni, rugi besar, tapi jangan bimbang. Aura CRAVITY dan ATEEZ di Malaysia baru bermula. Budiey yakin mereka akan kembali, mungkin dengan skala yang lebih besar dan momen yang lebih epik.

Sampai jumpa di konsert K-pop seterusnya. Teruskan menyokong, teruskan menjerit, dan teruskan menjadi peminat yang penuh cinta!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AIM24 Perkenal Kategori Baharu Dan Ganjaran Lumayan Untuk Pemuzik

Bakeri Artisan Popular Tous Les Jours Buka Dua Cawangan di Malaysia