in ,

Drama Dari Mata Arisa Lakonan Ashraf Muslim Ayu Raudhah

Dari Mata Arisa disiarkan 40 episod terbitan Bright Network Sdn Bhd ini bergerak seiring kisah Maliah dan Marina, bukan sahaja kembar tidak seiras malah perwatakan mereka juga berbeza. Kelahiran mereka ke dunia seolah-olah untuk menjalani satu penyiksaan yang panjang apabila Maliah diseksa oleh Marina.

Ashraf Muslim & Salina Salibi

Marina bukan sahaja telah “merampas” tunang Maliah tetapi juga, dengan tipu muslihat, telah membolot semua harta peninggalan orang tua mereka. Marina bertekad untuk tidak membenarkan kembarnya itu mengecap kebahgiaan walau sedikit pun. Kebencian Marina dan kesengsaraan Maliah berpanjangan hingga ke generasi berikutnya.

Namun cerita bermula dengan Arisa dan Ayana, anak kembar seiras Maliah, meraikan kejayaan mereka sebagai graduan bersama adik mereka Amal dan Zaril, teman lelaki Ayana, senior kembar tersebut di universiti dan kini sudah pun bekerja di Kuala Lumpur. Tidak seperti ibu dan mak su mereka, Arisa dan Ayana begitu akrab dan amat menyayangi antara satu sama lain.

Nabila Huda
 
Tanpa dirancang Zaril telah berkenalan dengan Azarina, sepupu Arisa/Ayana juga anak tunggal Marina dengan suaminya Azhar, bekas tunang Maliah. Apabila hal ini disampaikan ke pengetahuan Marina, dia lalu menyerang Ayana dan memberi amaran bahawa dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan Zaril menjadi milik Azarina.

Sementara itu satu lagi pergolakan cinta sedang berlaku diantara Akif dengan Shareen. Dua keluarga elit korporat di Kuala Lumpur sudah sehati untuk menyatukan putera dan puteri mereka Akif dan Shareen. Namun tiba-tiba Shereen berubah hati. Akif kecewa dan merasa dikhianati lalu memutuskan berhijarah ke Kuwait.

Marina pula mencuba sedaya upaya untuk mempengaruhi Zaril supaya meninggalkan Ayana dan menerima Azarina. Hinggalah ditakdirkan suatu hari Ayana kemalangan dan menyebabkan kematiannya. Kesempatan itu digunakan Marina membuat keluarga Zaril memujuknya mengahwini Azarina.

Kematian Ayana membawa kesan yang mendalam kepada Arisa. Untuk membendung kedukaannya Arisa manjauhi orang-orang yang boleh membuat dia mengimbau kenangannya terhadap Ayana, termasuk Zaril. Walau dalam kedukaan Arisa perlu ke Kuala Lumpur untuk memulakan kerja sebagai penolong pentadbir Mutiara Sdn Bhd. Apatahlagi Arisa perlu membantu keluarganya terutama untuk membiayai pengajian Amal yang sedang menjalani kursus matrikulasi seterusnya belajar dibidang perubatan.

Di Kuala Lumpur Arisa berkongsi rumah sewa dengan teman seuniversitinya, Not dan Lily. Suatu hari ketika sedang menunggu bas untuk pulang itulah, Eddy Sham, bos Lily dan Not yang sangat kacak, telah terpandang Arisa dan amat tertarik dengan gadis itu. Semenjak itu Eddy mula mengejar Arisa. Namun Arisa sedikit pun tidak mahu melayani Eddy hingga akhirnya untuk menghentikan Eddy daripada terus mengganggunya Arisa telah berbohong mengatakan yang dia sudah bertunang. Apabila Eddy bertanya siapa tunangannya Arisa menyebut nama rekaan yang terlintas di benaknya – Akif Zamani.

Selama lebih seminggu Arisa tidak diganggu Eddy tetapi suatu hari pemuda itu muncul untuk memberitahu Arisa Akif Zamani bukan orang yang baik. Ini memeranjatkan Arisa kerana Akif Zamani cuma rekaannya sahaja. Lebih terperanjat lagi gadis ini apabila kawan-kawan di pejabatnya heboh mengatakan yang mereka akan mendapat bos baru bernama Akif Zamani, adik kepada Yusran.

Memburukkan keadaan, hari pertama bos barunya masuk Arisa datang lewat sedikit. Bermula hari itu Arisa menjadi mangsa dera bosnya, Akif. Arisa bukan sahaja dibentak-bentak malah disuruh melakukan kerja-kerja di pejabat yang bukan tugasnya. Arisa mahu berterus terang dengan Eddy tentang Akif Zamani, tetapi belum sempat dia berbuat begitu mereka semua terserempak serentak dan rahsia “pertunangan” Arisa terbongkar apabila Eddy membuka mulut tentang pertunangannya kepada Akif.

Hal ini memeranjatkan Akif dan dia terus membawa Arisa ke tempat sunyi serta meminta penjelasan. Akif tidak percaya dengan cerita Arisa dan memanggilnya perempuan tidak tahu malu, membuat wanita itu menamparnya. Arisa menyuarakan ingin berhenti kerja kepada ibunya tetapi atas nasihat ibunya dan kesedaran pada tanggungjawabnya terhadap keluarga dia melupakan hasratnya itu dan mencekalkan diri menghadapi kesengsaraan bekerja dengan Akif.

Shareen pula kini ingin kembali menjalin hubungan dengan Akif. Tetapi Akif pula tidak punya perasaan lagi terhadap gadis itu dan masih berkawan. Melalui Eddy Shareen mendapat tahu yang Akif sudah bertunang, tetapi Shareen masih belum tahu siapakah “tunangan” Akif itu.

Akif sebenarnya telah jatuh cinta dengan Arisa dan tanpa pengetahuan Arisa telah memberitahu keluarganya yang dia telah memilih gadis itu sebagai calon isterinya. Pilihannya direstui keluarga dan mereka ingin menjemputnya ke rumah. Di rumah Akif Arisa terkejut mendengar tujuan sebenarnya. Dia menjadi marah kerana diperlakukan sesuka hati oleh Akif yang menganggap isteri adalah satu jawatan kerja, lalu pulang ke rumah. Namun Akif yakin gadis itu juga mencintainya.

Arisa telah diberi cuti selama seminggu dan dia pulang ke kampung. Ketika di kampung itulah baru Arisa sedar perasaannya terhadap Akif. Dia pulang ke Kuala Lumpur dengan tujuan meluahkan perasaannya kepada Akif. Namun sikap Akif yang dingin ditambah dengan kemesraannya terhadap Shareen membuatkan Arisa merasakan dirinya telah dipermainkan.

Peristiwa cemburu Akif terhadap Arisa yang berhubungan baik dengan Eddy ini diikuti dengan babak penjelasan diantara kedua-dua insan bercinta ini dan buat kali keduanya Akif melamar Arisa dan Arisa menerimanya.

Hubungan Arisa dan Akif kini berjalan lancar, namun Shareen tetap berusaha menggoda Akif dan menyakiti hati Arisa sehingga menimbulkan kesangsian di hati Arisa tentang keikhlasan Akif. Akhirnya cerita Shareen kehilangan Akif di tangan Arisa sampai ke pengetahuan Marina. Wanita ini berjanji melakukan apa sahaja unuk memisahkan kedua kekasih ini meskipun mereka sudah sah bertunang.
 
Keadaan menjadi lebih rumit setelah Muhammad, ayah Arisa meninggal dunia. Maliah berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama Arisa, Not dan Lily. Azhar pula, selepas kematian Muhammad, sering menjengah Maliah dan Arisa yang membuatkan kebencian terhadap keluarga Maliah memuncak.

Sedang keluarga Akif dan Arisa merancang perkahwinan mereka keadaan digemparkan dengan penangkapan khalwat Akif dan Shareen di rumah Shareen.

Zaril yang menyangka Azarina turut bersekongkol dengan Marina memarahi isterinya itu sehingga Azarina yang sebenarnya tidak tahu apa-apa mula mengenang hidupnya yang dahagakan kasih sayang lantaran dikawal oleh ibunya yang pentingkan diri.

Azarina lalu meninggalkan rumah menuju ke rumah mak Longnya – Maliah, dan sepupunya Arisa. Di sini Azarina menemui hidup baru dan dirinya yang sebenar setelah diterima dengan kasih sayang oleh mak Longnya, Arisa, malah Not dan Lily juga. Zaril yang menerima nota isterinya dilanda rasa bersalah.

Manakala Arisa pula telah terlalu lama dengan permainan tarik talinya dengan Akif sehingga hampir memakan diri sendiri sebelum dia disedarkan untuk menghentikan tindakan bodohnya itu. Mereka akhirnya berbaik semula dan terus dengan rancangan perkahwinan mereka apabila Arisa tiba-tiba hilang selepas keluar dari rumahnya suatu malam untuk membeli makanan.

Selama dua bulan dia dicari namun tidak bertemu walaupun laporan polis telah dibuat. Kehilangan Arisa memberi kesan yang mendalam kepada Akif. Namun Akif masih cuba memberi kekuatan kepada Maliah dan Amal.

Arisa akhirnya berjaya ditemui tetapi dalam keadaan hilang ingatan. Jangan lupa janji temu anda menyaksikan kesudahan Dari Mata Arisa, setiap Isnin mulai 3 November 2008, jam 9.00 malam di RTM1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Birthday Suprise Party Hannah Tan

ALBUM TERBARU OMAR ALI DIA YANG SATU