in , ,

Drama Aliff Firdaus Lakonan Beego, Irma Hasmie, Jasmin Hamid, Kuza

TV3 MEMPERSEMBAHKAN SLOT TERBARU:
KESEDERHANAAN MENCERMINKAN
SUATU KESEMPURNAAN
 

Budiey BlogDi dalam kesibukan manusia mengejar kemewahan dan mengukir nama, tidak semua yang dahagakan populariti dan kekayaan. Malah ada yang lebih senang memilih corak kehidupan sederhana yang menjanjikan kebahagiaan. Menghiasi slot terbaru TV3, ZEHRA, ikuti perjalanan menyentuh hati “ALIFF FIRDAUS”, drama bersiri terbaru arahan Rashid Sibir yang akan mula disiarkan 11 Disember 2009, setiap hari Jumaat jam 9.00malam.

Slot Zehra yang menghiasi slot perdana malam Jumaat membuka tirai dengan kemunculan drama Embun Mutiara diikuti Nur Kasih, drama yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Malaysia bermula Jun lalu sehingga berjaya mencipta suatu fenomena luar biasa dengan catatan rating mencecah 5 juta penonton di episod akhir yang disiarkan malam Raya Haji lalu.

Untuk tidak menghampakan jutaan para penonton yang gemarkan jalan cerita yang menarik, TV3 mempersembahkan drama bersiri terbaru “ALIFF FIRDAUS” membariskan pelakon popular dan berbakat seperti Beego (Aliff), Nasir Bilal Khan (Haji Madi), Fadhilah Mansor (Hajah Mina), Irma Hasmie (Dira),  Zed Zaidi, Fezrol Khan, Jasmin Hamid, Maria Farida, Kuza, Rahim Jailani, Khatijah Tan dan ramai lagi.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Pn Nurul Aini Abu Bakar, “TV3 amat bersyukur dengan sambutan baik yang diterima sebelum ini. Kejayaan Nur Kasih telah menyuntik semangat dan lebih menyakinkan TV3 dalam usaha mewujudkan sebuah slot baru, iaitu ZEHRA untuk drama-drama bersiri yang bersiaran pada malam Jumaat.”

“Berbeza dengan pelbagai slot drama di TV3, ZEHRA menekankan nilai kekeluargaan, taat kepada ibu bapa, kasih sayang antara adik-beradik dan juga cinta sejati. ZEHRA juga menyerapkan nilai-nilai keislaman dan menggalakkan amalan hidup secara harmoni. Kisah cinta turut menjadi elemen yang amat penting untuk melengkapkan sesebuah drama bagi menarik minat tontonan seisi keluarga.” Tambah beliau.

Drama 26-episod arahan Rashid Sibir berkisar tentang Aliff Firdaus yang mahu mengikut jejak ayahnya, Haji Madi yang lebih selesa hidup di kampung, berkerja di sawah, menternak kambing dan menjadi seorang Imam. Ibunya, Hajah Mina pula mengambil upah menjual kuih-muih yang dibuat sendiri. Aliff ialah adik bongsu daripada lima adik-beradik di mana kesemuanya merupakan graduan universiti dan berjaya di dalam kerjaya masing-masing.

Irma Hasmie & Beego

Along ialah penjual kereta yang berjaya, manakala Angah pula dikenali sebagai usahawan kedai perabot diikuti oleh Andak yang menjadi pensyarah muda dan Acik pula menempa nama di dalam bidang hartanah. Walaupun hidup senang-lenang di bandar di kelilingi kemewahan, namun, masing-masing bergolak dengan masalah sendiri dan jiwa mereka tidak pernah tenteram.

Aliff jatuh cinta dengan Dira, seorang gadis bandar yang berpindah ke kampung bersama ibunya, Mak Suraya dan menetap di rumah arwah neneknya. Dira membuka sebuah tadika dan mereka mula rapat. Aliff tidak mahu menyambung pelajaran di kolej ataupun universiti meskipun mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Aliff dipaksa oleh Along untuk belajar di kolej atas tanggungannya. Aliff enggan tetapi Haji Madi mahu Aliff mendengar nasihat abangnya selepas memikirkan masa depannya. Dira juga sanggup melepaskannya. Aliff kecil hati dengan orang-orang yang disayanginya dan pergi ke Kuala Lumpur dengan hati yang luka.

Adakah Aliff akan hanyut mengikut arus kehidupan di kota nanti? Mampukah Aliff membezakan diantara kesederhanaan hidup dan kemewahan duniawi  demi mengecapi kebahagiaan hidup yang dicarinya selama ini? Jangan lupa saksikan kisah menyentuh hati ‘Aliff Firdaus’ di slot ZEHRA, setiap hari Jumaat  jam 9.00 malam TV3 mulai 11 Disember 2009.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Senja Permai Lakonan Ainul Aishah, Erin Ezzryn

Pelancaran Album Kompilasi Radio Rosak 2009