in ,

Drama 3 Neng Anita Baharom, Atie & Watie Sadali

3 Neng: Kongsi Kisah Tiga Orang Pembantu Rumah di TV1

Siapa kata peranan seorang pembantu rumah itu hanya mengemas rumah, memasak, mencuci pakaian dan menjaga anak majikan? Sebaliknya mereka juga memainkan peranan besar menjaga kebajikan rumah ketika ketiadaan majikan mereka di rumah. Hakikatnya lumrah dunia kerana ada yang memegang amanah dan sebaliknya ada pula yang lupa diri semata-mata mahu mengaut keuntungan sekelip mata.

Gelagat tiga orang pembantu rumah yang mencuit hati bermati-matian mahu menyelamatkan rumah majikan masing-masing daripada cubaan merompak mewarnai plot drama menarik disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk 3 Neng pada 5 Jun 2011 (Ahad), jam 10.00 pagi mengisi slot Panggung Ahad di TV1.

Dijayakan watak-watak utamanya oleh Anita Baharom, Suriati Abu Bakar dan Watie Sadali selain dibantu oleh Lan Kashuary dan Ramasundram, drama 3 Neng mengisahkan tiga orang gaji dari Indonesia yang bekerja dengan tiga buah keluarga yang berbeza.

Neng Eton bekerja dengan keluarga Harun yang tinggal bersama isterinya Halimah dan dua anak mereka, Hanif dan Hasnita. Neng yang kedua Neng Ani pula bekerja dengan pasangan berbangsa India yang baru mendirikan rumahtangga, Anbalagan dan Renu. Manakala Neng yang ketiga pula ialah Neng Embik yang bekerja dengan seorang ibu tunggal berbangsa Cina, Puan Margerat bersama seorang anak perempuannya Mel yang berusia tiga tahun.

Ketiga-tiga Neng ini memiliki ragam dan karenah yang tersendiri yang sering menimbulkan kemarahan terhadap majikan masing-masing.

Suatu hari ketiga-tiga keluarga majikan tiga Neng ini keluar bercuti. Acong dan Ari merupakan satu kumpulan perompak yang tidak sengaja telah mengetahui rancangan percutian keluarga ini.

Mereka telah merancang untuk merompak rumah keluarga Harun. Disinilah bermula misi tiga Neng ini untuk menyelamatkan rumah majikan mereka daripada dirompak. Mereka merancang pelbagai taktik perangkap untuk mengenakan Ari dan Acong.

Namun adakah cubaan mereka menggagalkan rompakan itu berjaya? Kesudahannya bakal diketahui apabila anda meluangkan masa menyaksikan drama 3 Neng pada 5 Jun 2011 (Ahad), jam 10.00 pagi di TV1.

3 Neng

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Kenny G di Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur

Profile Alvin Tay