in , ,

Dengar Muhyiddin Akan Letak Jawatan Esok, Najib Tampil Bagi Satu Nasihat

Pada hari ini, dunia politik tempatan telah digemparkan dengan berita mengenai Muhyiddin akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri esok. Ia berikutan dakwaan yang beliau kini sudah tidak mempunyai bilangan majoriti yang cukup di parlimen untuk terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Ketika mengesahkan tindakan itu, beliau berkata keputusan diambil Perdana Menteri itu adalah di antara perkara dibincangkan ketika mesyuarat Ahli Parlimen daripada BERSATU dengan Muhyiddin di Publika, di sini, hari ini.

“Ya benar, peletakan jawatan… esok,”

Beliau ditanya sama ada Muhyiddin akan menawarkan peletakan jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, esok.

Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata hasrat Muhyiddin untum meletakkan jawatan itu adalah jalan terakhir diambil berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita bertanggungjawab dengan keadaan yang berlaku hari ini. Kita sudah usaha yang terbaik untuk memastikan pengurusan COVID-19 berjalan dengan baik dalam pergolakan politik yang melanda.

“Kita sudah sampai ke tahap tidak boleh buat apa-apa pun… yang terakhir ialah strategi bipartisan, namun tidak disambut. Jadi kita kena letak jawatan… kita sudah usaha yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, mesyuarat di Publika pagi tadi adalah antara Muhyiddin dengan Ahli Parlimen daripada BERSATU dan mereka yang menyokong Perikatan Nasional (PN).

Najib: Bukan Aneh Negara Tukar Pemimpin Ketika Pandemik

Bukanlah seuatu hal yang luar biasa untuk seorang pemimpin negara meletakkan jawatan pada masa pandemik setelah hilang keyakinan rakyat dan sokongan ahli parlimen, kata Najib Razak.

Menurut bekas perdana menteri itu tidak timbul isu berperikemanusiaan atau tidak peduli keadaan rakyat.

Apa yang menjadi dasar kepada keadaan sekarang, katanya, ialah perlunya mengubah pendekatan setelah banyak kali menemui kegagalan dan ia harus dibuat demi kebaikan rakyat.

“Negara-negara tak seteruk itu tapi pemimpin dunia turut mengambil tanggungjawab kegagalan dengan meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada orang baru,” kata Najib di Facebooknya.

Ahli parlimen Pekan itu juga menyenaraikan nama pemimpin dunia yang meletakkan jawatan setelah dikatakan gagal mengawal Covid-19 dan ekonomi.

Antaranya bekas perdana menteri Itali Giuseppe Conte, bekas perdana menteri Slovak Igor Matovic, bekas perdana menteri Mongolia Khurelsukh Ukhnaa dan bekas perdana menteri Sweden Stefan Lofven.

“Beza negara-negara itu dengan Malaysia ialah pemimpin mereka mengaku gagal (walaupun prestasi tak seteruk Malaysia) dan bersedia mengambil tanggungjawab sebab ia melibatkan nyawa manusia dan kelangsungan hidup rakyat.

“Tak ada pun mereka keluar kaca televisyen untuk sogok dan meminta nyawa secara live atau pun tuduh tanpa bukti bahawa mereka yang tak sokong dia adalah kluster mahkamah,” kata Najib lagi.

Sudah Diingatkan Berkali-Kali

Kenyataan itu hadir di kala Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong esok, hanya beberapa hari selepas dia menegaskan untuk tidak akan berundur atas alasan tiada ahli parlimen lain yang dapat membuktikan mereka mendapat majoriti mencukupi di parlimen.

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung pada 13 Ogos lalu, Muhyiddin menghulurkan jalan damai buat pembangkang luar daripada PN dengan membuat pelbagai tawaran menarik.

Ia bagi membolehkan dia melepasi ujian undi percaya yang dijadualkan berlaku di Dewan Rakyat pada Sept nanti.

Bagaimanapun, tawaran itu ditolak oleh parti pembangkang.

Dalam hantarannya, Najib menyenaraikan situasi Covid-19 yang memburuk 12 kali ganda setelah darurat dilaksanakan selama tujuh bulan, serta kes yang semakin tinggi meskipun dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, yang dakwanya, Malaysia menjadi negara paling lama mengenakan perintah sebegitu.

Najib juga menyebut Malaysia kini menjadi negara tertinggi mencatatkan kes baru dan kematian Covid-19, selain menjadi pasaran saham tercorot di Asia Pasifik serta kedua tercorot di dunia.

Unjuran pertumbuhan ekonomi pula, katanya, perlu dipotong lebih separuh.

Semua itu berlaku, kata Najib, kerana “kesilapan dan kesalahan dasar amat besar” meskipun sudah diingatkan berulang-ulang kali mengenainya.

“AS dan Jepun juga telah menukar presiden dan perdana menteri semasa pandemik. Tak (nampak pun) negara-negara di atas dijahanamkan sebab pemimpin tukar.

“[…] Yang mungkin bertukar cuma dasar-dasar gagal kerajaan,” katanya lagi.

Muhyiddin Yassin Bakal Persembahkan Surat Peletakan Jawatan Esok?

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempersembahkan peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari Isnin, 16 Ogos, menurut laporan MalaysiaKini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof mengatakan bahawa Muhyiddin menyampaikan hasratnya semasa pertemuan peringkat tinggi dengan pemimpin Bersatu.

“Kami baru saja selesai mesyuarat. Esok, akan ada mesyuarat khas Kabinet. Selepas itu, dia akan menuju ke Istana Negara untuk mengundurkan diri,” kata Malaysiakini memetik Redzuan.

Menurut Redzuan, presiden Bersatu, yang kehilangan majoriti di parlimen mengatakan bahawa dia sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan keadaan dan kedudukan kerajaan namun ikhtiarnya itu tidak membuahkan hasil.

Sekiranya peletakan jawatannya diterima, Muhyiddin akan menjadi perdana menteri yang paling pendek tempoh pemerintahan iaitu 15 bulan. Sebelum ini rekod itu dipegang oleh Tun Mahathir yang memimpin kerajaan PH selama 22 bulan sebelum dia meletak jawatan pada 23 Feb tahun lalu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Shuib Mohon Padam Foto & Video Isteri Tak Tutup Aurat

Lazada Umumkan Bintang Hallyu, Hyun Bin Sebagai Duta Jenama Serantau Pertama LazMall