in

Selebriti Popular Jayakan Program Khas Rai Deepavali 2018

Kehangatan pesta cahaya semakin terasa. Tahun ini Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali memeriahkan sambutan Deepavali yang disambut di seluruh negara pada 6 November ini dengan tayangan konsert dan filem terbaik yang dipilih khas untuk menghiburkan penonton setia saluran TV2.

Menampilkan gandingan pengacara pelakon cantik Raja Ilya dan juruhebah MINNALfm, DJ Hari, saksikan muzikal “Amarkala Deepavali 2018” pada 5 November ini, pukul 9.30 malam.

Program terbitan Unit Hiburan TV RTM ini yang dirakamkan pada 13 Oktober lalu bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri ini mengetengahkan artis hebat termasuklah Santesh, Viveck Ji & Nithian, Mathanakumar, Thanner Narayanan, Shamini, Roshini Balachandran, Naarayanai Balasubramaniam, Shahtan Kurup, Reena Nicky, Caca, Sathia dan Angeline Tan.

POSTER AMARKALA DEEPAVALI 2018

Program Khas Rai Deepavali 2018 di TV2

Melengkapkan sambutan perayaan ini tayangan empat filem pelbagai genre tontonan khas seisi keluarga bermula dengan filem “Soodhu Kavvum” pada 6 November ini, pukul 2.00 petang diikuti hari sama sebelah malamnya filem “Theri”, pukul 9.30 malam. Esoknya, 7 November ini, pukul 9.30 malam siaran filem “Tanu Weds Manu Returns” dan filem “Estet” pada 10 November ini, pukul 10.30 malam.

Bergelak ketawa dengan filem komedi “Soodhu Kavvum” mengangkat kisah tentang empat orang lelaki yang menjalankan aktiviti penculikan secara kecil-kecilan. Mereka kemudiannya memutuskan untuk menculik anak seorang wakil rakyat tetapi didapati anaknya sendiri bersubahat dengan mereka untuk menuntut wang tebusan. Filem ini lakonan Yog Japee, Bobby Simha, Vijay Sethupathi, Karunakaran dan Sanchita Shetty.

Dalam filem aksi Tamil bertajuk “Theri” yang dibintangi oleh Vijay, Samantha Ruth Prabhu dan Amy Jackson, ia mengisahkan tentang watak Vijay, ketua polis daerah yang sangat berdedikasi dalam kerjayanya. Beliau menjalankan tugas dengan penuh amanah walaupun terpaksa menyelesaikan kes-kes jenayah berat yang sentiasa menguji kesabarannya.

filem Tanu weds manu returns lakonan Kangana Ranaut

Santai menyaksikan filem “Tanu Weds Manu Returns” berkaitan usaha seorang wanita untuk berbaik semula dengan bekas suaminya apabila mendapat berita bahawa beliau sedang berhasrat untuk berkahwin semula. Menjelang hari perkahwinan itu, suaminya insaf bahawa dia masih mencintai bekas isterinya dan mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan perkahwinannya dan berbaik semula dengan bekas isterinya. Namun adakah bekas isterinya sedia menerimanya semula? Filem ini lakonan Kangana Ranaut, Deepak Dobriyal, Eijaz Khan, R.Mashavan dan Jimmy Shergill.

filem estet

Diakhir dengan kisah kehidupan di estet Cintamanis di mana pasukan bola sepak mereka menjadi taruhan kepada kerani estet yang jahat. Mereka gigih berlatih dan terpaksa menentang konco-konco kerani estet demi untuk memastikan kemenangan pasukan mereka yang menentang pasukan dari estet sebelah yang bersekongkol dengan kerani estet. Akhirnya selepas semua halangan dapat diatasi, mereka menang dan pihak yang jahat dapat ditumpaskan. Plot cerita ini boleh diikuti dalam filem “Estet” arahan Mamat Khalid lakonan Sashi Tharan, Farid Kamil, K. S. Maniam, Jasmine Michael dan Kamarul Hj. Yusoff.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Pertama Sabyan Gambus di Malaysia

AirAsia Offer Tiket PERCUMA dari Ipoh – Singapura