in

Celcom & Universiti Kebangsaan Malaysia Jalin Kerjasama

Celcom & Universiti Kebangsaan Malaysia Jalin Kerjasama Untuk Memperkasa Tasik Chini

Celcom Axiata Berhad telah memanjangkan lagi agenda kemampanannya ke Tasik Chini dan komunitinya dalam sebuah kerjasama yang dijalinkan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam sebuah perjanjian yang dimeterai dengan universiti tersebut semalam, Celcom menyatakan komitmennya dalam memperkasa komuniti Tasik Chini, khususnya Orang Asli dengan perhubungan digital dan e-dagang, di samping memelihara alam sekitar.

Untitled

Syarikat telekomunikasi tersebut melancarkan pusat internet Sri Gumum Cyber Cube, untuk memberi akses internet kepada masyarakat setempat dan Orang Asli. Kemudahan tersebut juga bertujuan bagi menyediakan latihan, perkongsian ilmu, dan tempat untuk Orang Asli menceburi e-dagang.

Komuniti Orang Asli kini boleh memasarkan produk mereka secara digital melalui platform atas talian yang disediakan oleh Celcom. Diletakkan dalm katalog ‘Pribumi Mall’, kini produk mereka boleh dibeli melalui ‘DesalMall’, portal jualan atas talian yang dibangunkan oleh Celcom dalam 11Street tahun lepas. Portal tersebut dikhususkan bagi mendorong dan membantu usahawan luar bandar melalui akses kepada ruang pemasaran maya.

Dalam menjalankan peranannya kepada alam sekitar, Celcom juga akan menanam semula 1, 000 pokok di kawasan Tasik Chini, yang mana ia akan menggunakan kod QR untuk membolehkan pertumbuhan pokok yang baru ditanam direkodkan secara digital. Inisiatif ini merupakan sumbangan Celcom dalam membantu Tasik Chini mengekalkan statusnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO yang diberikan pada tahun 2009.

Inisiatif digital Celcom telah dirasmikan oleh YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Penyelidikan Tasik Chini UKM, Pahang. Beliau juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara Celcom dan UKM, bagi memeterai penglibatan Celcom dalam program kelestarian Tasik Chini.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Zuraida Jamaluddin, Ketua Pegawai Korporat Celcom Axiata Berhad, Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohammad bin Kassim, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Prof. Dr. Mushrifah Idris, Ketua Penyelidikan Tasik Chini, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Untitled

Mohamad Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad berkata bahawa Celcom amat berbesar hati dengan peluang menjangkau komuniti Tasik Chini melalui usahasama dengan UKM, memandangkan ia merupakan sebuah platform yang signifikan dalam pelaksanaan agenda kemampanannya.

“Celcom berbangga menjadi organisasi yang merapatkan jurang digital di antara komuniti luar bandar serta membuka peluang tanpa batas kepada Orang Asli, untuk membolehkan mereka memperbaiki kehidupan dan status ekonomi.

“Dalam masa yang sama, kami teruja untuk turut memainkan peranan kami dalam pemeliharaan alam sekitar, serta membawa program kemampanan kami ke peringkat lebih jauh dengan membantu Tasik Chini mengekalkan pengiktirafan antarabangsanya sebagai sebuah rizab biosfera,” tambah beliau.

Sementara itu, Prof Dr Mohd Ekhwan berkata kerjasama di antara UKM dan Celcom merupakan perkongsian pintar antara institusi akademik dan swasta, dengan matlamat bersama dalam menyediakan perkhidmatan dengan pelbagai faedah.

“Ia merupakan kerjasama yang unik dan begitu penting kerana ia mencakupi pelbagai bidang, dan boleh diperkembangkan lagi untuk merangkumi penyelidikan, kajian kes, konsultasi, pengkomersialan, dan latihan bagi akademik dan pelajar.

“Kami percaya bahawa pemeliharaan alam semulajadi adalah aktiviti yang perlu dijalankan bersama oleh pelbagai sektor. UKM yakin bahawa sumbangan Celcom akan membawa inisiatif melestarikan Tasik Chini ini ke peringkat yang lebih tinggi, dan memberi faedah kepada semua dalam jangka masa yang panjang,” menurut beliau.

Terlebih dahulu Celcom telah menjalankan inisiatif lain termasuk penambahbaikan liputan 4G LTE di kawasan Tasik Chini, menyediakan hubungan internet bagi Makmal Eko Hidrologi dan Klimatologi UKM serta membolehkan kutipan data secara waktu sebenar (Real-time) di Pusat Pengawasan Tasik Chini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jenazah Saleem Selamat Dikebumikan

Mariah Carey Tiba di Kuala Lumpur Untuk Konsert 2018