in ,

Jenazah Saleem Selamat Dikebumikan

Jenazah penyanyi Saleem atau nama sebenarnya, A.M. Salim Abdul Majeed, selamat dikebumikan pada pukul 2.15 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras di sini.

Allahyarham Saleem meninggal dunia kira-kira pukul 6 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dan disolatkan di Surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras.

Saleem

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran keluarga, saudara mara, kenalan serta rakan artis bagi memberi penghormatan terakhir kepada Saleem.

Isterinya, Juriah Bachok merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang hadir membantu beliau sekeluarga.

“Saya reda dengan pemergiannya. Dia (Saleem) seorang yang baik serta tidak pernah kacau orang lain,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan.

“Dia juga tidak mahu tunjuk dia sakit, memang lepas kemalangan dia tidak boleh bercakap banyak tetapi dia sentiasa positif,” jelas Juriah.

Saleem

Saleem, 57, yang popular dengan lagu ‘Suci Dalam Debu’ bersama kumpulan Iklim, dimasukkan ke hospital akibat kemalangan jalan raya pada 20 September lepas yang antara lain menyebabkan kecederaan pada tulang rusuk.

Anaknya, Syafiq Farhain pula berharap karya bapanya akan terus segar di persada industri muzik tanah air.

“Terima kasih kepada semua pihak yang hadir hari ini,” katanya.

Saleem yang menghembuskan nafas terakhir jam 6.30 pagi tadi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, kira-kira jam 2 petang tadi.

Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata hasil perkahwinan pertama iaitu Nurluqman Hakim, 30; Nurul Hidayah, 28; Nurfahmie Jufrie, 26; Nur Syafiq Farhain, 24; dan NurulAzwanie Shuhada, 18; serta Mohd Amirul Mukmin, 15, hasil perkahwinan bersama Julia Bachok.

Sumber:- Bernama

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Pesanan Terakhir Saleem Buat Syafiq Farhain

Celcom & Universiti Kebangsaan Malaysia Jalin Kerjasama