in , ,

Budi, Kolaborasi Unik Kmy Kmo & Luca Sickta Bersama Sufian Suhaimi

Siapa yang tidak boleh lupa beberapa karya hebat ciptaan duo penyanyi dan rapper, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Malah, mereka juga berjaya berkolaborasi bersama beberapa penyanyi terkenal tanah air. Antaranya bersama Dato’ M. Nasir menerusi lagu Zuhud; Dato’ Sri Siti Nurhaliza (7 Nasihat); Dato’ Jamal Abdillah (Neraca); dan Hazama (Makuta).

Lebih membanggakan Kmy Kmo dan Luca Sickta adalah, kesemua karya itu diterima baik pendengar sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Terbaharu, Kmy Kmo dan Luca Sickta menghadiahkan peminat dengan buah tangan iaitu lagu bergenre tradisional berjudul Budi kolaborasi bersama penyanyi, Sufian Suhaimi.

Kmy Kmo berkata, penulisan lagu Budi banyak diambil daripada celoteh seloka.

“Lagu ini berentak tradisional dan ada unsur lawak. Jadi, kami kena pakai cara penulisan seloka. Saya ambil sedikit sebanyak contoh daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri S M Salim, Dato’ M Nasir, Allahyarham Pak Ngah. Daripada situlah saya dapat idea penulisan lagu Budi ini,” katanya.

Menurut Kmy Kmo, pemilihan Sufian Suhaimi dibuat kerana mereka suka bereksperimen dengan muzik berlainan daripada karakter asal penyanyi itu.

“Macam sebelum ini kami bekerjasama dengan Dato’ M Nasir dan Dato’ Jamal Abdillah yang mana masukkan muzik hip hop dalam nyanyian mereka. Dan kali ini, macam kita semua tahu, Sufian Suhaimi ialah penyanyi berentak balada yang ke arah ’emotional’.

“Apa yang saya dan Luca rancang adalah kami tukar muzik Sufian Suhaimi agar peminat dan pencinta muzik tanah air ini boleh tengok dari sudut berbeza Sufian Suhaimi.

“Sebenarnya kami dah berkawan, jadi dia pun pendengar lagu rap juga. Dalam masa sama, dia pun ada ilmu dan skil nyanyian lagu berentak tradisional. Sebab itulah kami bawa dia masuk supaya kita boleh buat Sufian Suhaimi yang jarang orang dengar dan tengok,” katanya.

Budi, Kolaborasi Unik Kmy Kmo Dan Luca Sickta Bersama Sufian Suhaimi

Sementara itu, Luca Sickta berkata, kelainan untuk lagu Budi hasil kerjasama Def Jam Recordings Malaysia dan Rusa Musicini apabila komposisi melodi bahagian korus dihasilkan oleh dirinya.

“Proses mengahasilkan lagu ini lancar. Kalau sebelum ini Sufian Suhaimi memang banyak nyanyikan lagu sedih, tapi kali ini lagu ‘happy’. Jadi, ada kejadian kelakar ketika proses rakaman di mana saya paksa dia menyanyi sambil senyum untuk mendapatkan ‘mood’ lagu. Jadi, sepanjang rakaman dia senyum saja,” katanya.

Berkongsi mengenai video muzik (MV) lagu Budi, Luca Sickta berkata mereka memilih konsep ‘old school’.

“Dalam MV ini Kami sengaja memilih konsep dulu-dulu atau ala Seniman Bujang Lapok dan Nujum Pak Belalang. Hasilnya seperti yang ditonton pada MV.

“Saya berharap, semua peminat boleh ‘enjoy the music’ dan ambil iktibar daripada lagu ini. Bukan saja berhibur, tapi cuba menghayati mesej dan pengajaran disampaikan menerusi lirik,” katanya.

Sementara itu, Sufian Suhaimi, 31, menyifatkan lagu Budi adalah unik dan mempunyai kelebihan tersendiri.

“Saya berasakan lagu Budi ini adalah unik dan istimewa sebab ia ada elemen tradisional walaupun perkembangan industri muzik ketika ini lebih kepada genre hip hop. Jadi, ia bagus untuk generasi muda mengenal asal usul muzik Malaysia,” katanya.

Budi, Kolaborasi Unik Kmy Kmo Dan Luca Sickta Bersama Sufian Suhaimi

Menurut Sufian Suhaimi, dia berasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan duo rapper itu.

“Sebenarnya saya sudah mengikuti Kmy Kmo dan Luca Sickta ini dari dulu lagi dan memang ada banyak permintaan untuk saya bergandingan dengan mereka.

“Jadi, saya sangat teruja untuk berkolaborasi dengan penyanyi dan rapper yang saya minat dan satu keunikan juga apabila berpeluang menjayakan projek dengan Luca Sickta kerana ada yang mengatakan wajah kami ada iras,” katanya.

Sufian Suhaimi berharap lagu Budi yang sudah dilancarkan sejak beberapa minggu lalu itu terus mendapat sokongan peminat dan pencinta muzik tanah air.

“Pengalaman bekerjasama dengan mereka ini sangat seronok, kami memang dah kenal sebelum ini, cuma masih belum ada kerjasama dari segi kerjaya. Mereka ini nampak sahaja serius tapi kelakar, bekerja dengan mereka juga sangat senang dan profesional.

“Saya harap lagu Budi dapat diterima oleh peminat muzik di Malaysia dan layak mara ke pentas muzik yang berprestij,” katanya.

Lagu ini juga telah berjaya menduduki Carta Era 40 di tangga ke-19 dan Carta Suria Top 40 di tangga ke-13. Manakala muzik videonya menduduki tangga ke-16 di YouTube Music Trending.

Lagu Budi sudah boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 25 November 2022. Video muzik lagu Budi yang ditayangkan di saluran YouTube Rusa Music sudah mencecah 1 juta tontonan sejak dimuat naik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yovie Widianto Bersama Lyodra, Tiara Andini & Ziva Magnolya Dalam MENYESAL

AISHA AZIZ

Jarak Berjaya ‘Menyatukan’ Dua Bintang, Aisha Retno & Aziz Harun