in , ,

Jarak Berjaya ‘Menyatukan’ Dua Bintang, Aisha Retno & Aziz Harun 

Dua bintang yang berbakat besar ini sedia berdepan sebarang gosip cinta susulan keserasian dalam JARAK!

Siapa sangka perkenalan yang bermula sekitar tahun 2019 di antara penyanyi Aziz Harun dan Aisha Retno akhirnya ‘menjentik’ hati mereka untuk bersatu dalam single duet berjudul JARAK yang dilancarkan pada 24 Februari 2023 ini. 

Paduan suara oleh dua penyanyi muda berbakat besar ini adalah hasil kerjasama dua syarikat rakaman terkenal tanah air, Sony Music Malaysia dan Faithful Music. 

Jarak Berjaya ‘Menyatukan’ Dua Bintang, Aisha Retno & Aziz Harun

Lebih menarik, JARAK bakal dimuatkan dalam album pertama Aziz bertajuk “Yang Benar” yang dijangka dilancarkan pada Mac 2023. 

Aziz berkata, dia berasa teruja apabila berpeluang berduet dengan Aisha dan tidak menyangka apabila kolaborasi yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka berubah menjadi sebuah karya yang serius. 

“Saya memang peminat Aisha daripada dulu lagi. Saya selalu memberikan komen setiap kali dia memuat naik lagu nyanyiannya di media sosial, tapi kami tidak berkesempatan untuk bertentang mata sebelum ini. 

“Namun pada awal tahun lalu, ketika Aisha menyertai program realiti TV, Big Stage musim keempat, dia ada menghubungi untuk bertanyakan mengenai idea lagu baharu yang ditulis selain ingin bertanyakan mengenai pembabitannya dalam program realiti nyanyian itu. 

“Ketika itu, saya masih berada di Brunei manakala Aisha di Malaysia. Jadi Aisha pun hantar rakaman suaranya beserta melodi lagu JARAK. Ketika mendengarnya saya terus jatuh cinta sebab lagu ini ada sentuhan dan ‘vibes’ dari Indonesia. 

“Kami akhirnya bertemu pada pertengahan tahun lalu dan berpeluang menyanyi secara langsung bersama-sama. Saya rasa gembira dan teruja apabila syarikat rakaman turut memberi kepercayaan kepada kami  untuk menghasilkan lagu baru ini dengan Aisha,”katanya. 

Tambah Aziz, dia dan Aisha tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mencipta keserasian, malah proses rakaman hanya mengambil masa selama satu hari sahaja. 

“Proses rakaman bersama penerbit Glowrush berjalan dengan mudah dan lancar sebab saya dengan Aisha bersepakat untuk tidak terlalu bereksperimentasi untuk menghasilkan lagu ini.

“Lagipun kami nak simpan magis lagu ini pada setiap persembahan yang bakal kami bawakan secara langsung sambil diiringi petikan gitar. Kami juga bertuah apabila diberi rezeki untuk bekerja dengan Glowrush yang cukup dikenali sebagai penerbit yang berbakat besar. 

“Glowrush handal bermain piano, jadi sebelum proses rakaman bermula, kami bertiga seperti mengadakan konsert mini di studio apabila menyanyikan beberapa buah lagu terlebih dahulu bagi mencipta keserasian dan memudahkan proses rakaman,”katanya. 

Jarak Berjaya ‘Menyatukan’ Dua Bintang, Aisha Retno & Aziz Harun

Keserasian yang ditampilkan menerusi lagu JARAK turut diakui oleh Aisha apabila dia tidak berasa kekok berdepan dengan penyanyi yang cukup dikagumi ramai. 

“Kami sudah lebih tiga tahun berkawan baik. Dia antara penyanyi terawal yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat ketika saya memilih untuk masuk dalam industri muzik. 

“Aziz banyak memberikan tunjuk ajar mengenai selok-belok dunia hiburan. Alhamdulillah kami tak berdepan sebarang cabaran besar ketika proses rakaman, sebaliknya segala proses berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. 

“Kami ibarat sedang lepak di kedai mamak dan saling bertukar idea untuk mencantikkan lagu ini. Keserasian antara kami itu sudah lama terbina dan kami pun sudah kenal perangai masing-masing,”katanya. 

Jarak Berjaya ‘Menyatukan’ Dua Bintang, Aisha Retno & Aziz Harun

Bagi Aisha, dia sangat bersyukur dan bangga dengan kerjasama kerjasama bersama Aziz menerusi lagu JARAK merupakan  lagu duet pertama beliau  sepanjang berada dalam muzik industri. 

“Saya amat teruja berpeluang bekerjasama dengan penyanyi yang cukup terkenal dalam bidang seni suara di Malaysia dan Brunei. Malah saya selalu mendengar lagu-lagu yang dibawakan. 

“Malah lagu nyanyiannya selalu memberi saya idea dan inspirasi untuk menulis lagu baharu. Apabila diberikan peluang untuk bekerjasama saya sangat teruja,”katanya. 

Tambah Aisha, ketika proses rakaman berlangsung, dia berdepan satu cabaran kecil apabila mengalami masalah kesihatan namun semuanya dapat dikawal dengan baik. 

“Sehari sebelum proses rakaman dijalankan kami terlebih dahulu merakam demo selain mengenali dengan lebih rapat dengan Glowrush. 

“Namun pada keesokan harinya saya tiba-tiba apabila Aisha sakit tekak. Namun Aziz dan Glowrush sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyakinkan saya mampu menyiapkan lagu ini,” katanya proses rakaman dilakukan sekitar Jun tahun lalu. 

Ditanya mengenai sejauh mana pasangan ini bersedia untuk berdepan gosip cinta selepas kejayaan gandingan mantap ini, mereka  berkata, sentiasa bersikap terbuka dan menerima teguran secara positif.  

“Kami  bersedia untuk menghadapi apa saja yang akan datang dan menerima perkara itu secara profesional  sebagai salah satu motivasi kerjaya kami. 

“Lagipun peminat sekarang sangat suportif dan tidak akan berlaku komen yang tak baik memandangkan ia hanya sekadar gosip. Rasanya mereka okey dan santai. 

“Cuma saya harap kerjasama ini tidak terhenti di sini saja, sebaliknya akan ada projek untuk kami berdua berkolaborasi selepas ini,” katanya.

JARAK sudah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music manakala muzik video boleh ditonton di YouTube bermula 24 Februari ini. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Budi, Kolaborasi Unik Kmy Kmo & Luca Sickta Bersama Sufian Suhaimi

Pecah Rekod! Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Sold Out Dalam Masa 24 Jam