in ,

Bapa Amylea Azizan Meninggal Dunia Selepas Dua Minggu Dirawat di IJN

Bapa penyanyi Amylea Azizan iaitu Allahyarham Azizan Zainal Abidin, 62, menghembuskan nafas akibat penyakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, petang ini.

Pemergian arwah bapanya selepas beberapa hari berada dalam keadaan kritikal dikongsi penyanyi berusia 31 tahun itu menerusi laman sosial, Instagram (IG), sebentar tadi.

“Assalamualaikum, ayah yang dicintai dan dikasihi sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Mohon sedekahkan doa buat Allahyarham Azizan Zainal Abidin.

“Dia adalah seorang suami dan ayah sangat baik serta bertanggungjawab. Sama-sama kita mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.

Biarpun berat menerima hakikat kehilangan, Amylea akur pemergian orang tuanya itu.

“Tiada sakit yang lebih menyakitkan selain kehilangan ayah atau ibu. Allah sahaja yang tahu dugaan demi dugaan dilalui.

“Arwah adalah kurniaan Allah yang dipinjamkan kepada saya sekeluarga. Saya sangat bersyukur diberikan bapa yang hebat.

“Terima kasih Allah atas pinjam ini. Terima kasih menjadikan saya anaknya. Saya sangat berbangga dengannya.

“Saya sangat sayangkannya. Terlalu banyak budi belum saya balas. Saya berharap kami akan kembali disatukan di alam akhirat nanti,” tulisnya.

Justeru, Amylea memohon orang ramai mendoakan arwah bapa dan maafkan atas segala kesalahan yang dilakukan.

“Doakanlah dia… Saya merayu sedekahkan doa buatnya. Arwah, seorang yang baik hati.

“Ampunkan salah silap, halalkan makan minumnya. Sekiranya ada hutang yang saya tidak tahu, tolong khabarkan pada saya,” katanya.

Terdahulu, arwah dimasukkan ke IJN sejak 30 Julai lalu.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Kendati memaklumkan, keadaan arwah tenat dan mereka hanya boleh berhubung menerusi panggilan video.

“Kami hanya dibenarkan melihat keadaan arwah menerusi panggilan video. Kami tidak dibenarkan melawat. Jadi, sudah dua minggu kami tidak bertemu,” katanya.

Tambah Amyela, dia sangat terkesan berikutan sangat rapat dengan arwah.

“Sekarang, saya tidak tahu nak berfungsi macam mana sebab kami sangat rapat. Dalam adik beradik, saya paling rapat dengan arwah. Ini kerana saya hanya mendapat adik apabila berusia lapan tahun.

“Kami selalu berpindah randah, jadi saya tiada kawan sebaya. Arwah adalah kawan baik saya dari kecil hingga besar.

“Saya juga lebih banyak berkongsi rasa dengan arwah berbanding rakan. Jadi, rasa macam patah hati sangat, apatah lagi, kami sekeluarga tidak berada di sisinya ketika tenat.

“Kami langsung tidak berpeluang berpegang tangan dan bersembang tepi katil,” katanya kepada BH Online.

Katanya, dia kini banyak berfikir mengenai ibunya yang berseorangan.

“Arwah dan ibu seperti belangkas,” katanya.

Sebelum ini, Amylea pernah memuat naik hantaran perkembangan arwah dalam IG. Memaklumkan, pihak hospital sudah memanggil ibu dan berbincang sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Penghujung bulan lalu, Amylea terpaksa melakukan gerakan derma kilat bagi menampung kos rawatan arwah yang perlu dimasukkan ke hospital swasta berikutan hospital kerajaan dipenuhi pesakit COVID-19.

Selain menerima rawatan jantung dan buah pinggang, arwah juga dikatakan terkena jangkitan kuman pada paru-paru.

*Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kes Saman Siti Nordiana, Lima Sekawan Tidak Diwakili Peguam

Ibu Naib Juara AF5, Ebi Kornelis Meninggal Dunia Akibat Covid-19