in

Band Pesawat Bawa Peminat Bercuti Dalam Xpresi Kembara

PESAWAT BAWA PENONTON KEMBARA DAN BERCUTI DI TV1

Kalangan penggemar alternatif rock atau brit pop di Malaysia pastinya mengenali Kumpulan Pesawat, sebuah kugiran indie rock Malaysia yang berasal dari Ampang, Selangor. Ditubuhkan pada tahun 2005 dan terdiri daripada empat orang ahli melibatkan Jipie (vokal, pemain gitar dan keyboard), Nizam Camel (pemain gitar), Kudux (pemain dram) dan Mann (pemain bass), mereka berpengalaman mengadakan persembahan dalam Urbanscapes 2008, Converse Century Project & Crossborders di Laudrybar.

Terdahulu mereka telah melancarkan single sulung mereka yang bertajuk “Mirage” sebelum disusuli single lain Rasional Emosional dan Excuse Me yang mula diterima ramai kini.

Meskipun masing-masing memiliki kerjaya hebat seperi Hudzaifei B. Hazmi (Jipie) adalah seorang jururunding, Mohd Nizam Mohd Kamal (Nizam Camel) sebagai Pengurus Projek Teknologi Maklumat, Mohamad Hirwan Mohamad Hatta (Kudux) sebagai ID & Koordinator Projek Pembinaan dan Syaherman Johar (Mann) bergelar Jurutera Awam, ahli kumpulan ini tetap meneruskan perjuangan yang mendalam dalam bidang seni dan pengorbanan masa mereka itu sememangnya berbaloi apabila nama kumpulan mereka semakin meniti di bibir peminat industri muzik tanah air kini.

Justeru untuk berkenalan dengan kumpulan ini dengan lebih dekat, RTM menerusi program traveloque terbitannya yang semakin di terima ramai iaitu Xpresi Kembara bakal bersiaran bersama Pesawat di Bukit Gambang Resort City, Pahang pada 13 Mac 2010 dan di Cherating pada 03 April 2010, jam 12.31 tengah hari di TV1.

Ketika jelajah di taman tema pertama dan terbesar di kawasan Pantai Timur, Bukit Gambang Resort City, Pahang, mereka melakukan aktiviti bermain paintball dan ATV fun ride yang begitu mengujakan.

Kemudiannya mereka menggunakan Tram Ride ke Bukit Gambang Water Park di mana mereka begitu seronok menggunakan kesempatan yang ada dan merehatkan diri dengan berenang di Coco Beach. Menariknya mereka turut gembira melakukan aktiviti menggelongsor dan meluncur air di situ.

Keletihan melakukan aktiviti menyeronokkan yang dilakukan jauh daripada kesibukan kota itu, mereka menggunakan sepenuhnya waktu senggang yang ada dengan berehat dan melapangkan fikiran di Carribean Bay Suite, Bukit Gambang Resort City, tempat penginapan mereka sepanjang berada di sana.

Berada di lokasi berbeza di Cherating pula, kumpulan Pesawat menginap di Suria Cherating Beach Resort. Mereka membuat aktiviti pantai di Suria Cherating Beach Resort seperti bermain bola sepak pantai dan bola tampar.

Menariknya kalau dah namanya pun pemuzik, mereka sempat merakamkan lagu popular mereka dalam sebuah klip video berlatarkan Little Bali, Cherating yang juga sebagai penghargaan kepada peminat yang menyokong perjuangan mereka dalam industri selama ini untuk menyaksikan mereka beraksi di situ.

Di samping itu kunjungan mereka di Kemaman juga turut singgah ke Kedai kopi Hai Peng, yang dikatakan mula beroperasi sejak tahun 1940an dahulu dan cukup popular di kalangan pengunjung sama ada dari kalangan masyarakat setempat mahupun orang luar.

Walaupun kedai kopi ini milik peniaga Cina namun pekerjanya adalah masyarakat Melayu setempat dan ini menyebabkan ia turut popular di kalangan masyarakat melayu. Kedai yang terletak betul-betul di tengah-tengah bandar dan laluan utama jalan Kemaman-Dungun ini pastinya menjanjikan sesuatu yang istimewa kepada pengunjungnya.

Kepada peminat Pesawat, pastikan anda meluangkan masa menonton dua episod istimewa Xpresi Kembara bersama kumpulan ini hanya di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Menangi SKUTER NAZA BLITZ 150 di Muzik FM

Amy Mastura Dilantik Menjadi Duta Kempen Malaysia, Jom Lebih Sihat