in , ,

Bahiyya Haneesa Beri Nafas Unik & Segar Menerusi Lagu Ikonik KAU ILHAMKU 2021

Generasi berganti generasi, namun bukan penghalang untuk lagu ikonik ‘Kau Ilhamku’ nyanyian asal Man Bai terus jadi siulan dalam kalangan pencinta muzik. Hakikatnya, lagu itu antara karya malar segar yang selamanya akan diingati.

Justeru, ia mencetus idea buat kumpulan acapella Bahiyya Haneesa atau Haneesa untuk tampil dengan rendisi tersendiri lagu itu pula. Mereka percaya kekuatan lagu itu pasti mudah menarik pendengar tapi pada masa sama enggan hampakan ramai dengan versi mereka.

Bagi mereka, alasan memilih lagu itu untuk dinyanyikan semula tidak lain kerana Kau Ilhamku sangat ikonik. Sebagaimana bermaknanya lagu itu di hati orang ramai, demikian juga dirasakan mereka terhadap karya terbabit.

Bahiyya Haneesa

“Seperti kita sedia maklum, lagu Kau Ilhamku ini bukan sahaja sering diputarkan di pelbagai platform media malah sekaligus menarik hati pelbagai golongan masyarakat disebabkan oleh keunikan dimiliki.

“Oleh demikian, kami tertarik untuk memberikan sentuhan berbeza bagi meraikan keindahan lagu ikonik ini. Sebenarnya, perancangan ini sudah dibuat lama sewaktu kami sepakat keluarkan lagu versi nyanyian acapella baharu,” kata anggotanya, Fatin.

Resam menyanyikan lagu ikonik tambahan yang sangat dikenali, Haneesa tanpa berselindung mengakui ada sedikit rasa tekanan. Pelbagai aspek perlu mereka pertimbangkan demi tampilkan hasil yang paling memuaskan.

“Lagu acapella amatlah sukar untuk disusun dan diolah. Kami mengambil langkah agak berani serta mencabar dengan bersama-sama menyumbangkan idea daripada segi harmoni, susunan solo, susunan suara dan hal teknikal lain.

“Agak sukar sebenarnya untuk memberi nafas baharu untuk lagu yang sedia padu dan hebat ini. Tetapi kami cuba sebaik mungkin untuk pendengar mengimbau kembali memori indah seperti dalam ingatan mereka,” ujar Wafa dan Afi pula.

Tidak mahu kedengaran biasa dan mendatar, Haneesa percaya ramuan utama lagu nyanyian semula adalah dengan menyuntik pembaharuan unik. Justeru, mereka tidak ragu-ragu memasukkan elemen rap.

“Untuk memberikan nafas baharu dalam sebuah lagu, semestinya pertaruhan berani perlu dilakukan. Keraguan kami lenyap apabila apabila komposer Afif, Pedang, Payung, dan semua yang berkerjasama dalam menjayakan lagu ini memberi semangat jitu.

“Ketika rakaman, kami berganding bahu dengan nama handalan muzik ini di mana Pedang bertindak menulis lirik rapnya. Sekali gus, Kau Ilhamku versi kami mencetus kelainan tersendiri sejajar dengan arus muzik era terkini,” kata Syasya pula.

Bahiyya Haneesa

Demi menjayakan projek lagu ini, Haneesa juga tidak menjadikan kekangan pandemik Covid-19 sebagai penghalang untuk melunaskannya. Mereka manfaatkan setiap saat untuk mengkaji dan memperhalusi corak nyanyian masing-masing.

“Memandangkan Bahiyya Haneesa mempunyai lapan anggota, jadi cabaran kami adalah untuk cuba menyesuaikan lagu Kau Ilhamku ini dengan lapan jenis suara. Setiap suara mempunyai keunikan dan karakter tersendiri.

“Alhamdulillah akhirnya kami berjaya juga menghasilkan versi terbaik kami sendiri terhadap lagu ini. Tambahan pula, lagu ini di rakam sewaktu tempoh berkurung. Keseluruhan yang terbabit termasuk produksi berkampung demi merealisasikannya,” kata Suha dan Wafa pula.

Kumpulan acapella serba berbakat ini dianggotai Afi, Bella, Bonn, Fatin, Nina, Suha, Syasya dan Wafa. Kini kumpulan ini semakin terbuka mencuba muzik yang lebih versatil dan pelbagai termasuk pop serta rap.

Mereka juga aktif membuat ‘cover’ beberapa lagu popular seperti Jennie- Solo, Alan Walker’s- Lily dan On My Way serta Blackpink- Kill This Love dan setiap video cover ini telah meraih sebanyak 11 juta tontonan di Youtube.

Single asli kedua mereka iaitu ‘Percaya’ yang dirilis pada tahun 2020 merupakan lagu tema bagi kempen SAFI Shayla.

Bahiyya Haneesa terus menghiburkan peminat melalui lagu-lagu cover yang diberi nafas baru dan telah dilancarkan di semua platform penstriman pada awal tahun ini iaitu Peluang Kedua, Tanpa Rela, Belaian Jiwa dan terbaru Kau Ilhamku.

Bahiyya Haneesa

‘Kau Ilhamku 2021’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Bahiyya Haneesa terus aktif dan menampilkan ramai influencer sebagai sebahagian daripada kolaborasi untuk content youtube mereka yang kini saluran youtube Bahiyya Haneesa sudah pun mempunyai 843,000 pengikut.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jalil Hamid | 22

Inspirasi dari Novel, Ini Sinopsis Drama Bersiri AYAHANDA Lakonan Jalil Hamid & Fikry Ibrahim

Nia Ramadhani Indonesia | 23

Rupanya Lima Bulan Ambil Syabu, Netizen Perasan Wajah Nia Ramadhani Cengkung & Pucat