in ,

Azza Elite dalam Kisah Cermin Ajaib

Drama Khas Cuti Sekolah : Kisah Cermin Ajaib Dalam Slot Citra Di TV2

Hanya kerana sebuah cermin ajaib telah berjaya mengubah kehidupan seorang kanak-kanak bernama Izwan, pelajar darjah 6 yang menemui cermin tersebut ketika memancing di sebatang sungai. Dia kemudiannya baru menyedari bahawa cermin ajaib itu mampu mengeluarkan objek yang serupa iaitu klon yang serupa dengannya.

Kisah menarik ini melatari drama bertajuk Klon yang disiarkan pada 9 Disember 2011, jam 10.00 malam lakonan Fimie Don, Nasiruddin Nasir, Shaddai Foo, Maisarra Syahfiedzrien, Azza Elite, Ahmad Idham, Hamid Gurkha dan Ruminah Sidek.

Izwan kemudiannya membawa cermin itu pulang ke rumah dan meletakkan cermin itu di atas meja. Di hadapan meja terdapat beberapa batang pensel dan peralatan menulis. Tiba-tiba, keluar objek yang serupa dengan peralatan menulis di hadapan cermin itu. Izwan semakin terkejut. Dia teringat mimpinya dan mula merasakan kebenaran mimpinya. Dia kemudian menghalakan kembali peralatan menulis itu ke arah cerminnya, dan peralatan menulis itu hilang. Barulah dia tahu cermin itu merupakan cermin ajaib.

Cermin itu berfungsi mengeluarkan objek yang serupa iaitu klon apabila dihalakan ke arahnya. Cermin itu juga boleh menghilangkan objek klon jika menghalakan ke objek itu semula. Izwan kemudian merenung wajahnya dengan lama. Dia ingin mencuba mengeluarkan klon yang menyerupai wajahnya. Tiba-tiba muncul satu klon yang serupa dengannya.
Izwan semakin terkejut dan kembali menghalakan cermin itu ke arah kembarnya. Kembarnya hilang. Kerana terlampau takut, dia menyembunyikan cermin itu di bawah katil dan membalutnya dengan kain agar tidak ada objek yang akan terkeluar apabila terkena cermin itu.

Izwan merahsiakan kejadian itu daripada sesiapa termasuklah kawan baiknya, Raju. Jirannya Mei Ling adalah kawan baik Izwan yang sering membantunya mengulangkaji pelajaran. Izwan kembali mengambil cerminnya. Dia memandang dengan lama, kemudian muncul dirinya yang satu lagi sepertinya. Dia menamakan dirinya itu sebagai Izwan 2. Perwatakan Izwan 2 dan Izwan sangat serupa dari hujung rambut hingga kaki malah tahap pemikirannya juga sama. Izwan gembira dengan kehadiran dirinya yang satu lagi. Dengan adanya Izwan 2, Izwan kerap bertukar identiti menyamar. Namun pelbagai kejadian aneh pula timbul.

Satu hari berlaku kejadian yang membuatkan Izwan terpaksa berterus-terang dengan Raju tentang cermin ajaibnya. Tanpa diduga Raju menyimpan niat buruk mahu mencuri cermin tersebut. Percubaannya berjaya dan Raju berjaya mengeluarkan kembarnya menerusi pantulan cermin tersebut.

Rahsia Raju mencuri terbongkar dan mereka kemudiannya bergaduh besar. Tarik menarik berlaku menyebabkan cermin itu jatuh dan pecah. Situasi itu membuatkan keadaan jadi kelam-kabut apabila mereka mahu menghilangkan kembar mereka semula ke dalam cermin. Lalu bagaimanakah kesudahannya?

Fimie Don

Fimie Don

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Merlin New Season

Telemovie Edisi Khas Cuti Sekolah