in

Azizah Ariffin Pengacara Kes Syariah di TV9

Kejayaan program-program berbentuk ilmiah di samping hiburan seperti  Akademi  Al-Quran, Al-Kuliyyah, Semanis Kurma, Tanyalah Ustaz dan Halaqah telah mencetuskan inspirasi kepada TV9 dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk menerbitkan program “Kes Syariah”.

Bagi memeteraikan kerjasama antara keempat-empat pihak ini, satu majlis menandatangani kerjasama diadakan pada hari ini antara CH-9 Media Sdn Bhd (TV9) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi TV9, Encik Bukhari Che Muda; Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Datuk Hj. Ibrahim B. Lembut; Presiden kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Haji Zainul Rijal B. Abu Bakar dan Dekan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Media Prima Berhad, Dato’ Sri  Farid Ridzuan.

Menurut Encik Bukhari Che Muda, “Ini merupakan kerjasama pertama kami dalam menerbitkan sebuah program bicara majalah yang padat dengan informasi berdasarkan kepada fakta-fakta sebenar. Kes Syariah ini akan memaparkan pelbagai isu undang – undang Islam yang bukan sahaja mengenai kekeluargaan seperti nikah, kahwin, cerai, malah ianya juga akan mengupas isu harta, faraidh dan banyak lagi.”

“Kami amat berterima kasih kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan  Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kerana sudi untuk bekerjasama dengan kami dan yang paling utama memberi kepercayaan kepada kami dalam menerbitkan program Kes Syariah ini. Semoga kerjasama sebegini dapat diteruskan terutamanya dalam mendidik masyarakat untuk memahami apa yang terdapat di sebalik bilik mahkamah syariah dan juga isu-isu yang sering diperdengarkan di mahkamah syariah ini.”
 
Menerusi Kes Syariah ini, penonton berpeluang mendengar kes-kes yang melibatkan selebriti-selebriti terkenal tanahair, tokoh-tokoh korporat dan juga orang awam di samping temubual eksklusif antara plaintif, defenden dan diakhiri dengan kesimpulan oleh pihak mahkamah syariah. Antara isu-isu yang bakal dipertikaikan adalah pengesahan pernikahan, talaq, poligami, tunggakan nafkah anak, hak penjagaan anak-anak, pengesahan lafaz cerai, faraidh, harta pusaka ajaran sesat dan banyak lagi.

Kes Syariah bakal menemui penonton pada setiap Khamis, jam 9.30 malam selama setengah jam bermula 19 Februari ini secara langsung dari Studio 4 Glenmarie Shah Alam bersama hos berpengalaman Azizah Ariffin. Program ini diterajui oleh penerbit eksekutif Zainal Ariffin Ismail dan penerbit Mohd Fasil Mohd Idris.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

INTOLERABLE CRUELY, THE PRINCE AND ME, SILLUNU ORU KAADHAL di TV2

Mila Jirin Berundur Dari MC Voices & Stars