in

Awi Berubah Lepas Nahas, Kini Lebih Dekati Islam

SYUKUR… Penyanyi Singapura yang aktif di Malaysia, Awi Rafael, berehat selama setahun pada tahun lepas untuk beri tumpuan kepada kesihatannya yang memerlukan perhatian.

Ia setelah beliau terlibat dalam satu kemalangan motosikal. Namun, lebih membimbangkan artis yang juga bergelar komposer itu adalah keadaan kesihatannya kononnya beliau berkemungkinan menghidapi penyakit barah kulit.

Ekoran perkembangan yang kurang menyenangkan itu, Awi Rafael menjalani beberapa ujian untuk memastikan perkara tersebut. Awi bimbang: “Ada kebimbangan Awi ada barah kulit. Awi periksa semua tahun lepas.

“Imbasan pertama ia berkemungkinan tapi Alhamdulillah selepas kita buat apa yang patut dengan beberapa doktor pakar. Ia pramatang disebabkan alahan tinggi. Setelah buat pemeriksaan, rupa-rupanya ada alah terhadap gluten.”

Mujur ia bukanlah penyakit barah kulit seperti yang disangkakan pada awalnya. Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Pulanglah itu akui beliau semakin matang kini dalam mengatur perjalanan kehidupan sehariannya.

Menerbitkan lagu berunsur ketuhanan untuk album terkini berjudul Euforia antara perkara sangat membahagiakan dirinya secara peribadi. Album edaran Warner Music Malaysia itu bakal diedarkan pada tahun ini.

Ia juga tercetus kerana Awi rasakan “banyak benda tentang kehidupan yang menjejaskan diri apabila berehat selama setahun”. Album Euforia menggambarkan diri beliau sendiri dengan memuatkan tujuh buah lagu baharu.

Ini termasuk lagu berjudul Ini Semua Dunia selain lagu Kau Di Hatiku bersama Altimet. Menariknya, Awi turut berduet dengan jelitawan Maya Karin menerusi lagu berjudul One True Love yang berunsur ketuhanan juga.

Lagu tersebut adalah sebuah lagu Melayu meskipun tajuknya dalam bahasa Inggeris, jelas bekas vokalis utama kumpulan Bhumiband itu ketika ditemui agensi berita Singapura, MediaCorp baru-baru ini.

“Kita faham perancangan Allah. Dia mengajar kita dengan cara yang tersendiri sebab itu Awi dedikasikan lagu Kau Di Hatiku untuk Persatuan Barah Malaysia”. Baru-baru ini, beliau sertai pertandingan realiti Gema Gegar Vaganza.

Ia beri tumpuan kepada lagu berunsur ketuhanan terbitan Astro. Jika diusik dengan keadaan kesihatannya sebelum ini, peminatnya pula seakan gempar pula dengan berita pertunangan Awi dengan pelakon berasal dari Singapura iaitu Atikah Suhaime pada Mac lalu.

Manakan tidak kerana sebelum berita pertunangan mereka diketahui umum, tiada sebarang gosip pun mengenai percintaan mereka.

Setiap kali Awi berduet dengan penyanyi wanita dari seberang tambak seperti Kaka dan Elizabeth Tan, pasti akan ada spekulasi tentang keakraban Awi bersama pasangan duetnya. Hakikatnya, mereka hanyalah rakan duet sahaja dan tidak ada hubungan cinta.

Rupa-rupanya, Awi dan tunangnya Atikah bertemu beberapa tahun lalu atas dasar tugasan. Awi menulis lagu untuk Atikah bagi filem Suamiku Jatuh Dari Langit ketika itu. Tambahnya:

“Dari situ kita bermula berkawan tetapi Awi ada bersama dengan kawan lama Awi, dia pun dengan kawan lama dia. Tak pernah terfikir tapi bila kita dah terfikir, Alhamdulillah.

“Kita jumpa balik dan Awi cakap dengan dia kalau nak buat betul-betul dan kalau betul nak berkawan, kita terus bertunang. Insya Allah kahwin tahun depan,” cerita Awi lebih lanjut.

Atikah disifatkan oleh Awi sebagai seorang wanita yang bersemangat kental. Selain tabah mengharungi pelbagai cabaran kehidupan, Atikah mengutamakan keluarga.

“Itu Awi sangat tertarik. Dia jumpa ibu saya di Singapura. Ibu saya jalani dialisis, dia datang temankan dengan sendiri. Ia sangat menggembirakan Awi,” kata penyanyi yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-32 pada 23 Julai nanti.

Pasangan itu rancang membuat majlis pernikahan di Singapura dan Kuala Lumpur pada Mac tahun depan. Beliau merancang untuk membuat majlis perkahwinan mereka di IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia).

“Saya banyak berubah pada tahun lepas. Awi sebenarnya mendengar banyak rancangan radio dari IKIM FM. Saya banyak pelajari tentang Islam.

“Sungguh istimewa kalau buat majlis di IKIM jadi kawan-kawan yang datang pun boleh tengok tentang Islam. Kekadang kita sibuk dengan dunia. Bila kita sakit, kita sedar,” luahnya penuh bermakna.

Apakah akan ada lagu duet mereka memandangkan pasangan ini sedang dilamun cinta? Menurut Awi, Atikah bakal muncul dengan album sendiri setelah sebuah syarikat berpangkalan di Indonesia melamar tunangnya itu menjadi artis mereka.

Sudah semestinya Awi sebagai seorang komposer juga menulis beberapa buah lagu untuk Atikah untuk dimuatkan dalam album Atikah nanti.

Jika lazimnya seseorang komposer itu lebih mudah mendapat idea menulis lagu apabila bercinta atau putus cinta. Bagaimana pula dengan Awi?

“(Ketawa) Bila Awi gembira Awi tak akan tulis lagu gembira sebenarnya. Awi akan tulis lagu sedih. Bila tengah sedih, Awi akan tulis lagu gembira.”

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia Terus Membangunkan Sektor Pelancongan Pulau Pinang

GSC Continues To Support Awareness For Autism Spectrum Disorder (ASD)