in , , ,

Anugerah MeleTOP Era 2020 Diteruskan Mengikut SOP Pada 20 Disember Ini

Edisi penganjuran kali pertama pada skala norma baharu, Astro bawa pengalaman menonton 4k penuh epik agar semua kekal selamat di rumah

Anugerah MeleTOP Era atau ‘AME’ ialah sebuah anugerah pilihan penonton yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 15 buah kategori utama yang dipertandingkan. ‘AME 2020’ merupakan penganjuran edisi ketujuh sejak mula diperkenalkan pada tahun 2014.

Untuk makluman, keputusan penuh penganjuran ‘AME 2020’ bagi setiap kategori sudahpun dikenal pasti setelah kiraan rasmi dibuat sejurus selepas talian undian fasa kedua ditutup pada 31 Mac yang lalu.

Buat pertama kalinya juga, ‘AME 2020’ bakal berlangsung mengikut norma baharu berdasarkan ketetapan SOP yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Anugerah MeleTOP Era 2020 Diteruskan Mengikut SOP Pada 20 Disember Ini

Masih mengekalkan tema  ‘Epik Glam’ dengan tagline ‘Yang Epik, Yang Legend’,  ‘AME 2020’ bakal dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hari Ahad, 20 Disember 2020, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Manakala rakaman acara ‘Karpet Merah AME2020’ yang dibawakan oleh Astro GO pula akan disiarkan jam 8.30 malam pada hari yang sama sebelum siaran malam kemuncak.

Istimewa untuk pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, ‘AME 2020’ turut didatangkan dengan format kualiti 4K UHD menerusi saluran khas 780. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘AME 2020’ turut boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand.

Raqim Ahmad, Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan & Drama Astro 

‘Tahun 2020 cukup mencabar kerana krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia ternyata telah mengubah pola kelaziman biasa kepada resam baharu secara menyeluruh. Sebagai stesen TV satelit berbayar, Astro juga turut terkesan dengan impak tersebut. Pelbagai perancangan yang sudah dirangka awal terpaksa ditunda dan harus diganti dengan pelan baharu serta merta, manakala garis masa juga harus dirombak semula bagi memastikan tanggungjawab kepada para pelanggan tidak terjejas. 

Walaupun sukar, kami berbesar hati kerana dapat menyempurnakan penganjuran ‘AME 2020’ yang sudahpun menjadi rutin tahunan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2014. Kami juga cukup teruja untuk berkongsi keputusan penuh edisi kali ini yang merupakan pilihan peminat sebelum dunia berubah akibat Covid-19.

Situasi semasa yang penuh kekangan juga tidak pernah dilihat sebagai halangan, malah ia menjadi pembakar semangat yang mendorong kami bekerja dengan lebih keras untuk berkarya secara kreatif dan di luar zon kebiasaan secara satu pasukan.

Kami juga ingin tekankan bahawa penganjuran ‘AME 2020’ bukanlah berlandaskan kepada hiburan semata-mata kerana ia merupakan platform interaktif yang terbaik untuk menyalurkan maklumat penting dan efektif kepada para penonton. Acara ini juga memainkan peranan untuk memudahkan proses normalisasi kepada amalan norma baharu dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas krisis ini berakhir. 

Keputusan untuk meneruskan penganjuran ‘AME 2020’ adalah tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kami selama ini. Nantikan pelbagai kejutan epik yang telah disusun rapi bagi menyemarakkan lagi edisi tahun ini meskipun diadakan dalam skala kecil. Semoga terhibur!”

Raqim Ahmad

Nazri Noran, Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu, Astro Radio

“ERA terus meraikan karya muzik tempatan terhebat melalui pilihan peminat-peminat di Anugerah MeleTOP ERA (AME) 2020. Selaku jenama radio No. 1 di Malaysia, kami teruja mempersembahkan calon-calon berbakat terutamanya untuk industri muzik tempatan seperti di dalam kategori-kategori Lagu MeleTOP ERA, Penyanyi MeleTOP ERA dan Grup/DUO MeleTOP ERA.

Kami juga berterima kasih kepada para peminat yang mengundi di aplikasi SYOK dan laman rasmi AME 2020 untuk pemilihan calon terbaik anugerah berprestij ini.

Semua peminat dijemput untuk menikmati persembahan-persembahan menarik daripada artis-artis kegemaran dan nantikan keputusan pemenang-pemenang yang akan diumumkan di malam kegemilangan AME 2020 ini.”

Nazri Noran

‘AME 2020’ melakar sejarah membanggakan apabila muncul sebagai program televisyen tempatan pertama yang disiarkan secara langsung dalam format kualiti 4K UHD. Teknologi ini menawarkan ciri paparan resolusi visual yang lebih jelas menerusi peranti pilihan masing-masing tanpa sebarang caj tambahan. Inisiatif ini sekaligus menjadi pencetus perubahan yang membuka dimensi baharu kepada pasaran kandungan tempatan.

Penganjuran ‘AME 2020’ sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 21 April 2020. Namun, perancangan tersebut terpaksa ditunda susulan krisis pandemik Covid-19 yang melanda sejak bulan Mac yang lalu. Selain tu, undian fasa kedua di platfrom digital dan juga menerusi kiriman SMS juga turut ditamatkan lebih awal daripada jadual garis masa sebenar.

Namun begitu, kiraan penuh undian bagi menentukan keputusan penuh penganjuran ‘AME 2020’ telah dibuat sejurus selepas talian undian ditutup. Bagi memastikan ketelusan penganjuran edisi kali ini, badan audit bertauliah W.L. Chong & Associates telah dilantik untuk menyelia sebarang keputusan yang melibatkan undian orang awam.

Pihak Astro turut menyalurkan hasil kutipan terkumpul menerusi kiriman SMS setelah undian fasa kedua ‘AME 2020’ ditutup secara rasmi pada 31 Mac lalu ke Tabung Bantuan Frontliners COVID-19 yang dikendalikan oleh pihak Sinar Harian.

Susulan arahan perlaksanaan PKPB yang sedang berkuatkuasa pada ketika ini, buat pertama kalinya ‘AME 2020’ dianjurkan tanpa kehadiran penonton mahupun kelab peminat. Bilangan tetamu jemputan juga amat terhad kerana hanya artis yang terlibat secara langsung sahaja akan diundang. Selain itu, krew produksi dan tenaga kerja juga dikurangkan kerana hanya yang berdaftar sahaja dibenarkan untuk berada di lokasi bagi mengawal jumlah bilangan kehadiran pada satu-satu masa sekaligus mengelakkan perhimpunan beramai-ramai tanpa pemantauan.

Penganjuran ‘AME 2020’ juga akan dipantau sepenuhnya oleh pihak berkuasa serta Majlis Keselamatan Negara sepanjang acara berlangsung serta turut tertakluk kepada SOP yang ketat seperti pengamalan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri dan penggunaan pelitup muka.

Manakala di dalam dewan pula, perintah penjarakan dan SOP ketat dilaksanakan pada semua peringkat. Artis termasuk pemenang untuk kesemua kategori akan ditempatkan dalam bilik menunggu. Mereka hanya keluar apabila tiba giliran naik ke pentas untuk menerima trofi atau membuat persembahan. Mereka juga disarankan untuk tidak berada di lokasi dan terus pulang ke rumah setelah selesai tugasan atau giliran.

‘AME 2020’ bakal menampilkan pasangan hos sensasi iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse yang akan mengendalikan pentas utama pada malam tersebut. Manakala personaliti ERA, Radin dan Cik Manggis (De Fam) pula bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos untuk acara ‘Karpet Merah AME2020’ yang dibawakan oleh Astro GO.

‘AME 2020’ juga bakal memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada personaliti berpengaruh yang telah banyak berbakti dan mengharumkan nama Malaysia dalam bidang masing-masing melalui kategori ‘Anugerah Khas’. Penerima anugerah ini bakal diumumkan pada malam kemuncak kelak.

Pentas ‘AME 2020’ juga bakal diserikan dengan persembahan eksklusif selebriti popular seperti Anuar Zain, Misha Omar, Ernie Zakri, K-Clique, Floor 88, Dolla, Ismail Izzani, Aina Abdul, Wany Hasrita, Shiha Zikir, Andi Bernadee, Haqiem Rusli, Zynakal, Yonnyboii serta ramai lagi.

Sementara itu, antara barisan penyampai trofi yang bakal memeriahkan ‘AME 2020’ termasuklah Ayda Jebat, Nabil Mahir, Siti Nordiana, Khai Bahar, Janna Nick, Hun Haqeem, Nabila Razali, Syafiq Kyle, Cik B, Danial (ERA), Radin (ERA) serta ramai lagi.

Personaliti ERA, penyanyi dan rapper popular iaitu Dina Nadzir, Syamel, Tuju (K-Clique) dan Sophia Liana (De Fam) turut berpadu suara buat pertama kali menerusi lagu tema ‘AME 2020’ ciptaan komposer Navin D’Navigator. Tambah menarik lagi, lirik lagu tersebut adalah hasil nukilan bersama oleh Mambang, Sophia Liana dan Tuju.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Da’i Syed Jumpa Hafiz Hamidun Sebelum Ditahan, Sempat Beri Nasihat, Hubungi Peguam

Joe Flizzow Undang Kejutan, Mahu Bikin Video Muzik dengan MK & Jay Park?