in , ,

Andi Bernadee Selami Kisah Rakyat Mendepani Pandemik Dalam KAIS PAGI KAIS PETANG

Nama Andi Bernadee sudah tidak asing lagi di kalangan peminat industri seni Malaysia. Meskipun kerjaya seninya baru berusia 3 tahun, penyanyi yang mesra disapa sebagai Andi ini berjaya menempatkan dirinya sebagai antara penyanyi lelaki yang cukup popular pada masa kini.

Memulakan kerjaya seninya sejak tahun 2017 namun  popularitinya mula naik mendadak apabila Andi membadai industri muzik Malaysia dengan  lagu hits ‘Satu Peluang’, ‘Donde’ dan ‘Shimmy’,  yang mengetengahkan genre reggaeton. Lagu-lagu popularnya ini bukan sahaja menjadi siulan ramai malah berjaya mencipta fenomenanya tersendiri malah pernah juga mencetuskan kontroversi. Meskipun muncul dengan kelainan menerusi single ketujuhnya ‘Penat’, Andi tetap berjaya memberikan impak malah video muzik rasmi ‘Penat’ telah mencecah lebih 4.8 juta tontonan sejak dimuatnaik di saluran YouTube Warner Music Malaysia pada 16 September tahun lalu. Kini Andi bakal memeriahkan lagi industri muzik Malaysia dengan single terbaharunya berjudul “KAIS PAGI KAIS PETANG”.

KAIS PAGI KAIS PETANG ANDI BERNADEE

KAIS PAGI KAIS PETANG” merupakan ciptaan bersama MFMF, Andi Bernadee dan Nasir Deraman. Lagu ini cuba menyelami keluh kesah rakyat marhaen dalam cabaran mencari rezeki. Mengambil inspirasi dari peribahasa Melayu ‘Kais pagi makan pagi, Kais petang makan petang’ yang membawa bermaksud orang susah yang perlu bekerja setiap hari, kalau tidak bekerja tiadalah pendapatan.

Isu yang cuba diangkat dalam lagu ini seakan tepat pada masanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) kembali berkuatkuasa pada 13 Januari lalu yang sedikit sebanyak mengakibatkan pendapatan golongan peniaga kecil, pekerja rencam, pekerja seni dan ramai lagi terjejas.

Mengulas tentang single terbaharunya ini, Andi berkata,

Sebelum pandemik melanda negara lagi, memang sukar mencari rezeki pada masa kini. Isu yang mungkin kita, keluarga atau kawan-kawan kita pernah atau sedang hadapi. Kerja kuat hari-hari, buat bermacam-macam jenis kerja tapi pendapatan hanya cukup-cukup makan sahaja.

Bila hidup dari gaji ke gaji, kita sentiasa menghadapi kesukaran memenuhi keperluan atau kehabisan wang sebelum akhir bulan. Lagi-lagi pula di zaman ekonomi meleset akibat pandemik COVID-19, dan ditambah pula dengan pelaksanaan PKP 2.0 pastinya ada antara kita yang berasa tertekan dengan masalah kewangan yang mereka hadapi ketika ini.

Saya amat memahami kesukaran semua pihak terutamanya rakan-rakan dalam industri kreatif yang kehilangan sumber pendapatan pada waktu ini. Menerusi lagu ini saya berharap selain dapat menghiburkan ianya juga boleh memberi suntikan semangat buat mereka yang terjejas dalam menghadapi saat sukar ini.”

– Andi Bernadee

Single “KAIS PAGI KAIS PETANG” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 29 JANUARI 2021 manakala lirik video rasmi “KAIS PAGI KAIS PETANG” boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 29 JANUARI 2021, 6 PETANG.

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Isteri Rahmat Rabbani Meninggal Dunia Akibat Covid-19

Drama 44 HARI BANGKITNYA POCONG Trending, Babak Nasi Kangkang Ellie Suriaty Jadi Tular