in ,

Andi Bernadee Pernah Terfikir Mahu Tutup Akaun Media Sosial

Tahun lalu menjadi tamparan hebat buat penyanyi Andi Bernadee, 32, sehingga menyepi dari industri termasuk hentikan segala aktivitinya di media sosial hampir setahun lebih lamanya.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile berkata dalam proses itu dia berusaha mengembalikan semula kekuatan diri sambil bertarung dengan masalah kesihatan mental yang menimpanya.

“Kalau orang panggil zaman sekarang ‘healing’. Alhamdulillah, saya okay, sudah kembali normal balik. Banyak benda berlaku sebab tahun lalu jadi tamparan hebat juga buat saya.

“Saya banyak bersendiri dan orang kata bila kita bersendiri, musuh utama kita adalah diri sendiri kan. Saya masih berusaha jadi diri sendiri semula. Kes termasuk santau masih lagi memberi kesan kepada saya sehingga hari ini,” katanya.

Dalam tempoh terbabit, penyanyi lagu Satu Peluang itu merehatkan diri sebaiknya termasuk pergi melancong secara rahsia. Dia akui lebih aman apabila berhenti kongsi aktivitinya menerusi media sosial.

“Saya banyak ‘travel’, cuma saya tak kongsi langsung kerana memang nak rehatkan diri betul-betul. Alhamdulillah saya rasa aman sebab zaman media sosial sekarang ini sangat jahat.

“Apa saja yang kita cuba lakukan pun kena minta kebenaran dan saya rasa tak nak dah terperangkap dalam situasi itu. Saya pernah terfikir tutup media sosial bahkan terfikir nak berhenti terus menyanyi atau terbabit bidang seni,” katanya.

Bagaimanapun, Andi bersyukur memiliki sistem sokongan yang kuat termasuk keluarga untuk terus kuat bertahan sebagai anak seni. Apatah lagi, dia jadi sandaran utama menyara keluarga.

“Mak ayah, adik-beradik pun tahu keadaan saya sebab saya adalah punca rezeki dalam keluarga. Adik-adik pergi sekolah, universiti, sayalah yang kena sediakan. Kalau saya kalah dengan apa yang dihadapi sekarang ini, apa jadi dengan mereka?” katanya.

Andi berkata dia masih lagi bertarung dan mencuba pelbagai inisiatif mengembalikan dirinya yang dulu lebih periang. Dia turut mencuba perubatan alternatif namun belum sampai berjumpa pakar kesihatan mental.

“Ada cuba perubatan alternatif di beberapa tempat. Sekarang pun masih dalam percubaan lagilah. Saya pun ada beberapa rakan terdekat dalam bidang ini (kesihatan mental) dan tak sampailah jumpa pakar. Saya masih boleh tangani, cuma jangan layan sangatlah,” katanya.

Andi baru melancarkan lagu raya bersama pempengaruh Ryan Bakery berjudul Raya Last Minit. Projek itu hasil kerjasama Warner Music Malaysia dan Indigital Music.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Buat Muka Slumber, Netizen Dakwa Nad Zainal & Suami Tak Mesra Peminat 

Selebriti Popular Jayakan Melodi Raya 2023, Disiar Pada 23 & 30 April Ini