in

Aliran Altimet Terserlah dalam Album Baru – AIR

Altimet, 39, yang baru sahaja menggegarkan pentas Anugerah Juara Lagu-32 sehingga dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik menerusi lagunya ‘Amboi’ bakal menghangatkan lagi industri muzik dengan album terbaru beliau berjudul ‘Air’.

“Cetusan inspirasi untuk album kali ini, dari idola saya sejak kecil iaitu Bruce Lee dengan mutiara kata tersohor beliau,”Be Like Water” yang bermaksud sifat air apabila mengalir akan mengikut sebarang bentuk bekas memberi saya dorongan untuk membuat eksperimen di mana saya menyesuaikan lirik saya ke dalam muzik yang telah dicipta oleh penggubah lagu-lagu di dalam album ini. Cabaran ini telah menunjukkan versatiliti dan saya harap peminat saya dapat menerima kelainan yang ingin kami tonjolkan.”

altimet

Air yang merupakan album solo ke-4 Altimet adalah hasil kolaborasi beliau dan beberapa penggubah lagu tersohor dan juga penggubah baru seperti Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe, dan Music Kitchen.

Hasil kolaborasi mereka telah memberikan nafas segar kepada album ini tetapi masih mengekalkan gaya tersendiri Altimet dan ianya bakal memaparkan enam buah lagu yang dipersembahkan oleh Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Baraka Blue, Kidd Santhe, Ashtin dan Aina Abdul.

Album edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati secara pra-tempahan di iTunes mulai 9 Mac 2018 dan akan berada di semua platform digital mulai 30 Mac 2018. Peminat juga akan dapat memperolehi album fizikal ‘Air’ yang direka eksklusif oleh Kongsi Design akan berada di pasaran di seluruh negara mulai 1 April 2018.

Sebarang maklumat lanjut sila layari www.altimet.com.my.

MENGENAI ALTIMET
Altimet merupakan rapper, penulis lagu, dan produser yang banyak memenangi anugerah yang melalui lagu-lagu dan liriknya sejak tahun 2000 menerusi 3 album solo yang berjudul First Among Equals, Kotarayaku, dan Amboi. Beliau juga telah mempunyai tiga belas lagu carta nombor satu. Lagunya yang berjudul “Kalau Aku Kaya” merupakan lagu Hip-Hop pertama di Malaysia yang pernah menjadi tiga teratas di Anugerah Juara Lagu dan telah meraih lebih daripada sejuta muat turun digital.

Duta 1Malaysia dan Ikon Belia Kebangsaan ini juga telah diiktiraf sebagai “salah seorang individu yang membentuk Malaysia” oleh majalah August Man dan beliau telah menjelajah ke merata dunia, dari Singapura ke Amerika Syarikat, United Kingdom hingga ke Kazakhstan bagi mempromosikan hasil karya beliau. Suara Altimet juga pernah digunakan pada aplikasi Waze, iaitu aplikasi trafik yang berasaskan komuniti terbesar di dunia, di mana beliau merupakan rapper Malaysia pertama, yang didengari di aplikasi ini di seluruh dunia dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jelajah Suria Bakal Jadi Acara Tahunan

Cinta Pantai Timur Dalam Drama Awe Keno Nikoh